Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

67) PENUTUPAN KILANG DALAM PKP

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri diberi kuasa untuk menutup kilang essential walaupun mereka dapat surat MITI dalam masa PKP?

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertanggungjawab memastikan sesebuah kilang beroperasi dengan mematuhi syarat lesen yang ditetapkan. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menutup kilang yang dikategorikan sebagai perlu atau ‘essential’ sekiranya kilang tersebut mematuhi semua syarat lesen yang telah ditetapkan oleh PBT berkaitan dan mendapat kelulusan MITI.

  2. Bolehkah Kerajaan Negeri disaman jika tidak mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara?

    Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah sebuah agensi peneraju yang menyelaras dasar berkaitan keselamatan sejak penubuhannya  pada tahun 1971. Punca kuasa kepada MKN adalah Arahan MKN No. 1 yang bersandarkan kepada Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979 yang menjelaskan pembentukan dan tanggungjawab MKN.  Pada asasnya, MKN bertanggungjawab menyelaraskan dasar yang berkaitan untuk keselamatan negara dan arah tuju hal-hal keselamatan. Struktur dan mekanisme keselamatan ini juga diguna pakai di peringkat negeri, daerah dan kampung. Selanjutnya, Parlimen telah menggubal suatu akta yang dikenali sebagai Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 [Akta 776]  bertujuan  untuk mengadakan  peruntukan  berhubung  penubuhan  MKN,  perisytiharan kawasan keselamatan dan perkara lain yang berhubung dengannya. Menurut subseksyen 3(2) Akta 776,  MKN merupakan pihak berkuasa pusat  bagi  Kerajaan  untuk  mempertimbangkan  perkara  berkenaan dengan keselamatan negara.

    Secara prinsipnya, bagi maksud keselamatan negara, MKN mempunyai kuasa untuk mengawal, menyelaras dan mengeluarkan apa-apa arahan kepada Entiti Kerajaan sebagaimana yang termaktub di bawah seksyen 5 Akta 776. Selain itu, menurut subseksyen 19(1) akta yang sama, MKN juga boleh mengeluarkan  perintah  eksekutif kepada  Entiti  Kerajaan sebagaimana  yang  difikirkan  perlu  berhubungan  dengan  kawasan keselamatan.

    Seterusnya, bagi maksud Akta 776, Entiti Kerajaan (Government Entities) ditafsirkan di bawah seksyen 2 Akta 776 sebagai termasuklah —

    (i) mana-mana kementerian,   jabatan,   pejabat,   agensi,  pihak berkuasa,  suruhanjaya,  jawatankuasa,  lembaqa atau majlis bagi Kerajaan Persekutuan, atau bagi mana-mana Kerajaan Negeri, yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau selainnya;

    (ii) mana-mana pihak berkuasa tempatan; dan

    (iii) pasukan keselamatan.

    Diperhatikan bahawa Akta 776 tidak memperuntukkan hukuman atau kesalahan berkaitan kegagalan atau ketidakpatuhan oleh Kerajaan Negeri dalam mematuhi apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh MKN. Namun begitu, ini tidak bermakna arahan-arahan yang dikeluarkan oleh MKN ini tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang dan tidak perlu dipatuhi oleh Kerajaan Negeri. Arahan-arahan yang dikeluarkan oleh MKN merupakan suatu kehendak undang-undang yang  perlu  dipatuhi  dan  mengikat Kerajaan Negeri.

    Oleh itu, dalam menjaga hubungan baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dan bagi memastikan hasrat penggubalan Akta 776 ini dapat dilaksanakan oleh MKN, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri haruslah melaksanakan amalan tadbir urus baik (good governance practices) dengan wajar khususnya, untuk memastikan kemaslahatan rakyat, kepentingan ekonomi  dan  pentadbiran  negara/negeri  dapat dipelihara  dan  diuruskan dengan  baik  dan  amnya,  demi menjaga keselamatan negara.

    Selanjutnya, dalam konteks yang lain, Akta 776 memberi perlindungan kepada  kakitangan  Entiti  Kerajaan  terhadap  guaman  dan  prosiding undang-undang yang mana tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain  boleh  diambil  atau  dibawa,  dimulakan atau dikekalkan dalam   mana-mana Mahkamah atas pengabaian atau keingkaran yang dilakukan atau ditinggalkan dengan suci hati selaras dengan peruntukan seksyen 38 Akta 776. Selain itu, menurut seksyen 40 Akta yang sama, Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 [Akta 198] hendaklah terpakai dalam perkara ini.

    Oleh yang demikian, jika sekiranya terdapat pengabaian atau keingkaran yang dilakukan atau ditinggalkan oleh kakitangan Kerajaan Negeri atau PBT dalam menjalankan apa-apa arahan atau tindakan yang diberikan oleh MKN bagi maksud Akta 776, tiada tindakan, guaman dan prosiding undang-undang yang lain boleh diambil atau dimulakan di mana-mana Mahkamah.

    Walau apa pun,  jika sekiranya pihak yang terkilan  itu  merasakan ketidakadilan telah berlaku, tiada apa-apa yang boleh menghalang pihak yang terkilan itu untuk memulakan atau mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah terhadap Kerajaan Negeri atau PBT.

    Namun begitu, dalam membenarkan suatu tindakan prosiding undang-undang itu diambil, Mahkamah akan melihat sama ada permohonan/tuntutan pihak yang terkilan itu mempunyai prima facie case atau terdapat serious question to be tried.

    Walau bagaimanapun, apa-apa tindakan yang hendak diambil terhadap Kerajaan Negeri hendaklah tertakiuk kepada Akta Prosiding Kerajaan 1956 [Akta 359].  Amnya,  Akta 359 ini digubal oleh Parlimen bagi menetapkan hal perkara berkenaan tindakan prosiding oleh dan terhadap Kerajaan  Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang mana Akta 359 ini terpakai diseluruh Malaysia.

Lampiran

Tiada Lampiran.