Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
221) PENTERNAKAN MODEN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah strategi kerajaan untuk menggalak dan membantu para penternak khinzir di Selangor untuk bertukar kepada penternakan moden memandangkan cadangan ini telah lama dibentangkan tetapi masih belum dilaksanakan sepenuhnya demi memastikannya kelestarian bekalan daging dan penstabilan harga daging di pasaran?
Penternakan khinzir secara moden adalah merupakan satu dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Pusat dan juga Negeri bagi memastikan ianya tidak mencemari alam sekitar dari segi bau mahupun sistem pengairan yang telah sekian lama membelenggu penduduk disekitar kawasan tersebut.
Untuk makluman, beberapa siri pembentangan cadangan telahpun dilaksanakan dan secara dasarnya Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan kaedah penternakan khinzir secara moden yang berkonsepkan ternakan secara berpusat di mana kompleks penternakan tersebut dilengkapi dengan kaedah biosekuriti yang ketat dan konsep penternakan moden.
Walau bagaimanapun, ianya masih belum dapat dilaksanakan lagi memandangkan terdapat isu berkaitan dengan tanah yang masih belum dapat diselesaikan lagi. Tanah di mana cadangan projek penternakan khinzir secara moden tersebut terletak di Ladang Tumbok, Mukim Batu, Kuala Langat dan ianya juga telah dizonkan sebagai kawasan penternakan khinzir moden dan penghasilan biogas bertujuan untuk menghasilkan tenaga boleh baharu (renewable energy).
Walau bagainamapun, tanah tersebut adalah merupakan hakmilik beberapa individu dan pihak syarikat pemaju projek MPF tersebut telahpun mengadakan beberapa siri perundingan dengan pemilik-pemili tanah bagi tujuan pembelian yang melibatkan keluasan lebih kurang 422 ekar secara keseluruhan tetapi ianya masih belum menemui keputusan secara bersama di mana harga jualan yang ditetapkan oleh pemilik lebih tinggi (sekali ganda) dari anggaran syarikat penilai tanah swasta yang dilantik oleh pihak pemaju.