Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
52) PENYELESAIAN ISU HAKMILIK STRATA
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimana penyelesaian /pendekatan Kerajaan Negeri dalam isu pemberian hakmilik strata kepada pembeli-pembeli yang menunggu lebih sepuluh tahun dan lebih?
Untuk makluman Yang Berhormat Lembah Jaya, semakan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) mendapati bahawa kesemua permohonan hakmilik strata yang dikemukakan dengan lengkap telah diproses mengikut tempoh yang ditetapkan seperti yang terkandung di dalam piagam pelanggan dan prosedur operasi standard (SOP) semasa.
Namun begitu, Kerajaan Negeri mengambil maklum dan komited dalam menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan skim pembangunan berstrata yang masih belum mempunyai hakmilik. Hasil daripada aduan orang awam serta maklumat daripada pihak Pesuruhjaya Bangunan (COB), satu pasukan petugas (task force) telah diwujudkan bagi menyelesaikan permohonan hakmilik strata yang bermasalah di negeri Selangor. Selain daripada itu, pihak Kerajaan Negeri melalui PTGS boleh mengambil tindakan di bawah seksyen 8, Akta Hakmilik Strata
1985 terhadap mana-mana pemilik asal tanah atau pemaju yang gagal untuk mengemukakan permohonan hakmilik strata mengikut tempoh yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, kelulusan permohonan hakmilik strata tersebut adalah tertakluk di bawah seksyen 10, Akta Hakmilik Strata 1985.
MAKLUMAT TAMBAHAN
Untuk makluman Yang Berhormat Lembah Jaya, fungsi pasukan petugas (task force) di PTGS adalah:
- Membantu menyenaraikan skim – skim strata yang belum mendapat strata;
- Membantu dan menyelaras proses – proses yang perlu dalam permohonan hakmilik strata;
- Mengenalpasti masalah dan isu yang berkaitan dengan skim – skim yang tidak mempunyai strata;
- Membuat pemantauan terhadap skim – skim strata yang bermasalah; dan
- Melaksanakan tindakan penguatkuasaan seperti yang tertakluk di bawah seksyen 8, Akta Hakmilik Strata 1985.