Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

277) PENYELEWENGAN WANG ZAKAT DI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah kes yang berlaku sejak 2010 hingga kini.

    Terdapat 10 kes yang telah direkodkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) sepanjang tempoh 2010 hingga kini.

  2. Apakah tindakan yang telah diambil dan strategi menangani dari berulang?

    LZS amat menitikberatkan amanah dan integriti dalam melaksanakan tugas demi memastikan wang zakat diurus dengan baik. Sehubungan itu, LZS amat memandang serius terhadap sebarang salah laku yang membabitkan integriti dan tanpa kompromi akan mengambil tindakan tatatertib serta undang-undang pada mana-mana individu atau syarikat yang terlibat.

    Ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawab kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas. Oleh itu bagi memastikan kes ini tidak berulang, LZS telah melaksanakan beberapa inisiatif dan strategi iaitu:

    1. Penambahbaikan proses kerja dan sistem bagi meningkatkan kawalan dan mencegah risiko berlaku kes salah laku.
    2.   Menambahbaik dan meningkatkan pelbagai kawalan dalaman dan luaran bagi memastikan integriti dan kredibiliti LZS terpelihara melalui pelbagai siri pengauditan Firma Audit Antarabangsa, Audit Negara, Audit SIRIM, Audit Anti Bribery Management System (ABMS), Audit Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Audit Kualiti Dalaman dan Audit Dalaman LZS.
    3. Penerapan budaya kerja berlandaskan amanah dan integriti serta melaksanakan program kesedaran integriti dan bebas rasuah kepada warga kerja dan vendor LZS.
    4. Meningkatkan hebahan berkenaan pelaporan Whistleblowing kepada orang ramai dan warga kerja.
    5. Melaksanakan polisi pengisytiharan konflik kepentingan kepada vendor, pemohon bantuan dan warga kerja.
    6. Melaksanakan polisi tidak menerima hadiah ‘No gift policy’ di LZS.
    7. Kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
    8. Pengauditan ABMS/QMS berdasarkan tahap risiko dan data driven.
    9. Melaksanakan Semakan Tapisan Keutuhan (eSTK) SPRM bagi lantikan pihak ketiga (vendor).
    10. Deklarasi aset oleh warga kerja LZS.

Lampiran

Tiada Lampiran.