Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

213) PENUKARGANTIAN PAIP AIR BARU DI DUN BANTING

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status Pakej Penukargantian Paip Air ke-27 Air Selangor di DUN Banting?

    Status Projek Penggantian Paip Lama di Bawah Pakej P27 yang melibatkan dua (2) kawasan di DUN Banting adalah seperti berikut:

     Jalan Kg Pulau, Kg Pulau – Kerja-kerja pemasangan paip baru serta penurapan akhir jalan telah siap pada 7 November 2021
     Jalan Teluk Bunut, Kg Teluk Bunut – Kerja-kerja pemasangan paip baru serta penurapan akhir jalan telah siap pada 14 Februari 2022

  2. Bagaimana kontraktor Teguh Amani dipilih melaksanakan projek ini?

    Kontraktor Teguh Amani telah dipilih untuk melaksanakan projek ini melalui proses tender terbuka (atau ‘open tender’). Pemilihan kontraktor telah dilakukan melalui beberapa peringkat penilaian dan perlu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Kriteria utama pelantikan adalah pematuhan kepada spesifikasi teknikal projek (atau ‘technical compliance’), harga tawaran tender yang kompetitif, aliran kewangan syarikat yang baik serta pengalaman kerja yang luas dan berkaitan bidang pengkhususan.

    Pihak Air Selangor mempunyai sistem penilaian berkala bagi mengukur prestasi kontraktor dalam melaksanakan projek yang telah dianugerahkan dan sekiranya terdapat kontraktor yang dilantik tidak mencapai tahap prestasi yang ditetapkan, maka kontraktor yang berkenaan akan disenarai hitam bagi tender kerja yang akan datang.

  3. Banyak aduan diterima terhadap kualiti penurapan jalan sementara yang lemah. Apakah bahan dan cara kerja yang ditetapkan untuk kerja-kerja ini?

    Penurapan sementara jalan yang dilaksanakan adalah menggunakan kaedah ‘Asphaltic Concrete Binder Course (ACBC 28)’ yang dipadatkan di atas batu baur (atau ‘crusher-run’) berdasarkan Spesifikasi Kerja Jalan (JKR/SPJ/2008-S4). Bahan turapan tersebut diperolehi daripada syarikat kuari yang terdapat dalam senarai kelulusan JKR dan bahan-bahan campurannya mematuhi piawaian ujian yang ditetapkan. Tatacara kerja serta kualiti penurapan sementara jalan yang dilaksanakan oleh kontraktor perlu mematuhi spesifikasi JKR dan jurutera perunding yang dilantik.

    Berhubung aduan yang diterima pula, ianya adalah disebabkan oleh struktur tanah yang lembut, terutamanya dikawasan ‘coastal area’ seperti Klang dan Kuala Langat, serta semasa musim hujan yang mana serapan air akan menyebabkan lapisan di bahagian atas turapan sementara terhakis dan menyebabkan jalan berlubang (atau ‘pothole’).

    Pihak Air Selangor melalui jurutera perunding yang dilantik sentiasa memantau kualiti penurapan sementara ini dan mengambil tindakan pembaikan yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. Selepas kerja-kerja pemasangan paip disiapkan sepenuhnya, keseluruhan permukaan jalan akan diturap menggunakan kaedah memperbaharu muka jalan (atau ‘mill and pave’)

Lampiran

Tiada Lampiran.