Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
95) PENTERNAKAN BURUNG WALIT DALAM HUTAN SIMPAN KEKAL (HSK)
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Merujuk Laporan Ketua Audit Negara Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2008, muka surat 65: ÒPada pendapat Audit, penguatkuasaan terhadap penternakan burung walit di HSK oleh JPNS tidak memuaskan kerana JPNS belum mengemukakan cadangan tindakan yang perlu diambil berkaitan aktiviti penerokaan haram untuk keputusan MMKNÓ. Tidak terdapat ulasan daripada Jabatan dalam Memorandum Laporan Ketua Audit Negara 2008 Selangor. Apakah sebab-sebab boleh berlakunya pencerobohan HSK bagi tujuan penternakan burung walit secara komersial oleh syarikat-syarikat swasta?
Ianya berlaku disebabkan kekeliruan dari segi pentadbiran di mana pada masa pembinaan tersebut, Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor telah mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dalam kawasan Hutan Simpan Kapar Tambahan di mana dari segi prosedur, sepatutnya perkara ini tidak boleh berlaku kerana kawasan masih berstatus HSK. JPNS tidak dapat mengambil tindakan selanjutnya disebabkan kekangan ini.
-
Apakah langkah-langkah yang telah disyorkan oleh Jabatan bagi keputusan MMKN?
JPNS telah mengangkat kertas kerja untuk pertimbangan MMKN dengan mengesyorkan supaya kawasan ini beserta dengan kawasan-kawasan yang telah dikeluarkan TOL dan geran hakmilik oleh Pentadbir Tanah Daerah Kuala Selangor dalam Hutan Simpan Kapar Tambahan dibatalkan status HSKnya dengan syarat menggantikan dengan kawasan hutan paya laut berstatus Tanah Kerajaan yang dicadangkan oleh JPNS.
-
Apakah program dan jadual kerja bagi menyelesaikan masalah ini?
Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan syor ini. JPNS sedang mengambil tindakan lanjut untuk mewarta keluar kawasan terbabit dari HSK serta menggantikannya dengan kawasan berhutan paya laut yang dicadangkan. JPNS telah mengemukakan surat kepada Pentadbir Tanah Daerah Kuala Selangor untuk mendapatkan butiran terperinci termasuk pelan kawasan TOL dan geran hakmilik berkenaan bagi tujuan pewartaan keluar.