Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

45) PENYELENGGARAAN SAMPAH

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Ketiadaan tong sampah di kawasan kampung menyebabkan penduduk masih membuang sampah di tapak asal pembuangan sampah, apakah langkah penyelesaian pihak berwajib?

    Pada masa ini, mekanisme yang digunakan oleh PBT dalam menguruskan kutipan sampah di kawasan kampung adalah dengan menempatkan tong sampah berpusat (diletakkan di lokasi khas di tepi jalan utama) atau leach bin bersaiz 660 liter bagi memudahkan kutipan sampah oleh kontraktor ketika melalui jalan tersebut. Selain itu, spesifikasi kerja kontraktor kutipan sampah telah ditambah baik dengan mensyaratkan supaya setiap kontraktor memungut dan melupuskan sampah di sepanjang laluan kampung.

    Kaedah yang sama digunakan oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kawasan Kampung Sungai Kandis. Walau bagaimanapun, bagi menangani isu pengurusan sampah di kawasan kampung, MBSA sedang dalam perancangan bagi pelaksanaan penambahbaikan kutipan sampah daripada kaedah kutipan di tong sampah berpusat di Bin Point Collection kepada kaedah kutipan daripada pintu ke pintu di setiap premis menggunakan kenderaan trisikal. Tapak asal pembuangan sampah di laluan utama akan dihapuskan berikutan ianya sering menjadi tempat pembuangan sampah haram daripada sisa perniagaan dan industri. Bagi mengelakkan pembuangan sampah berulang, tapak asal pembuangan sampah akan dibuat pengindahan landskap dengan menanam pokok – pokok, membuat pemasangan papan tanda larangan membuang sampah serta pemantauan yang berterusan di lokasi – lokasi tersebut.

    Kaedah ini juga telah dilaksanakan di kawasan-kawasan kampung di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK). Penduduk kampung diminta memberi kerjasama dengan menyediakan tong sampah dan meletakkannya di hadapan rumah masing-masing.

  2. Apakah usaha kempen yang lebih berkesan untuk mendidik penduduk kampung dalam menangani isu pembuangan sampah?

    Antara kempen yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:

    1. Mengadakan ceramah, bengkel, atau pameran untuk memberi penduduk kampung pengetahuan tentang kesan negatif pembuangan sampah yang tidak terkawal terhadap kesihatan, alam sekitar, dan kehidupan harian mereka.
    2. Menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat tentang amalan pembuangan sampah yang baik dan impak negatif pembuangan sampah yang tidak bertanggungjawab.
    3. Mengadakan program pembersihan komuniti secara berkala untuk menggalakkan kesedaran tentang kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
    4. Mengedarkan maklumat tentang 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan cara-cara untuk mengurangkan pembaziran dan memanfaatkan semula barang-barang bagi mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan.
    5. Mengadakan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menyediakan kemudahan kitar semula dan pengurusan sampah yang berkesan serta memberi dorongan atau insentif kepada penduduk kampung yang mengambil bahagian dalam amalan pembuangan sampah yang baik.
    6. Mengadakan aktiviti sukan atau acara komuniti yang melibatkan kesedaran alam sekitar, seperti plogging (mengutip sampah semasa bersukan) atau pertandingan reka bentuk seni menggunakan bahan kitar semula.
    7. Menunjukkan contoh teladan dengan melibatkan tokoh masyarakat atau penduduk kampung yang sudah mengamalkan amalan pembuangan sampah yang baik dan menjadikan mereka sebagai inspirasi kepada yang lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.