Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
268) PENYELESAIAN SISA INDUSTRI
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rancangan kerajaan dalam menyelesaikan masalah longgokan sisa industri/kilang secara haram?
Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya yang mempunyai pusat-pusat industri ringan atau berat, sentiasa komited dalam usaha menambah baik pengurusan sisa pepejal industri bagi memastikan sisa-sisa yang dijana oleh industri diurus dengan selamat sehingga ke tapak pelupusan yang dibenarkan.
Sehubungan itu, dalam menyelesaikan masalah longgokan sisa industri/ kilang secara haram, Kerajaan Negeri melalui PBT telah dan akan berterusan melaksanakan perancangan berikut iaitu:
- menjalinkan usaha sama dengan pengilang/pemain industri untuk mencari titik penyelesaian bagi menguruskan sisa industri dengan berkesan termasuk mensyaratkan premis yang menghasilkan sisa industri/ komersial untuk melantik kontraktor panel Majlis;
- menggalakkan semua kawasan industri menubuhkan Industrial Park Management Committee (IPMC) di kawasan perindustrian masing-masing. Ini bertujuan untuk memastikan pengurusan sisa industri dapat dibuat secara bersama dan juga dapat mengelakkan berlakunya pembuangan sisa industri secara haram;
- mewujudkan pembahagian zon industri / kilang sesebuah untuk lantikan kontraktor panel sisa industri sebagai salah satu langkah altenatif untuk mengawal sisa industri dari dilupuskan secara haram dan bagi memastikan sisa industri dikutip oleh kontraktor yang berkelayakan (panel kontraktor sisa industri yang berdaftar dengan pihak Majlis) agar sisa berkenaan dapat diuruskan dengan baik untuk dilupuskan ke tapak pelupusan yang selamat;
- mengadakan operasi dan pemantauan ke atas industri/ kilang serta membuat pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang menghasilkan sisa industri/ komersial yang tinggi bagi mengekang masalah longgokan sisa;
- meletakkan dalam syarat lesen bahawa industri/ kilang perlu mengemukakan laporan bagi setiap sisa buangan yang dilupuskan;
- mengadakan kolaborasi bagi penganjuran kempen kitar semula dengan menekankan akan kepentingan pengurusan sisa di pusat penjanaan sisa; dan
- mengeluarkan kompaun kepada premis yang membuang sisa industri di tempat awam.