Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
43) PENYELARASAN PENDAFTARAN MUALAF BARU DI BAWAH MASJID KARIAH
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah pihak agama negeri mempunyai perancangan agar pendaftaran saudara baru diselaraskan dengan pihak masjid kariah sejak pada hari pertama pengislaman mereka?
Pengurusan pengislaman muallaf di Negeri Selangor adalah di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Bahagian Pendaftaran Muallaf dan Pembangunan PIBK, Sektor Pembangunan Sosial MAIS. Proses pengislaman boleh dilaksanakan oleh mana – mana individu beragama Islam termasuk pihak surau dan masjid.
Selepas proses pengislaman selesai dilaksanakan, pihak yang terlibat perlu mendaftarkan pengislaman muallaf tersebut di mana – mana Pusat Pengurusan Pengislaman(PPP) yang telah dilantik oleh pihak MAIS sama ada melalui 9 Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), 17 buah masjid terpilih dan 9 Pejabat Agama Islam Daerah di seluruh negeri Selangor untuk membantu pihak MAIS dalam menjalankan urusan pendaftaran pengislaman.
Antara masjid yang terpilih sebagai Pusat Pengurusan Pengislaman ialah :
- Masjid As Saadah, Bandar Sultan Suleiman
- Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam
- Masjid Bandar Seri Putra, Bandar Seri Putra
- Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
- Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya
- Masjid Bandar Utama, Batang Kali
- Masjid Puncak Alam, Kuala Selangor
Walaubagaimanapun, terdapat sebahagian daripada masjid di Negeri Selangor telah mewujudkan Biro Dakwah Dan Muallaf bagi membantu hal ehwal yang berkaitan dengan muallaf. Pihak masjid juga boleh memaklumkan kepada pihak Lembaga Zakat Selangor sebarang perkara yang berkaitan dengan kebajikan dan pendidikan muallaf.
Masjid-masjid melalui penolong amil kariah akan membantu urusan yang berkaitan dengan kebajikan muallaf manakala hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan asnaf seperti kursus-kursus, program pengukuhan aqidah dan sebagainya akan dibantu oleh guru pembimbing asnaf muallaf di setiap daerah.
-
Bagaimanakah pihak agama negeri terus memantau dan membantu saudara baru setelah tamat tempoh sebagai mualaf mereka?
Fatwa berkaitan dengan had tempoh panggilan muallaf yang diwartakan pada 25 Oktober 2007 telah menetapkan tempoh maksimum 5 tahun diberikan untuk panggilan muallaf berdasarkan uruf dengan syarat mengikuti kelas-kelas agama yang diiktiraf atau dianjurkan oleh MAIS. Sehubungan dengan itu, mana-mana muallaf yang telah tamat tempoh had panggilan 5 tahun akan dibanci melalui had kifayah Lembaga Zakat Selangor bagi dibantu melalui asnaf fakir, miskin atau fi sabilillah.
Walaubagaimanapun, mana-mana muallaf yang telah melepasi 5 tahun pengislaman masih boleh mengikuti kelas-kelas fardhu ain anjuran Lembaga Zakat Selangor dengan pemantauan dari guru-guru pembimbing muallaf yang telah dilantik. Bantuan elaun kehadiran kelas fardhu ain juga akan diberikan kepada mereka yang menghadiri kelas tersebut.
Bagi mana-mana muallaf yang telah dibantu melalui bantuan Pendidikan dan telah menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam pelbagai bidang, bantuan tersebut akan tetap diteruskan melalui tajaan bantuan Pendidikan sehingga tamat tempoh pengajian walaupun telah melebihi had 5 tahun pengislaman.
-
Apakah bentuk bantuan yang diberi kepada golongan mualaf?
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa memastikan golongan muallaf yang mendaftarkan pengislaman di MAIS atau muallaf yang berdaftar di luar Negeri Selangor tetapi bermastautin dalam negeri Selangor diberikan bantuan sewajarnya mengikut keperluan semasa muallaf tersebut. Ini bagi memastikan golongan muallaf ini sentiasa dibela dan disantuni.
Untuk makluman, pihak MAIS melalui Lembaga Zakat Selangor telah menyediakan bantuan-bantuan yang pelbagai jenis dan kategori bagi memastikan muallaf – muallaf dalam negeri Selangor kekal dengan Islam dan memudahkan mereka mempelajari ilmu Islam. Bantuan yang diberikan kepada muallaf – muallaf ini melibatkan aspek kebajikan dan juga pembangunan asnaf. Antara bantuan – bantuan yang bersifat kebajikan adalah seperti berikut :
- Saguhati Hari Raya
- Pembinaan rumah berkelompok
- Bantuan kecemasan/runcit
- Bantuan Berkhatan
- Bantuan Perkahwinan
- Bantuan Pendidikan
- Saguhati galakan
- Sambutan hari kebesaran Islam
- Pembinaan rumah individu
- Membaikpulih rumah
- Bantuan sewa rumah
- Pengurusan jenazah
- Bantuan kewangan bulanan
- Bantuan Modal
Manakala bantuan- bantuan bersifat pembangunan muallaf antaranya adalah seperti berikut :
- Program Ceramah
- Kursus/Latihan
- Aktiviti/Lawatan sambil belajar
- Elaun kelas agama asas
- Elaun guru kelas agama asas
Sumber : https://www.zakatselangor.com.my/jenis-bantuan-umum/