Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

51) PENTERNAKAN

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan kawasan yang dikenal pasti dan dizonkan sebagai zon penternakan mengikut pecahan daerah dan apakah perancangan kerajaan negeri bagi mengatasi penternakan dalam kawasan bandar khasnya untuk daerah Gombak?

    Kerajaan Negeri Selangor tidak menetapkan sebarang kawasan sebagai zon penternakan. Walau bagaimana pun, kerajaan Negeri telah mengisytiharkan beberapa kawasan sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Taman Agroteknologi di mana aktiviti yang dijalankan di kawasan ini mestilah berkaitan dengan salah satu aktiviti pertanian, penternakan dan/atau perikanan.

    Senarai TKPM / Taman Agroteknologi yang mempunyai komponen ternakan mengikut daerah adalah seperti berikut :

    BIL NAMA DAERAH KOMPONEN TERNAKAN
    1 TKPM Sepintas Sabak Bernam Ternakan Ayam Pedaging
    2 Taman Agroteknologi Sg.Panjang Sabak Bernam Lembu Pedaging
    3 Taman Agroteknologi Bestari Jaya Kuala Selangor Ayam Pedaging
    4 Taman Agroteknologi Bukit Changgang Kuala Langat Kambing Pedaging
    5 Taman Agroteknologi Hulu Teris Sepang Ayam Pedaging, Lembu Pedaging, Kambing Pedaging
    6 TKPM Semenyih Hulu Langat Lembu Tenusu
    7 TKPM Sg. Nilam Hulu Selangor Lembu Pedaging, Lembu

    Tenusu, Kambing Pedaging,

    Rusa

    8 TKPM Sungai Jang Hulu Selangor Ayam Pedaging, Lembu Pedaging
    9 TKPM Buluh Telur Hulu Selangor Lembu Pedaging
    10 TKPM Sg.Tamu Hulu Selangor KambingPedaging, Lembu Tenusu

    Sebagai tambahan kepada TKPM / Taman Agroteknologi di atas, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga telah membuka 9 plot baru berkeluasan 10 ekar setiap plot untuk penternakan lembu tenusu. Plot-plot ini dibangunkan lengkap dengan jalan ladang, bekalan elektrik dan air bagi penempatan semula penternak-penternak yang telah mendapat notis tutup ladang dari pihak berkuasa tempatan di daerah Petaling Jaya dan Klang. Penempatan semula ini dilaksanakan di bawah program  Translokasi Penternak Lembu Tenusu Negeri Selangor.

    Justifikasi-justifikasi utama kenapa Kerajaan Negeri tidak menetapkan zon khusus untuk penternakan adalah :

    • Peratus guna tanah untuk sektor ternakan di daerah-daerah adalah kecil berbanding sektor lain seperti perindustrian dan hartanah. Justeru itu, pertumbuhan projek penternakan lebih bercorak “in situ” di mana lebih bergantung kepada kemampuan pengusaha itu sendiri membangunkan projek penternakan secara lestari dengan pembangunan setempat.
    • Pejabat Tanah dan Daerah tidak mampu untuk mengkhaskan satu kawasan yang luas sebagai zon penternakan setelah mengambil kira keperluan guna tanah semasa.
    • Sebahagian penduduk luar bandar dan pinggir bandar melakukan aktiviti penternakan secara sambilan untuk menambah pendapatan dan pembentukan zon penternakan khusus akan menghalang aktiviti ekonomi sebegini.

    Bagi mengatasi masalah penternakan di dalam kawasan bandar khasnya di daerah Gombak, Kerajaan Negeri banyak menggunakan pendekatan penguatkuasaan misalnya pematuhan pelan pembangunan tanah, syarat nyata geran tanah dan undang-undang PBT yang lain.  Sebagai langkah pro-aktif, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga sering mengadakan perbincangan dengan Persatuan Penternak-penternak Ruminan Negeri Selangor berkaitan masalah penternak.  Kerajaan Negeri merancang akan membuka lebih banyak lagi kawasan translokasi baru dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menyelesaikan krisis projek ternakan dengan kawasan penempatan di bandar-bandar.

  2. Apakah peratusan sumbangan bidang penternakan terhadap pasaran tempatan dan luar negara mengikut kategori penternakan bagi tahun 2007-2012?

    Negeri Selangor merupakan negeri perindustrian utama negara di mana guna tanah untuk aktiviti pertanian khususnya penternakan sememangnya terhad. Daripada sudut lain, populasi penduduk negeri ini adalah paling tinggi iaitu 5.3 juta orang (Perangkaan 2011). Lantaran itu, Negeri Selangor masih bergantung kepada negeri lain untuk membekalkan hasilan haiwan untuk kegunaan rakyat tempatan.

