Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

416) PENYELENGGARAAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Siapakah bertanggungjawab untuk menyelenggara longkang yang tidak bertuan, khasnya kawasan Greenville, Kota Kemuning?

    Untuk makluman, penyelenggaraan longkang kawasan Greenville, Kota Kemuning adalah di bawah seliaan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

  2. Adakah kerajaan mengenakan penalti kepada pemaju yang gagal menyerahkan infra kepada PBT?

    Untuk makluman bagi sebarang pembangunan di PBT, pihak PBT akan mengenakan cagaran berbentuk wang atau bon pelaksanaan bagi setiap infrastruktur yang dibina oleh pemaju berdasarkan nilai yang telah ditetapkan dan pihak PBT tidak mengenakan penalti kepada pemaju yang gagal menyerahkan kemudahan infra kepada PBT. Sekiranya berlaku kerosakan kepada kemudahan infra tersebut, pihak PBT akan mengarahkan pemaju yang terlibat supaya membuat pembaikan kepada infra yang mengalami kerosakan yang dilakukan oleh pemaju yang terlibat. Sekiranya pihak pemaju gagal membaik pulih kerosakan tersebut, pihak PBT akan melaksanakan pembaikan tersebut dengan kos pembaikan ditampung menggunakan wang cagaran tersebut.

  3. Apakah rasional bagi PBT yang mengutip cukai taksiran tetapi tidak menyelenggara akibat kegagalan penyerahan?

    Pihak PBT mengenakan cukai taksiran kepada pemilik dan pemunya pegangan berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 127 dan Seksyen 146, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) selepas Sijil Perakuan Siap dikeluarkan.

    Namun begitu, sekiranya terdapat kegagalan penyerahan kawasan kepada PBT, maka tanggungjawab untuk menyelenggara infrastruktur di kawasan tersebut perlu dilaksanakan oleh pihak pemaju walaupun pihak PBT telah mengutip cukai taksiran.

    Sehubungan dengan itu, untuk memastikan infrastruktur kawasan di selenggara oleh pihak PBT, maka menjadi tanggungjawab pihak pemaju untuk menyerahkan kawasan tersebut selepas Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.