Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

188) PENYELENGGARAAN RUMAH PANGSA KOS RENDAH (RPKR)

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan negeri mempunyai peruntukan tetap untuk kerja-kerja penyelenggaraan atau pembaikan kerosakan Rumah Pangsa Kos Rendah (RPKR)?

    Kerajaan Negeri sejak tahun 2011 telah pun mewujudkan skim bantuan khusus bagi menangani masalah kerosakan harta bersama pangsapuri di Negeri Selangor yang dikenali sebagai Skim CERIA. Peruntukan ini disalurkan melalui penubuhan Tabung Amanah dengan suntikan dana berjumlah RM25 juta setiap tahun.

    Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan geran khas melalui setiap Pihak Berkuasa Tempatan bagi tujuan baik pulih jalan di dalam kawasan pangsapuri. Untuk rekod, tidak kurang daripada RM9 juta telah disalurkan bagi tujuan tersebut pada tahun 2016. Manakala setakat, Mac 2017 sebanyak RM18 juta dianggarkan untuk dimanfaatkan bagi tujuan baik pulih jalan yang dikategorikan sebagai harta bersama pangsapuri.

    Bemula pada tahun 2017 ini juga Program Smart Lift Improvement for Quality Life (SMART LIFE) diwujudkan khusus bagi membantu pangsapuri kos rendah dalam mengatasi masalah lif yang sering rosak. Sejumlah RM30 juta diperuntukkan bagi tujuan menaik taraf dan menyenggara lif untuk tempoh satu tahun.

  2. Beberapa RPKR di DUN Semenyih berkeadaan tidak terurus kerana JMB gagal berfungsi atau tidak mempunyai dana untuk menyelenggara. Bagaimana masalah ini dapat diselesaikan?

    Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif bagi mengatasi masalah ini menerusi 3 aspek utama iaitu:-

    • Bantuan berbentuk pendidikan seperti Kempen Pangsapuri Bersih, Ceria dan Harmoni, Skim Pengenalan Kehidupan Strata (SKORA) yang menyasarkan pelajar sekolah, Program Format Kurikulum Kehidupan Strata (FOKUS) iaitu program khusus untuk melengkapkan Ahli Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Ahli Majlis Perbadanan Pengurusan (MC) dengan ilmu dan sebagainya;
    • Bantuan perundangan iaitu tindakan punitif yang dibuat oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) ke atas pembeli yang engkar membayar caj di bawah Akta Bangunan dan Harta Bersama (Pengurusan dan Penyenggaraan) 2007 (Akta 663) sebelum Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) berkuatkuasa; dan
    • Bantuan berbentuk fizikal dan kewangan seperti Skim CERIA, SMART LIFE, Skim Rondaan Keselamatan Kejiranan Pangsapuri (SEROJA). Untuk rekod, beberapa pangsapuri di bawah DUN Semenyih telah pun menerima bantuan Skim CERIA seperti berikut:-
     

    BIL

     

    NAMA PEMAJUAN

     

    NAMA PBT

    PERIHAL KERJA BAIKPULIH STATUS KEMAJUAN KERJA KOS     SEBENAR/HARGA KONTRAK (RM)
    1. Pangsapuri Pinggiran Delima MPKj Bumbung 100%

     

    Tahun : 2011

    87,720.00
    2. Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma MPKj Taman Permainan 100%

     

    Tahun : 2012

    24,140.00
    3. Flat (Kos Rendah) Taman Bangi Jaya MPKj Bumbung 1

    blok

    100%

     

    Tahun : 2015

    127,953.98
    4. Pangsapuri Seri Rinching MPKj Bumbung 2

    blok

    100%

     

    Tahun : 2015

    99,718.40
    JUMLAH 339,532.38

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri mulai tahun 2013 telah memperkenalkan bantuan air percuma sebanyak 20 meter padu iaitu bersamaan RM11.40 melalui Skim Selangor Free Water (SAFWA) dan juga pengecualian bayaran cukai pintu bagi pangsapuri kos rendah yang dianggarkan menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM180.00 setahun bagi tujuan bayaran cukai pintu oleh penghuni pangsapuri kos rendah. Sewajarnya bantuan Kerajaan Negeri ini sedikit sebanyak dapat menjimatkan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh penghuni pangsapuri kos rendah dalam dua perkara berkenaan. Seharusnya penjimatan tersebut perlu disalurkan bagi pembayaran caj penyenggaraan yang mana sekaligus menyumbang kepada keadaan pangsapuri yang lebih terurus serta disenggara dengan baik. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri tidak dapat menafikan bahawa himpitan kos sara hidup akibat peningkatan harga barang keperluan dan juga pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sedikit sebanyak akan merencatkan matlamat utama Kerajaan Negeri dalam memperkasakan fungsi JMB melalui bantuan yang diberikan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.