Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
214) PENTERNAKAN RUMINAN & BABI
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah ternakan ruminan Negeri Selangor bagi tahun 2022-2023 dan adakah ia dapat memenuhi kepeperluan tempatan?
Jumlah ternakan ruminan Negeri Selangor bagi tahun 2022 adalah seperti berikut :
JENIS RUMINAN JUMLAH TERNAKAN (EKOR) 2022 2023E Lembu Pedaging 30,777 32,368 Kerbau Pedaging 1,370 1,517 Kambing Pedaging 31,752 32,171 Bebiri 10,237 11,086 Lembu Tenusu 4,579 4,204 Kerbau Tenusu 1,611 1,945 Kambing Tenusu 880 713 Catatan : E Anggaran
Sumber : Seksyen Perancangan Dasar dan Strategi DVS Selangor
Secara realitinya, populasi ruminan bagi tahun-tahun ini tidak mampu memenuhi keperluan tempatan. Kadar sara diri (SSL) hasilan ternakan ruminan bagi Negeri Selangor pada tahun 2022 adalah seperti berikut :
JENIS HASILAN RUMINAN KADAR SARA DIRI (%) 2022 2023NA Daging Lembu 3.33 NA Daging Kerbau 0.34 NA Daging Kambing 0.90 NA Daging Bebiri 0.29 NA Susu Lembu 1.10 NA Susu Kerbau 0.88 NA Susu Kambing 0.09 NA Catatan : NA Kadar bagi 2023 hanya akan diterbitkan pada April 2024 setelah menerima data-data sekunder daripada pihak ketiga seperti DVS Malaysia dan DOSM
Sumber : Seksyen Perancangan Dasar dan Strategi DVS Selangor
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam meningkatkan penghasilan tempatan untuk ternakan ruminan?
Inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam meningkatkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan penghasilan tempatan untuk ternakan ruminan :
- Pengagihan bantuan dalam bentuk benih ternakan, peralatan menternak, bahan binaan kandang, pemakanan ternakan dan homplot (tanaman rumput) melalui beberapa Program Pembangunan iaitu Pembangunan Komoditi Ternakan Ruminan dan Pembangunan Pembiakbakaan Ruminan. Bagi tahun 2024, sebanyak RM 955,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif ini.
- Membuka lebih banyak plot penternakan untuk disewakan kepada penternak ruminan berpotensi di bawah Program Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM). Inisiatif ini termasuklah Program Penempatan Semula (Translokasi) bagi penternak ruminan yang menghadapi masalah kawasan menternak akibat yang kini semakin terhimpit dengan arus pembangunan pesat yang berlaku di seluruh Negeri Selangor.
- Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agropreneur penternakan ruminan supaya dapat meningkatkan produktiviti projek melalui Program Pembangunan Kompetensi dan Bimbingan Agropreneur. Bagi tahun 2024, sebanyak RM 170,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif ini.
- Menggalakkan sebahagian agropreneur penternakan ruminan menceburkan diri dalam bidang aktiviti hiliran (industri asas ternak) supaya dapat meningkatkan nilai pengeluaran projek untuk bersaing dengan aktiviti ekonomi yang lain.
-
Berapakah jumlah ternakan babi Negeri Selangor bagi tahun 2022-2023? Sejauh manakah penguatkuasaan di kawasan yang diwartakan sebagai kawasasn ternakan babi bagi mengelak berlakunya pencemaran sungai dan pantai?
Jumlah ternakan babi Negeri Selangor bagi tahun 2022 adalah 256,317 ekor dan bagi tahun 2023E pula adalah 202,525.
Bagi pengetahuan semua Yang Berhormat, belum ada lagi kawasan dalam Negeri Selangor yang telah diwartakan sebagai kawasan menternak babi. Walau bagaimanapun, sebagai persediaan, sebuah kawasan yang dikenali sebagai Kawasan “Modern Pig Farming” – Projek Biogas di Ladang Tumbok telah dimasukkan ke dalam Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030.
Bagi mengelakkan pencemaran Sungai dan Pantai, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengambil langkah-langkah berikut :
- Pelesenan dan Pemeriksaan Ladang
- Setiap penternak perlu mempunyai lesen untuk menternak babi dan mesti mematuhi syarat-syarat lesen.
- Pemeriksaan berkala dilaksanakan sekurang-kurangnya satu kali setahun.
- Pemeriksaan tidak berkala juga dilakukan sekiranya terdapat aduan atau isu berbangkit.
- Pemeriksaan meliputi semua aspek penternakan yang digariskan dalam Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991 (Pindaan 2010) dan Kaedah-kaedah Pelesenan Penternakan Babi (Negeri Selangor) 2012.
- Salah satu elemen yang penting semasa pemeriksaan adalah pengambilan sampel air kumbahan bagi mengukur kadar Biochemical Oxigen Demand (BOD).
- Penguatkuasaan Undang-undang
- Siasatan dilakukan dengan segera apabila menerima aduan.
- DVS Selangor mengeluarkan kompaun atau membuat pendakwaan di mahkamah sekiranya terdapat perlanggaran undang-undang dan syarat-syarat lesen seperti yang termaktub dalam Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991 termasuk Pindaan 2010.
- Selain menerima kes melalui aduan atau pemeriksaan ladang, Penguatkuasa DVS Selangor juga melakukan risikan bagi mengesan kesalahan di bawah enakmen ini.
- Sesi Libat Urus
- DVS Selangor sering mengadakan perbincangan dan ceramah dengan penternak-penternak dengan kerjasama Persatuan Penternak Babi Kuala Langat di mana sering menjadi topik utama adalah undang-ndang berkaitan, memelihara alam sekitar, mencegah kacau ganggu, kawalan penyakit berbahaya dan kebenaran memindah babi ke loji penyembelihan.