Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
42) PENYERTAAN BELIA DALAM PEMBANGUNAN EKONOMI
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri meningkatkan penyertaan belia luar bandar dalam pembangunan ekonomi Negeri Selangor?
Umum mengetahui Kerajaan Negeri Selangor adalah penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia dengan anggaran 25% setiap tahun. Namun, Kerajaan Negeri masih berhadapan dengan cabaran untuk menyeimbangkan jalur ekonomi di antara bandar dan luar bandar. Oleh yang demikian, melalui Rancangan Selangor 1 (RS-1), tumpuan utama adalah penyediaan peluang ekonomi yang menjana pendapatan dan intervensi sosial melalui teknologi semasa. Secara umumnya, Kerajaan Negeri sedang menumpukan kepada pembangunan infrastruktur utama yang melibatkan kawasan luar bandar seperti Pembangunan Carey Selangor, IDRISS, SABDA dan Selangor Aero Park yang pastinya memberi peluang dan menyediakan prospek pekerjaan kepada belia-belia di Negeri Selangor.
Bagi jangka pendek, Kerajaan Negeri melalui RS-1 telah menyediakan pelbagai platform pemerkasaan ekonomi. Antaranya adalah;
- Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)
- Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
- Pinjaman Mikro Kredit Hijrah Selangor
- Skim Pembiayaan Digitalisasi (GO Digital)
- Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC)
- Liga Usahawan OKU Selangor – SAY LEAD
- Liga Usahawan Eksport Selangor – SAY ASPIRE
-
Apakah program-program di luar bandar yang telah dilaksanakan bagi membantu belia mendapatkan peluang pekerjaan?
Selangor merupakan destinasi penting dalam menyediakan peluang kerjaya terutama bagi golongan belia yang baru pertama kali mencari pekerjaan dan yang datang daripada luar bandar. Bagi merangsang sektor pekerjaan Pasca Covid-19, Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai pendekatan bagi menyediakan peluang kepada majikan untuk mencari pekerja dan pada masa yang sama menyediakan ruang dan platform bagi memperkasa kemahiran belia di pelbagai bidang.
Antara usaha Kerajaan Negeri adalah;
- Program Job Fair Selangor diadakan setiap tahun bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada belia di dalam bidang kemahiran termasuk kemahiran TVET selain bidang-bidang lain seperti bidang perhotelan, makanan dan minuman (F&B), automotif dan sebagainya. Program ini pernah diadakan di beberapa lokasi berbeza seperti di Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Langat dan Sungai Buloh.
- Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) bermatlamat menyediakan tenaga kerja mahir di Selangor dan meningkatkan kebolehpasaran belia dan graduan menganggur. Pembangunan latihan dalam Program IKTISASS merupakan pendekatan untuk lepasan latihan memasuki alam pekerjaan dan keusahawan dengan kepakaran yang berkualiti.
- Program Selangor Kerjaya yang telah dilaksanakan oleh pihak MBI atau Menteri Besar Selangor Pemerbadanan. Program ini menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan dan pemohon perlu mendaftar dengan melayari laman web selangorkerjaya.com.my.
- Program Selangor Freelance pula adalah inisiatif bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran rakyat Selangor dalam arena global freelancing digital.