Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
153) PENYELENGARAAN PANGSAPURI DI SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Mengapa masih ada rungutan rakyat mengenai komitmen Kerajaan Negeri dalam menguruskan kemusahan awam di kawasan pangsapuri di Selangor?
Harta bersama bagi pangsapuri di bawah Akta Pengurusan Strata (Akta 757) pada asasnya adalah di bawah tanggungjawab pengurusan dan penyenggaraan oleh pihak Badan Pengurusan Bersama/Perbadanan Pengurusan (JMB/MC). Sehubungan itu, ia perlu diurus serta disenggara melalui kutipan caj daripada setiap pemilik. Sekiranya kutipan caj rendah atau ramai pemilik yang gagal membayar caj secara konsisten, maka akan ada masalah dalam mengurus dan menyenggara harta bersama pangsapuri.
Atas inisiatif peduli rakyat, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Skim CERIA yang berdasarkan konsep perkongsian kos. Ia bersifat serampang dua mata iaitu untuk bantu membaik pulih harta bersama serta memberi kesedaran kepada penduduk akan kepentingan membayar caj, memupuk rasa tanggungjawab serta rasa kepunyaan dan kebersamaan dalam memelihara harta bersama melalui kaedah perkongsian kos tersebut.
Oleh kerana Kerajaan Negeri memahami kesukaran yang dihadapi oleh sebahagian pangsapuri untuk menerima tawaran bantuan Skim CERIA kerana syarat perkongsian kos tersebut, maka Kerajaan Negeri telah mewujudkan program bantuan SMART LIFE (Smart Lift Improvement For Quality Life) iaitu program khusus dalam memberi bantuan baik pulih serta penyenggaraan lif kepada pangsapuri. Kos baik pulih serta bayaran penyenggaaran lif secara bulanan selama setahun akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
Oleh yang demikian, sekiranya masih terdapat rungutan daripada rakyat mengenai komitmen Kerajaan Negeri, maka ia berkemungkinan besar disebabkan tidak mendapat maklumat akan program serta skim bantuan yang telah diwujudkan oleh Kerajaan Negeri atau faktor dorongan sentimen politik yang bertentangan dengan Kerajaan Negeri serta majoriti penduduk pangsapuri.
-
Kerajaan Negeri perkenalkan Skim Ceria untuk baik pulih kemudahan pangsapuri di Selangor, sejauh mana keberkesanan program itu?
Skim CERIA yang telah diwujudkan sejak tahun 2010 telah memberi manfaat kepada 265 pangsapuri dengan liputan lebih 10,000 unit kediaman pangsapuri yang terlibat sehingga Jun 2017. Anggaran sejumlah RM86,826,024.68 telah dibelanjakan bagi tujuan tersebut.
Terdapat beberapa contoh kes keberkesanan bantuan Skim CERIA yang boleh diberikan. Antaranya adalah seperti masalah bil air meter pukal yang terlalu tinggi dihadapi oleh pangsapuri Ruvena Villa, Rosana Villa, Siantan, Dahlia dan Kenanga, Taman Putra Perdana di bawah DUN Dengkil. Kesemua pangsapuri ini mengalami masalah kebocoran paip retikulasi (dalam tanah) yang serius selama lebih dari 10 tahun serta mempunyai tunggakkan bil air mencecah antara ratusan ribu sehingga RM1 juta. Bantuan Skim CERIA oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2014 dan 2016 telah berjaya membantu mengurangkan bil semasa air meter pukal pangsapuri-pangsapuri yang terlibat sehingga separuh daripada bil air sebelum baik pulih dibuat. Ini sekaligus mengurangkan beban lebih 4,000 unit rumah kediaman di sekitar Taman Putra Perdana serta menjimatkan kos pembaziran air yang ditanggung oleh JMB selama ini.
Bantuan baik pulih lif Skim CERIA di pangsapuri seperti Ukay Indah, Pendamar 7A, Pendamar 7B, Impian Baiduri dan Seri Nilam telah memberi keyakinan penduduk di pangsapuri-pangsapuri berkenaan sehingga berjaya meningkatkan prestasi kutipan caj dari serendah 30% sehingga melebih 80% purata sebulan.
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) juga ada membuat penilaian impak terhadap keberkesanan pelaksanaan bantuan Skim CERIA ke atas 99 pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah. Majoriti pangsapuri yang dinilai menunjukkan peningkatan prestasi daripada segi bayaran caj oleh pemilik mahupun pengurusan perjalanan JMB/MC selepas menerima bantuan baik pulih Skim CERIA.
-
Berapa jumlah sebenar yang dibelanjakan Kerajaan Negeri di bawah Skim Ceria dan jumlah pangsapuri yang berjaya dibaikpulih sejak 2010?
Sehingga Jun 2017, sejumlah 265 pangsapuri yang telah berjaya dibaik pulih melibatkan perbelanjaan bejumlah RM86,826,024.68.