Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

32) PENYAKIT KENCING TIKUS (LEPTOSPIROSIS)

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status penularan kes penyakit tersebut?

    Sehingga 8/6/2013, sejumlah 1,461 notifikasi kes Leptospirosis telah dilaporkan di seluruh Selangor. Walaubagaimanapun, hanya 67 kes telah disahkan Leptospirosis.  dan daripada jumlah tersebut, 1 kematian telah sahkan disebabkan Leptospirosis (berbanding dengan 8  kematian pada tahun 2012).

    Peningkatan notifikasi kes dilihat ketara bermula tahun 2010, tetapi ini adalah berikutan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada semua fasiliti kesihatan untuk melaporkan semua kes yang sah, termasuk kes yang disyaki leptospirosis bermula pada tahun tersebut.

  2. Apakah langkah yang diambil oleh pihak PBT atau Jabatan Kesihatan dan keberkesanannya?

    1. Setiap kes yang disahkan Leptospirosis wajib dinotifikasi dan pencarian kes lain secara aktif (Active Case Detection) akan dijalankan bagi mencari faktor risiko jangkitan (seperti terdapat urungan atau tanda-tanda kehadiran tikus atau persekitaran yang kotor iaitu sampah sarap yang boleh mengundang kehadiran tikus).
    2. Jabatan Kesihatan juga telah mengedarkan surat (Alert) berkenaan wabak Leptospirosis kepada agensi-agensi lain dengan maksud memberi makluman risiko jangkitan yang dikaitkan dengan aktiviti lasak atau berkhemah di tempat rekreasi / hutan / jeram dan sebagainya.
    3. Jabatan Kesihatan giat memberikan pendidikan kesihatan kepada kes dan juga kontak tentang jangkitan Leptospirosis dan pencegahan penyakit ini. Selain itu, Pejabat Kesihatan Daerah telah mengedarkan risalah dan juga poster ke lokaliti yang berisiko serta ke sekolah – sekolah dalam memberikan pendedahan serta kesedaran (awareness) berkaitan penyakit ini.
    4. Pihak Jabatan Kesihatan juga telah mengadakan pertemuan dengan pengusaha resort dan pusat rekreasi bagi memaklumkan berkenaan perlunya pemasangan papan tanda amaran risiko kesihatan di resort masing – masing bertujuan meningkatkan kesedaran pengunjung mengenai risiko jangkitan serta keperluan mendapatkan rawatan segera dalam tempoh 2 minggu dari tarikh pendedahan. Walaubagaimanapun, pendirian notis amaran bahaya Leptospirosis secara sukarela tidak mendapat sambutan yang baik daripada pengusaha –pengusaha pelancongan. Oleh itu, disyorkan Kerajaan Negeri melalui PBT dapat menguatkuasakan keperluan mendirikan notis amaran sebagai pra – syarat wajib sebelum memperolehi/memperbaharui lesen perniagaan pusat pelancongan. Adalah dimaklumkan, daerah Hulu Selangor secara proaktif telah menetapkan pra-syarat mendirikan notis amaran ini sebelum pengusaha – pengusaha pusat pelancongan boleh memperbaharui/memperolehi lesen mereka.
    5. Jabatan juga bercadang untuk mengadakan perbincangan serta pertemuan dengan PBT bagi membincangkan serta menyelesaikan isu yang berkaitan dengan penularan penyakit Leptospirosis serta kawalan dan pencegahan penyakit ini terutama dalam membendung infestasi tikus di lokaliti perumahan dan premis makanan.

Lampiran

Tiada Lampiran.