Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
272) PENYEWAAN LESEN DAN PREMIS PERNIAGAAN KEPADA WARGA ASING OLEH PEMILIK TEMPATAN
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah pihak Kerajaan Negeri sedia maklum berkenaan permasalahan ini?
Kerajaan Negeri sedia maklum berkenaan permasalahan penyewaan lesen dan premis perniagaan kepada warga asing oleh pemilik tempatan. Pemantauan dan operasi sentiasa dijalankan oleh PBT bagi membendung peniaga yang menyewakan tapak perniagaannya kepada warga asing pada masa ini. Kerajaan Negeri Selangor telah turut serta dalam Lab Menangani Isu Penjaja Warga Asing yang diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Penggunaan (KPDNKK) dengan usahasama Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 16 April 2015 bersama-sama pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan. Antara perkara yang dibincangkan di dalam lab tersebut adalah seperti berikut:-
- Warga asing atau PATI yang menceburi sektor penjaja;
- Sikap warga tempatan yang menyewakan permit / lesen menjaja atau tapak perniagaan kepada warga asing dan mengambil pembantu dalam kalangan warga asing;
- Sikap penganjur tapak penjajaan yang membenarkan penjaja warga asing;
- Sikap warga tempatan yang melanggani produk dan perkhidmatan yang dijaja oleh penjaja warga asing; dan
- Bidang kuasa yang khusus dan terhad menyukarkan penguatkuasaan
Hasil daripada lab tersebut sebanyak empat (4) Resolusi dibentangkan iaitu:-
- Hukuman dan Denda;
- Penubuhan Jawatankuasa Pemantauan dan Penyeliaan Isu Penjaja Warga Asing di pelbagai peringkat;
- Keberkesanan Operasi; dan
- Peranan Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil.
Resolusi ini masih di peringkat perbincangan dan akan diperhalusi lagi oleh pelbagai peringkat agensi dan Kerajaan Negeri Selangor amat mengalu-alukan usaha ini supaya ia dapat membendung permasalahan tersebut pada masa akan datang.
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk membendung permasalahan ini yang semakin serius sehingga merencatkan para peniaga tempatan?
Sama seperti di SUB(a)
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk membendung dan mengelak maklumat berkaitan operasi penguatkuasaan oleh PBT daripada bocor kepada para peniaga asing ini?
Selain pemantauan dan operasi berkala yang dijalankan oleh Penguatkuasa PBT. Operasi bersepadu dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan Polis DiRaja Malaysia untuk menangani masalah kebanjiran warga asing turut diadakan. Dalam operasi ini, PBT berperanan untuk memberi maklumat tentang lokasi-lokasi yang sering menjadi tumpuan warga asing. Bantuan keanggotaan juga diberikan dalam menangani kebanjiran warga asing di kawasan pentadbiran PBT. Setakat ini tidak pernah lagi berlaku kebocoran maklumat berkaitan operasi penguatkuasaan dan sekiranya ada perkara ini akan diambil perhatian serius dan siasatan dan tindakan akan dilakukan/dikenakan oleh Jabatan Penguatkuasaan PBT.