Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
111) PENYELENGGARAAN & PENGURUSAN KEMUDAHAN PENGINAPAN PELAJAR UNISEL
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Dr Xavier Jayakumar A/l Arulanandam
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah keputusan Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian di dalam Isu MBI-Jana Niaga Sdn Bhd yang telah dirujuk kepada Jawatankuasa tersebut pada bulan Mac 2014 kerana kegagalan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) menyelenggara dan mengurus kemudahan penginapan pelajar dan kakitangan UNISEL selaras dengan kontrak perjanjian?
Penamatan kontrak konsesi oleh pihak UNISEL adalah berdasarkan dakwaan bahawa JNSB telah gagal untuk membetulkan perlanggaran syarat-syarat perjanjian dan mengingkari syarat-syarat perjanjian konsesi. Manakala itu, JNSB pula telah mempertikaikan dakwaan UNISEL dan kesahan penamatan kontrak terbabit. Maka wujudlah pertikaian yang perlu diselesaikan di antara UNISEL dan JNSB berhubung penamatan perjanjian konsesi terbabit.
Selaras dengan keputusan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) 04/2013 pada 16 Disember 2013 agar pertikaian ini dirujuk kepada Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian (“Dispute Resolution Committee” atau “DRC”) berbanding “arbitration” kerana ia akan melibatkan kos yang tinggi, pertikaian di antara UNISEL dan JNSB telah dirujuk kepada DRC pada 6 Januari 2014 dan 21 Mac 2014. Walau bagaimanapun, DRC telah gagal untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.
Sehubungan itu, Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PIYSB No. 02/2016 bertarikh 29 Ogos 2016 telah bersetuju agar Pegawai Kewangan Negeri Selangor mengaturkan perbincangan dengan semua pihak terbabit bagi mencari jalan penyelesaian pertikaian dengan kadar segera berhubung pertikaian yang timbul disebabkan isu penamatan perjanjian konsesi. Cadangan penyelesaian pertikaian di antara UNISEL dan JNSB telah diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan diluluskan pada MMKN Ke-19/2017 pada 7 Jun 2017.
-
Benarkah Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) yang telah ditamatkan kontrak menyelenggara dan mengurus kemudahan penginapan pelajar dan kakitangan UNISEL selaras dengan kontrak perjanjian, didakwa mendapat pampasan kewangan dan kontrak baru daripada UNISEL pula?
Syarikat JNSB tiada menerima pampasan ataupun kontrak baru daripada UNISEL. Penyelesaian pertikaian ke atas penamatan Perjanjian Konsesi di antara UNISEL dan JNSB adalah dengan kelulusan MMKN di mana penyelesaian tersebut adalah yang paling efisyen dari segi masa, kos dan risiko yang minima kepada Kerajaan Negeri dan UNISEL, terutamanya demi menjaga kepentingan para pelajar.