Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
216) PENYELENGGARAAN JALAN
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan atau peranan Kerajaan Negeri dalam memastikan JKR menjalankan kerja menurap, penyelenggaraan parit cetek di jalan utama Bukit Kemuning?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, laluan yang dimaksudkan adalah Jalan Persekutuan FT190. Pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melantik konsesi penyenggaraan jalan persekutuan di Negeri Selangor iaitu konsesi Roadcare (M) Sdn. Bhd.
Penyenggaraan rutin di bawah seliaan Roadcare yang melibatkan pembersihan perparitan dilaksanakan dengan kekerapan dua (2) kali setahun bagi jalan utama. Pemantauan melalui JKR Daerah dilaksanakan dari semasa ke semasa.
JKR Selangor sentiasa mengangkat permohonan untuk menurap semula jalan dan kerja turapan semula akan dilaksanakan sekiranya mendapat kelulusan peruntukan daripada KKR.
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk memastikan ada penyelarasan diantara agensi PBT, JKR dan JPS untuk memastikan dapat menjalankan kerja?
Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur pada masa ini dalam proses pengumpulan, penyelarasan dan seterusnya penentuan pemilikan inventori infrastruktur seperti jalan, longkang dan parit supaya penyeragaman kerja terutama dari segi skop penyelenggaraan jalan dan perparitan di bawah agensi/jabatan lebih terancang dan sistematik.
Mesyuarat Penyelarasan Isu Jalan, Longkang dan Parit Tidak Bertuan Bil. 1/2024 telah diadakan pada 11 Januari 2024 dan dalam mesyuarat tersebut data dan maklumat yang diperolehi sedang diperhalusi dan dikemaskini.
Kerajaan Negeri juga sedang menyelaraskan semula infrastruktur seperti jalan, longkang dan parit di bawah JPS, JKR dan PBT bagi menyelesaikan masalah pertindihan kawasan dan juga jalan dan longkang yang tidak diselenggara. Melalui penyeragaman ini, masalah pertindihan tugasan di antara agensi akan dapat di atasi dalam masa yang terdekat demi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Selangor.