Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

24) PENUTUPAN ASRAMA YAYASAN SELANGOR KG PANDAN

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohamad Khir Bin Toyo

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Baru-baru ini Yayasan Selangor mengumumkan penutupan Asrama Toh Puan Norasyikin di Kampung Pandan bagi tujuan pembangunan semula. Apakah rasional penutupan ini?

    Perpindahan pelajar dari AYSKL mulai tahun ini tidak dapat dielakkan lagi kerana beberapa faktor. Antaranya ialah:

    1. Kesesakan lalu lintas
    • Pembangunan setempat
    • Keselamatan pelajar
      1. Setiap hari pelajar sesi petang akan pulang lewat kerana bas yang membawa mereka terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas. Mereka selalunya tiba di asrama jam 8.00 hingga 8.30 malam, tergesa-gesa untuk bersolat maghrib hampir setiap hari. Ada kalanya mereka terlepas waktu maghrib kerana bas sampai di asrama melewati jam 8.30. Mereka tergesa-gesa untuk solat, makan malam, mandi dan menghadiri kelas persediaan yang bermula seawal 8.30 atau 9.00 malam.
      2. Keadaan ini menyebabkan ketidakselesaan dan tekanan kepada pelajar. Mereka akan keletihan dan akhirnya tertidur di dalam kelas.
      3. Kesan jangka panjangnya ialah keputusan peperiksaan kebanyakan pelajar didapati merosot. Seorang dua memang mendapat 9A atau 10A. Beberapa orang memang boleh mencapai 7A dan 8A, baik PMR mahupun SPM, tetapi sekitar 40% pelajar hanya mencapai keputusan sederhana di bawah 5A.
      4. Faktor kedua yang menyebabkan AYSKL tidak lagi sesuai dijadikan penempatan berpusat pelajar ialah wujudnya pembangunan di kawasan sekeliling asrama. Kawasan di sekitar Jalan Cochrane, Kg. Pandan kini sedang dibangunkan. Kuarters perumahan kerajaan di kawasan itu kini sudah diserahkan kepada pemaju dan tidak lagi dihuni oleh kakitangan kerajaan. Rumah-rumah itu kini kosong dan dihuni oleh penagih dadah. Kawasan itu akan dibangunkan secara komersil.
      5. AYSKL akan tersepit di tengah-tengah dentuman bunyi bising dan bingit kerjakerja menanam cerucuk oleh syarikat pemaju. Sudah tentulah para pekerja pembinaan warga asing akan membanjiri kawasan tersebut. Keadaan ini akan mengancam keselamatan para pelajar.
      6. Pelajar tidak perlu lagi menghabiskan masa di jalanan. Sebaliknya boleh menghabiskan masa berkualiti menelaah pelajaran di perpustakaan sekolah. Mereka juga boleh menghadiri aktiviti ko kurikulum sekolah dengan lebih aktif untuk meningkatkan lagi jati diri dan memupuk sifat kepimpinan.
      7. Bajet keseluruhan bagi membiayai 468 orang pelajar di AYSKL setahun ialah RM3.9 juta. Ini bermakna purata kos seorang pelajar di AYSKL ialah RM8,400.00. Sedangkan kos bagi seorang pelajar di asrama daerah setahun hanyalah RM935.00. Oleh itu, sekiranya pelajar AYSKL ditempatkan semula di asrama harian, kosnya akan kurang dan lebih ramai pelajar akan menerimanya.
      8. Jika bajet AYSKL yang jumlahnya ialah RM3.9 juta itu digunakan untuk membantu seorang pelajar dengan kos RM935.00 setahun, jumlah pelajar yang dapat dibantu ialah sebanyak 4,220 orang, berbanding hanya 468 pelajar sekarang.

    10.Oleh itu, sekiranya tapak asrama Kg. Pandan dimajukan, Yayasan Selangor akan menjana lebih pendapatan dan pendapatan itu akan disalurkan untuk kebajikan pelajar di seluruh negeri Selangor.

    11.Mulai 2012, Yayasan Selangor akan memberikan tumpuan memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar sekolah menengah. Pemberian bantuan pelajaran di peringkat ini amat diperlukan kerana didapati lebih ramai golongan miskin luar bandar (rural poor) dan miskin bandar (urban  poor) yang berada di bawah paras kemiskinan.

  2. Apakah syarikat yang terlibat dalam memajukan tanah tersebut?

    Projek ini sedang dalam proses tender yang bermula dari 11hb Disember 2011 dan dijangka akan ditutup pada 11hb April 2012. Tender ini telah dibuka kepada semua pemaju-pemaju dalam dan luar negara. Antara 36 pemaju yang setakat ini telah membeli dokumen tender ialah:

    • UEM Land Berhad
    • P. Setia
    • WCT Land Sdn Bhd
    • IGB Corporation
    • Boustead Holdings Berhad
    • PKNS
    • Mah Sing Group
  3. Berapa dan apakah bentuk pulangan yang diterima oleh pihak Yayasan daripada projek pembangunan tapak ini?

    Yayasan Selangor akan memilih pemaju yang akan membina sebuah hotel di atas lot 545 secara Bina, Kendali, dan Serahkembali (Build Operate and Transfer – BOT). Pemaju akan membayar kadar sewaan yang akan ditentukan dalam tempoh sewaan yang juga akan ditentukan kelak mengikut jangka waktu kautsemula (recovery period) jumlah modal yang dilaburkan oleh pemaju. Segala kos pembangunan akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.

    Di atas lot 544 pula Yayasan Selangor akan membangunkan secara usaha sama pembinaan campuran (mixed development) dengan nisbah syer 30:70 dengan pemaju yang akan dipilih. Sebahagian daripada hasil jualan bahagian syer Yayasan Selangor akan diperuntukkan untuk membina sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Bestari Jaya, daerah Kuala Selangor untuk menggantikan Asrama Tun Dr. Ismail dan Toh Puan Norashikin di Kg. Pandan. Asrama itu tidak akan dirobohkan sehingga SBP di Bestari Jaya itu siap dan sedia untuk diduduki.

    SBP ini bakal berupaya menempatkan seramai 1,000 pelajar dan akan dilengkapkan dengan segala kelengkapan yang jauh lebih baik dari mana-mana sekolah bestari di negara ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.