Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

223) PERANAN JAWATANKUASA PILIHAN SEBAGAI MEKANISMA SEMAK DAN IMBANG

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendirian Dato' Menteri Besar mengenai fungsi Dewan Negeri Selangor amnya dan fungsi Jawatankuasa Pilihan khasnya sebagai mekanisma semak dan imbang demi akauntabiliti Kerajaan Negeri di atas segala tindakannya?

    Sebagaimana fungsi Parlimen Malaysia, Dewan-Dewan Undangan Negeri di Malaysia, serta parlimen serta badan legislatif di dunia khusus di negara-negara Komanwel, Dewan Negeri Selangor turut menjalankan fungsi tersebut. Sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN), setiap ADN Kerajaan mahupun Pembangkang berhak untuk membangkitkan / membahaskan sebarang isu bagi tujuan semak dan imbang.
    Begitu juga dengan fungsi Jawatankuasa Pilihan, yang mana ianya dianggotai oleh kedua-dua ADN Kerajaan dan Pembangkang sebagai mekanisme semak dan imbang demi akauntabiliti Kerajaan Negeri. Mengikut Peraturan Tetap 72(1) di mana seberapa bolehnya tiap-tiap Jawatankuasa Pilihan hendaklah ditubuhkan supaya terbayang di dalamnya kadar parti masing-masing dalam Dewan.
    Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan yang ada di Dewan Negeri Selangor ialah seperti berikut:

    1. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC)
    2. Jawatankuasa Peraturan Tetap
    3. Jawatankuasa Hak dan Kebebasan
    4. Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT)
    5. Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT)
    6. Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT)
    7. Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS)
    8. Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Dewan
    9. Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur Dan Mobiliti (JPK – Infragro)

    10. Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Perubahan Iklim, Kebajikan, Kesihatan, Pendidikan, Pembangunan Keluarga, Agama Dan Wanita Serta Kesejahteraan Hidup (JPK – Sejahtera)

    Mengikut Peraturan Tetap 68(1), 68A(1), 68B(1), 68C(1), Jawatankuasa Pilihan ini perlu dilantik pada awal tiap-tiap penggal persidangan.
    Dewan Negeri Selangor merupakan Dewan Persidangan pertama di Malaysia yang giat menubuhkan Jawatankuasa Pilihan. Semenjak tsunami politik pada tahun 2008 bermula dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan Selangor (SELCAT) dan kemudian Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT), Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) dan Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT).
    Pindaan telah dilakukan terhadap Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor, dimana Peraturan Tetap 68A, 68B dan 68C dimansuhkan untuk menginstitusikan dan memformalisasikan perlantikan JP-PADAT, JP-PBT dan JP-ABAS pada awal persidangan setiap penggal.
    Begitu juga dengan skop Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan (JPK-PK) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor (JPK-SAS) yang mana kedua-duanya telah dilantik pada penggal ini dengan perluasan skop semakan. Sejajar dengan itu, nama kedua-dua Jawatankuasa Pilihan Khas ini telah ditukar kepada Jawatankuasa Pilihan Khas SEJAHTERA dan Jawatankuasa Pilihan Khas INFRAGRO dan ini menjadikan hampir kesemua portfolio yang dipegang oleh setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) akan disemak, dipantau dan dibayangi oleh sekurang-kurangnya sebuah Jawatankuasa Pilihan (JP) atau Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK).

Lampiran

Tiada Lampiran.