Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
157) PERANAN LANTIKAN KERAJAAN (MPPK, AHLI MAJLIS, JAWATANKUASA MASJID DAN LAIN-LAIN) DI DALAM MENANGANI PANDEMIK COVID-19
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha dan peranan yang telah dimainkan oleh para lantikan kerajaan di dalam membantu mengekang jangkitan COVID-19?
Soalan (a) dan (b) dijawab bersekali:-
Sesebuah MPKK diketuai oleh seorang Ketua Kampung selaku Pengerusi, seorang Setiausaha dan juga sebelas (11) orang ahli jawatankuasa atau biro yang dilantik bagi menggiatkan lagi perancangan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti di dalam kampung masing-masing.
Struktur organisasi setiap MPKK terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang turut bertanggungjawab menyelia dan memantau segala aktiviti dan program dari aspek pengurusan kewangan, pentadbiran dan pelaksanaan aktiviti. Justeru itu, setiap MPKK seharusnya mempunyai hubungan yang baik dengan setiap PDT terutama melalui Penghulu Mukim yang berkaitan.
Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 akibat penularan pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk memberi sokongan termasuklah bantuan kewangan kepada rakyat negeri yang terkesan terutama di kawasan luar bandar khususnya di kampung-kampung di mana kebanyakan penduduk tergolong di dalam kelompok B40.
Setiap program dan aktiviti yang dilaksanakan termasuklah hebahan berkenaan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dilaksanakan secara menyeluruh bermula daripada pelbagai bentuk arahan dan makluman kepada semua agensi kerajaan yang berkaitan sama ada Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Daerah dan Tanah mahupun jabatan-jabatan kerajaan negeri yang berkaitan yang kemudiannya disampaikan pula kepada Penghulu-penghulu Mukim dan terakhir kepada setiap Ketua Kampung yang mewakili setiap MPKK masing-masing.
Bagi memastikan setiap MPKK ini berperanan sebagai ejen kerajaan dalam menyampaikan bantuan akibat COVID-19, setiap MPKK perlu menyediakan laporan pelaksanaan berdasarkan keperluan dan bergantung kepada sesuatu program yang dilaksanakan.
Kerajaan Negeri juga mempunyai mekanisme pemantauan melalui penilaian terhadap pencapaian Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor dan Penarafan Bintang (Star Rating) bagi menilai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di mana penilaian terhadap tiga (3) kriteria utama iaitu pentadbiran, aktiviti kemasyarakatan dan juga pencapaian yang diperolehi oleh kampung atau pun penduduk kampung. Setiap kriteria mengandungi item-item tertentu yang akan dinilai dan diberi markah.
Kerajaan negeri memperkenalkan garis panduan ini bukan sekadar untuk melihat kecekapan ketua kampung sebaliknya membantu mengenal pasti kelemahan yang boleh ditambah baik menerusi latihan serta kursus seterusnya memainkan peranan penting sebagai ejen kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan bantuan.