Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
92) PENULARAN WABAK DENGGI
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan perancangan Kerajaan Negeri dan PBT dalam menyelesaikan masalah penularan wabak denggi.
Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan daripada N33 (Taman Medan) No.190 dan N44 (Selat Kelang) No. 296. Negeri Selangor merupakan negeri yang merekodkan kes demam denggi tertinggi di Malaysia. Saban tahun, pelbagai langkah dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi mengurangkan bilangan kes demam denggi. Namun, sehingga ke hari ini, kita masih belum melihat hasil yang memberangsangkan.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi adalah tahap kebersihan persekitaran lorong belakang rumah, kebun haram, rumah terbiar dan tanah-tanah kosong di samping sikap masyarakat yang kurang mengambil berat akan risiko kesihatan jika mengalami demam denggi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat semua, bagi Minggu Epidemiologi (ME) 44 iaitu dari tempoh 29 Oktober 2023 hingga 4 November 2023, sejumlah 1,068 kes demam denggi telah dilaporkan di Negeri Selangor, iaitu peningkatan sebanyak 1.7% (18 kes) berbanding 1,086 kes pada minggu sebelumnya. Sejumlah 49,497 kes demam denggi dilaporkan sehingga ME 44 yang berakhir pada 4 November 2023 iaitu peningkatan sebanyak 63.5% (19,231 kes) berbanding minggu yang sama tahun 2022 (30,266 kes). 12 kes kematian dilaporkan dalam tempoh ini berbanding 7 kes kematian pada tempoh yang sama tahun lepas
Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi terlibat serta badan sukarelawan kesihatan seperti Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA), Communication for Behavioural Impact (COMBI) dan Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) telah melaksanakan aktiviti pencegahan dan pengawalan demam denggi. Bermula pada tahun 2023, Operasi Bersepadu Denggi Negeri Selangor (OBDS) telah dilaksanakan bermula pada 20 Februari 2023 sehingga 23 Mac 2023 di empat daerah yang mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu Petaling, Klang, Hulu Selangor dan Hulu Langat.
Melalui OBDS, semua agensi akan berganding bahu melaksanakan aktiviti pencegahan seperti Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP), aktiviti larvaciding secara berjadual, Outdoor Residual Spray (ORS), semburan Ultra Low Volume (ULV), program gotong-royong dan juga aktiviti advokasi bersama komuniti setempat melalui pemberian risalah dan repellent. Selain daripada program OBDS, Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan turut melaksanakan program pencegahan dan pengawalan denggi yang lain seperti berikut:
- Membincangkan isu denggi di peringkat daerah secara terperinci untuk tindakan pihak terlibat melalui Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan turut dihadiri oleh semua agensi terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pihak Berkuasa Tempatan, Ahli Majlis, Ketua Kampung dan Komuniti;
- Membincangkan isu serta punca pembiakan denggi di lokasi terlibat bersama penduduk / ahli majlis / DUN agar dapat diambil tindakan bersama;
- Menggiatkan penggunaan repellant dan semburan aerosol dalam kalangan komuniti serta penggunaan Mosquito Home di lokaliti wabak;
- Meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya penyakit demam denggi dan mendapatkan rawatan awal dengan segera sekiranya mengalami tanda-tanda bahaya demam denggi terutamanya mereka yang tinggal di kawasan lokaliti wabak denggi. Kesedaran ini dihebahkan melalui promosi kesihatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dengan membuka kiosk kesihatan di tempat-tempat berisiko, edaran risalah kesihatan, edaran abate, hebahan suara, penggantungan kain rentang di kawasan lokaliti wabak dan juga melalui media sosial;Memperkasakan peranan penduduk dan agensi terlibat melalui penubuhan pasukan Communication for Behavioural Impact (COMBI) dan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) bagi melaksana aktiviti pencegahan denggi (pemusnahan tempat pembiakan denggi serta pendidikan kesihatan denggi) di lokaliti berkenaan. Sebagai contoh, Program Gotong-Royong Mega Denggi Peringkat Negeri Selangor Tahun 2023 yang telah diadakan di 16 lokasi di seluruh Negeri Selangor dan melibatkan penyertaan lebih daripada 3,700 orang penduduk setempat;
- Penggunaan ubat racun Bacillus Thuringiensis Israelensis (BTI) kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menghapuskan pembiakan nyamuk aedes. Penggunaan ubat racun ini juga akan dipantau secara berkala oleh PKD berkaitan;
- Program khusus yang dijalankan oleh PBT berkaitan seperti Operasi Lorong Belakang Bebas Aedes, Operasi Zero Larva dan kaedah mistaway yang dipasang di kawasan kediaman bertingkat;
- Menjalankan Program Selangor Bebas Aedes Di Tempat Kerja dan Kuarters;
- Mengukuhkan Program Bebas Denggi Sekolah; dan
- Aktiviti penguatkuasaan melalui Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975. Melalui Akta ini, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap individu atau pemilik premis yang berpotensi menjadi punca pembiakan aedes melalui pengeluaran notis di bawah Seksyen 8. Melaluinya, tindakan tawaran kompaun atau melalui arahan penutupan premis akan di ambil. Jika terdapat kegagalan mematuhi Notis Seksyen 8 atau tidak membayar kompaun, tindakan mahkamah akan dilaksanakan; dan
- Mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan kawalan vektor di bawah Seksyen 82 & Seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
-
Taman Sri Nanding di Dusun Tua menjadi hotspot Nombor 1 kes tertinggi di Malaysia, apakah tindakan berwajib?
Untuk makluman Yang Berhormat, pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama PKD Hulu Langat telah bersetuju dalam pembahagian kawasan bagi kerja kawalan demam denggi di bawah pentadbiran MPKj. Pihak MPKj hanya mengendalikan kes di kawasan DUN Kajang manakala DUN lain adalah dibawah bidang kerja PKD Hulu Langat. Dalam hal ini, Taman Seri Nanding adalah di bawah penyeliaan dan pemantauan PKD Hulu Langat bagi skop kawalan demam denggi.
Walau bagaimanapun, MPKj dan PKD Hulu Langat sentiasa bekerjasama dalam menangani masalah denggi yang berlaku di kawasan pentadbiran MPKj. Pihak Majlis turut serta membantu kawasan Taman Seri Nanding ini bagi aktiviti gotong royong yang dilakukan dengan membekalkan tong roro, membekalkan aerosol kepada penduduk, menjalankan aktiviti larviciding ketika Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Premis Individu. Di samping itu, pihak Majlis juga telah mengadakan lawatan bersama persatuan penduduk ke tempat-tempat yang berpotensi menjadi pembiakan nyamuk dan telah mengeluarkan arahan pelupusan kawasan tersebut.