Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
36) PENYELENGGARAAN JALAN-JALAN BUKAN DI BAWAH MARRIS
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan jalan-jalan bukan di bawah MARRIS sentiasa dalam keadaan yang elok terutamanya jalan-jalan yang digunakan oleh banyak kenderaan berat dan ringan walaupun pemajunya sudah gulung tikar dan jalannya belum diserahkan kepada agensi pelaksana?
Kerajaan Negeri mengambil maklum akan keperluan untuk membaikpulih jalan-jalan yang masih belum didaftarkan di bawah program MARRIS. Ini kerana jalan tersebut masih belum diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan oleh pihak pemaju yang telah gulung tikar.
Dalam hal ini, Kerajaan Negeri telah mengarahkan PBT yang berkaitan untuk menyelaras supaya jalan-jalan tersebut dapat diambilalih dan didaftarkan di bawah MARRIS untuk membolehkan ianya diselenggara secara berkala.
Pada tahun 2015, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah mengenalpasti keperluan membaikpulih dan menyelenggara jalan-jalan utama sepanjang 7.8km di Bandar Bukit Beruntung dan Bandar Bukit Sentosa, Mukim Serendah daerah Hulu Selangor. Kawasan tersebut merupakan jalan di dalam kawasan pembangunan syarikat Talam Corporation dan syarikat Europlus Berhad di mana kedua-dua syarikat tersebut telah gulung tikar namun jalan-jalan tersebut masih belum diserahkan kepada pihak MDHS.
Sehubungan itu, MDHS telah mengambilalih jalan tersebut dan mewartakan sebagai jalan yang akan diselenggara oleh MDHS. Hasil pengambilalihan tersebut, Kerajaan Negeri pada 11 Jun 2015 telah meluluskan siling peruntukan berjumlah RM5juta bagi tujuan baikpulih dan penyelenggaraan. Jalan-jalan tersebut juga telah didaftarkan di dalam Sistem MARRIS Online bertujuan untuk memastikan rekod panjang jalan di dalam negeri Selangor meningkat dan seterusnya meningkatkan siling peruntukan MARRIS pada tahun berikutnya. Dengan kaedah ini, pembaikan jalan tersebut dapat dibuat dengan lebih teratur dan sistematik pada masa akan datang.
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menyelenggarakan jalan-jalan di kawasan FELDA? Jika tidak, nyatakan cara-cara yang boleh memastikan jalanjalan FELDA di Selangor dalam keadaan yang elok
Dasar Kerajaan Negeri sedia ada tidak membenarkan sebarang pelaksanaan projek termasuk projek menaiktaraf dan membaiki jalan di atas tanah hak milik persendirian/bukan milik Kerajaan Negeri termasuklah jalan-jalan di kawasan FELDA. Ini adalah kerana peruntukan pembangunan yang disediakan adalah bagi menaiktaraf dan membaikpulih aset-aset milik Kerajaan Negeri.
Melalui kaedah yang sedang dilaksanakan sekarang, sekiranya jalan tersebut adalah jalan di atas tanah pihak Pejabat Daerah dan Tanah akan melaksanakan kerja-kerja ukur tanah/‘land survey’ bagi mendapatkan jajaran jalan dan sempadan yang sebenar. Langkah seterusnya akan diputuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri selepas selesai kerja-kerja ukur tersebut sama ada melalui proses Esmen (Seksyen 282 Kanun Tanah Negara (KTN)), atau mengguna pakai Hak Lalulalang Pentadbir Tanah (Seksyen 388 & 389 KTN) atau kaedah terakhir iaitu pengambilan balik semula tanah (Seksyen 3 Akta Pengambilan Tanah 1960).