Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

174) PENUBUHAN PEMUDAH ADALAH SATU CARA TERBAIK BAGI MENYELESAIKAN ISU-ISU SERTA PERMASALAHAN DI SEKTOR PERNIAGAAN DAN PERINDUSTRIAN

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Yap Lum Chin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyakkah isu-isu dan masalah di kawasan perindustrian Balakong yang telah diselesaikan oleh PEMUDAH?

    Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Selangor (PEMUDAH Selangor) telah ditubuhkan pada 19 Mac 2009 di mana keanggotaannya adalah terdiri daripada sektor awam dan sektor swasta. Objektif utama PEMUDAH Selangor adalah untuk mengkaji dan menyelesaikan isu-isu dari sudut kesukaran dan kelewatan yang timbul dalam penyampaian perkhidmatan. Dalam konteks ini, penyelesaian isu-isu seperti kelewatan memproses permohonan, kelewatan memberi kelulusan, masalah birokrasi, penggubalan proses-proses kerja atau isu-isu yang menyentuh sistem penyampaian perkhidmatan dengan tujuan memudahcarakan urusan perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan yang terbaik oleh sektor awam adalah diutamakan.

     

    Walaupun isu-isu melibatkan kawasan perindustrian Balakong tidak dibangkitkan dan dibincangkan secara spesifik di PEMUDAH Selangor namun secara dasarnya masalahmasalah dari sudut teknikal seperti masalah tanah, kebenaran merancang dan ulasan jabatan teknikal yang mempengaruhi tempoh kelulusan projek-projek yang diproses oleh Pusat Setempat (OSC) di Pihak Berkuasa Tempatan telah dibuat penambahbaikan.

     

    Kebanyakan isu-isu perindustrian yang dihadapi oleh pekilang di kawasan Perindustrian Balakong diperbincangkan di dalam mesyuarat Industrial Park Management Committee (IPMC) Kawasan Perindustrian Balakong yang dipengerusikan oleh Yang diPertua Majlis Perbandaran Kajang.  Ahli-ahli IPMC adalah terdiri daripada agensi-agensi perkhidmatan kerajaan, separa kerajaan, Persatuan Pekilang-Pekilang Daerah dan pihak industri.

     

    Antara isu yang sering dibangkitkan adalah berkenaan kerosakan lampu jalan, kecurian kabel telefon dan TNB, penyelenggaraan jalan yang berlubang, longkang dan landskap serta kebersihan yang mana isu-isu ini melibatkan bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan.

     

    Oleh itu, sebarang isu/permasalahan yang dibangkitkan akan mendapat maklum balas secara terus dan tindakan segera akan diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan juga jabatan-jabatan teknikal yang berkaitan. Melalui IPMC juga memudahkan Pihak Berkuasa Tempatan membuat pemantauan.

  2. Berapakah jumlah eksport pekilang-pekilang yang datang dari kawasan Balakong?

    Kawasan Perindustrian Kg Baru Balakong mengandungi sebanyak 125 buah kilang yang sedang beroperasi. Di samping itu terdapat 6 buah kilang / syarikat yang telah disenaraikan di Bursa Saham Malaysia iaitu:-

     

    • Press Metal Bhd
    • PMB Facade Tecnology Bhd
    • Cheetah Corporation BHd
    • Voir Bhd
    • Furniweb Bhd
    • Weng Zheng Bhd

     

    Jumlah barangan keluaran bagi 125 kilang di Kawasan Perindustrian Kg Baru Balakong sahaja dianggarkan sebanyak RM 1.25 Bilion dan Barangan Eksport dianggarkan sebanyak RM 500 juta setahun.  Anggaran eksport dijangka akan meningkat memandangkan keadaan ekonomi yang menunjukkan kesan pemulihan yang positif  serta peningkatan permintaan pasaran luar negara untuk produk keluaran pekilang – pekilang di kawasan perindustrian ini.

  3. Apakah strategi kerajaan negeri bagi meningkatkan lagi jumlah pekilang-pekilang di kawasan Balakong?

    Strategi Kerajaan Negeri bagi meningkatkan lagi jumlah pekilang-pekilang di kawasan Balakong ini adalah seperti berikut;-

     

    1. Memastikan iklim pelaburan yang kondusif melalui pelaksanaan dasar pelaburan yang pragmatik dan telus untuk memberi keyakinan kepada pelabur asing.
    2. Konsep Mesra Pelabur yang diterapkan dengan mengadakan lawatan dan perjumpaan dengan pihak industri secara berkala bagi mendapatkan maklum balas mengenai permasalahan yang dihadapi oleh pihak industri/pelabur di Selangor.
    3. Menaik taraf infrastruktur di kawasan-kawasan industri serta menyediakan kawasan perindustrian yang selesa.
    4. Mempercepatkan proses penyelesaian masalah yang dihadapi pihak industri.
    5. Mempercepatkan proses kelulusan permohonan seperti Permohonan Sijil Layak menduduki, Permohonan Kelulusan Pelan Bangunan dan lain-lain kelulusan yang diperlukan pihak industri/pelabur menerusi OSC yang ditubuhkan di setiap PBT.
    6. Penubuhan IPMC di setiap kawasan perindustrian dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.
    7. Melaksanakan program pemutihan kilang tanpa izin bagi membantu syarikat yang beroperasi secara tidak sah untuk mendapatkan kelulusan-kelulusan/kebenaran yang berkaitan bagi membolehkan mereka beroperasi secara sah di samping membantu meningkatkan prestasi syarikat.

Lampiran

Tiada Lampiran.