Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

185) PENUKARAN METER AIR PUKAL

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah pangsapuri kos sederhana dan rendah yang telah berjaya menukarkan meter air pukal kepada meter air individu bagi menikmati pemberian air percuma di Selangor?

    Semenjak Program Migrasi ini dilancarkan pada 28 Mei 2007 sehingga 15 Jun 2010,
    SYABAS telah menerima 373 permohonan bagi akaun kod 18 iaitu pangsapuri kos
    sederhana dan rendah. Daripada jumlah tersebut hanya 124 permohonan telah
    diluluskan manakala akaun yang aktif dan telah menerima pemasangan meter individu
    adalah sebanyak 28 akaun melibatkan 4578 meter individu.

  2. Apakah halangan-halangan yang masih dihadapi oleh mereka yang tidak berjaya menukarkan meter air pukal?

    Sehingga kini sebanyak 249 daripada 373 permohonan migrasi yang diterima oleh
    SYABAS tidak dapat diluluskan disebabkan kegagalan pihak Syarikat Pengurusan (MC)
    mengambil sebarang tindakan sepertimana yang diperlukan oleh SYABAS berasaskan
    kepada garis panduan yang telah ditetapkan seperti yang diluluskan oleh Kerajaan
    Negeri Selangor.
    Berikut adalah antara faktor-faktor kegagalan pemohon untuk mengikuti garis panduan
    migrasi sehingga menjadi halangan utama kepada pelaksanaan migrasi:
    i) Kedudukan meter yang tidak sesuai dimana ianya dipasang terlalu tinggi
    melebihi 2.1 meter dan sukar untuk dibaca dan disenggara dan perlu diubahsuai;
    ii) Tapak meter yang tidak sesuai dimana ianya telah reput, berkarat dan bocor
    atau dibuat dari bahan yang berkualiti rendah dimana ia boleh menyebabkan
    kebocoran dan perlu digantikan;
    iii) Terdapat pemasangan pam elektrik di kawasan ‘meter stand’ dimana air dipam
    terus dari paip dan ini tidak mengikut peraturan sistem paip dalaman;
    iv) Terdapat pemasangan penapis air berhampiran dengan ‘meter stand’ yang boleh
    mengganggu pembacaan meter dan juga menyukarkan penyengaraan meter;
    v) Terdapat tangki air bocor yang tidak dibaiki oleh pihak MC;
    vi) Meter dipasang terbalik yang perlu diubahsuai;
    vii) Meter berada dalam rumah/grill yang berkunci dan pembacaan meter tidak dapat
    dijalankan;
    viii) Terdapat tunggakan bil air terhadap akaun meter pukal Kondominium/Apartment
    yang perlu diselesaikan sebelum permohonan migrasi boleh diluluskan;
    ix) Tidak ada meter berasingan untuk kawasan gunasama (common area).
    Selain itu, sebanyak 96 permohonan migrasi yang telah diluluskan masih belum
    diaktifkan disebabkan oleh masalah-masalah berpunca daripada MC, antaranya
    ialah:
    i) Kelewatan Pihak Pengurusan/Persatuan Penduduk (MC) untuk
    memulangkan semula borang permohonan individu yang telah lengkap
    diisi kepada SYABAS atas alasan pihak MC mahu penduduk
    menjelaskan terlebih dahulu bayaran tunggakan yuran penyenggaraan
    kepada pihak MC.
    ii) Pemilik premis gagal untuk menyediakan dokumen yang lengkap semasa
    membuat permohonan bekalan air individu semasa perjanjian Jual Beli
    (Sale & Purchase) dan juga salinan kad pengenalan.
    iii) Terdapat segelintir pemilik yang sememangnya enggan bekerjasama
    kerana selama ini pun mereka tidak pernah membayar bil air kepada
    pihak pengurusan bangunan.
    iv) Kelewatan penghuni membuat permohonan bekalan air individu setelah
    permohonan migrasi diluluskan kepada pihak pengurusan bangunan
    kerana tiada undang-undang yang mewajibkan dan menetapkan tempoh
    masa tertentu kepada mereka untuk membuat permohonan bekalan air
    individu.

  3. Bagaimanakah Kerajaan Negeri bercadang untuk membantu menyelesaikan halanganhalangan ini?

    Kerajaan Negeri telah mengemukakan beberapa cadangan bagi memastikan migrasi
    meter air pukal kepada meter air individu dapat dilaksanakan dengan segera oleh
    SYABAS seperti berikut:
    i) Persetujuan pemilik 100% hanya daripada unit rumah yang diduduki sahaja.
    Kebenaran untuk membuka dan mendaftarkan akaun bekalan air sementara
    dibenarkan kepada pihak ketiga sama ada penyewa, pemaju, Badan
    Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) bagi premis
    kosong atau pemilik premis yang tidak memberi maklum balas. Pemegang
    akaun sementara boleh memohon kepada SYABAS untuk menutup akaun
    meter air terbabit selepas bil air pertama dikeluarkan.
    ii) Menyelesaikan masalah tunggakan bil air akaun meter pukal seperti berikut:-
     Kaedah 1
    Pemindahan tunggakan akaun meter pukal terus ke dalam akaun meter
    individu unit rumah terbabit.
     Kaedah 2
    Pembayaran tunggakan secara bersama oleh pemilik individu dan
    pemegang meter pukal mengikut peratusan 50% bagi setiap parti secara
    ansuran bagi tempoh 6 sehingga 18 bulan.
    iii) Pemegang meter pukal iaitu MC, JMB atau Pemaju dikehendaki
    menandatangani ”Surat Akujanji” yang menyatakan bahawa SYABAS tidak akan
    dipertanggungjawabkan ke atas apa-apa kerosakan yang mungkin timbul kerana
    pembinaan sistem bekalan air dalaman bagi kondominium tersebut tidak
    mengikut spesifikasi dan bahan yang diluluskan oleh SYABAS.
    Walaubagaimanapun, memandangkan terdapat halangan kepada migrasi meter air
    pukal kepada meter air individu yang menyebabkan penduduk tidak dapat menikmati
    pemberian air percuma 20 meter padu, selaras dengan dasar Kerajaan negeri
    “Merakyatkan Ekonomi Selangor”, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke
    15/2010 pada 28 April 2010 telah meluluskan pemberian air percuma bagi setiap 20
    meter padu pertama setiap bulan melalui sistem kupon kepada pembeli-pembeli
    perumahan bertingkat (pangsapuri kediaman) yang menggunakan meter air pukal.

Lampiran

Tiada Lampiran.