Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
105) PENYUSUTAN NILAI RINGGIT
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah pendapatan kerajaan negeri Selangor terkesan dengan penyusutan berterusan nilai ringgit semenjak awal tahun ini?
Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius akan perkembangan ekonomi global dan semasa di Malaysia. Malaysia dikejutkan dengan penurunan harga minyak mentah dan penyusutan nilai ringgit ke paras terendah dalam tempoh sembilan tahun. Isu ini merupakan fenomena antarabangsa berikutan hampir semua matawang negara pesat membangun mengalami kejatuhan berbanding US Dollar (USD).
Secara keseluruhannya, krisis ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor selari dengan impak penyusutan harga ringgit terhadap ekonomi negara. Namun demikian, tiada kesan langsung yang diterima kepada pendapatan Kerajaan Negeri kesan penyusutan nilai ringgit memandangkan urusan dalam negeri dilaksanakan dengan Ringgit Malaysia.
-
Sektor industri manakah yang paling terkesan di Selangor dan berapakah anggaran pendapatan yang terkesan?
Penyusutan nilai ringgit berbanding USD memberi kesan langsung terhadap sektor import dan eksport yang melibatkan transaksi dengan matawang asing. Firma yang terlibat dalam industri eksport akan memperolehi faedah dengan peningkatan jumlah eksport susulan penyusutan nilai ringgit manakala firma yang terlibat dengan aktiviti import akan mengalami defisit tukaran wang asing. Industri- industri lain yang tidak menjalankan urusniaga melibatkan transaksi mata wang asing tidak terkesan secara langsung, namun demikian, penyusutan nilai ringgit telah mewujudkan sentimen negatif di kalangan pelabur asing untuk membuat pelaburan di Malaysia yang turut akan menjejaskan beberapa sektor ekonomi di negeri.