    Keterangan lanjut tentang peratus sumbangan bidang ternakan terhadap pasaran tempatan mengikut jenis ternakan adalah seperti jadual di bawah :

    PERATUS SUMBANGAN BIDANG TERNAKAN  NEGERI SELANGOR TERHADAP PASARAN TEMPATAN BAGI TAHUN 2007 – 2012

    TAHUN PERATUS SUMBANGAN BERBANDING KEPERLUAN SEBENAR
    DAGING

    LEMBU %

    DAGING

    KAMBING

    /BEBIRI

    %

    DAGING

    AYAM

    %

    DAGING BABI

    %

    TELUR

    AYAM

    %

    SUSU

    %

    2007 7.37 3.69 46.15 81.31 59.57 2.10
    2008 7.98 4.46 43.89 97.57 62.70 1.92
    2009 8.22 4.75 44.42 96.29 59.57 2.38
    2010 7.37 3.45 40.03 89.39 64.31 1.31
    2011 5.84 2.79 32.75 87.66 53.32 1.23
    2012 DATA BELUM DIPEROLEHI
  3. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi memodenkan dan mengembangkan industri penternakan di Negeri Selangor dan bentuk insentif yang disediakan kepada penternak-penternak?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengambil langkah-langkah berikut bagi memodenkan dan mengembangkan industri penternakan.

    • Program Pengembangan Veterinar

    Satu kaedah memberi khidmat nasihat dan khidmat konsultansi secara teratur di mana pegawai pengembangan/lapangan jabatan membantu penternak membuat keputusan dalam hampir semua aspek teknikal ke arah pembangunan ladang dan penyelesaian masalah projek.

    • Penternak / Pengusaha Contoh

    Pihak jabatan telah memilih sekurang-kurangnya 25 penternak/pengusaha berjaya dari seluruh negeri dalam pelbagai bidang penternakan dan pemprosesan untuk dijadikan model kepada penternak lain.  Langkah seterusnya adalah menggalakkan usahasama atau mentor-mentee dengan penternak/pengusaha terpilih ini supaya kejayaan mereka dapat dicontohi penternak/pengusaha/pelabur baru.

    • Sesi Perundingan Dengan Pelanggan

    Pihak Jabatan sering mengadakan sesi perundingan dengan Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor dan Federation of Livestock Association Malaysia.  Selain daripada berwacana tentang keperluan penternak dan pengusaha, sesi perundingan ini juga digunakan untuk menyampaikan polisi dan perincian pelaksanaan program kerajaan demi kepentingan bersama. Sesi perundingan juga dilaksanakan dengan pemain-pemain utama industri ternakan seperti pengimport/pengeksport ternakan, syarikat multinasional misalnya Selasih Aman Berhad dan KFC Holdings.  Kebanyakan rundingan berkisar ke arah memudahcara pelaksanaan prosedur, status bebas penyakit dan menyelesaikan masalah.

    • Penternakan Secara Kontrak

    Dalam bidang penternakan ayam pedaging, para penetrnak digalakkan melaksanakannya secara kontrak dengan syarikat integrator yang diperakui oleh pihak jabatan.  Pakej kontrak ini merangkumi bekalan anak ayam, makanan, pasaran terjamin, rekabentuk reban, kaedah penternakan dan aspek kesihatan ternakan.  Secara tidak langsung, banyak pemindahan teknologi berlaku antara syarikat dan penternak.

    • Penggalakkan Aktiviti Hiliran

    Pihak jabatan sentiasa memperkenal dan menggalakkan sebarang aktiviti hiliran dan huluan supaya penternak dapat mengurangkan kos dan menokok hasil seterusnya meningkatkan produktiviti projek secara keseluruhan. Antara sub-aktiviti hiliran yang telah diperkenalkan oleh pihak Jabatan adalah pemprosesan silaj, pemprosesan baja kompos dan pemprosesan produk berasaskan hasilan haiwan seperti kambing panggang, jangat (kulit lembu), burger serta sosej.

    • Sistem Penternakan Lestari dan Mesra Penduduk

    Penduduk yang sering berpendapat  projek penternakan menimbulkan masalah kacau ganggu bau, lalat dan pencemaran.  Persepsi ini boleh menjadi kenyataan sekiranya para penternak tidak mengambil perhatian serius tentang perkara ini.  Pihak jabatan telah memperkenalkan beberapa teknologi yang mampu membantu penternak dalam memelihara alam sekitar seperti penggunaan efektif mikrob (EM) bagi merawat kumbahan dan sistem perparitan.  Dalam bidang penternakan ayam, pihak jabatan menggalakkan Sistem Reban Tertutup yang mampu mengurangkan gangguan bau dan lalat secara efektif.  Bagi ternakan lembu, pihak jabatan memperkenalkan Sistem Penternakan Breedlot sementara untuk kambing adalah Sistem Penternakan Intensif yang dijangka mampu mengurangkan masalah haiwan berkeliaran.

    • Promosi Produk Penternakan

    Ramai penternak/pengusaha masih bergelut dalam pemasaran produk masing-masing.  Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa menggunakan peluang di mana ada untuk mempromosikan produk-produk penternak/pengusaha.  Bagi tujuan ini, berpuluh-puluh penternak dijemput membuat promosi dan pemasaran dalam program kerajaan seperti MAHA, Selangor Agrofest, MIHAS dan SDSI.  Kerajaan Negeri juga memberi ruang percuma untuk pengusaha mengiklankan produk dalam media terbitannya. Laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Veterinar mempunyai direktorat khusus yang menyenaraikan penternak/penternak dan produk keluaran masing-masing.

    Bentuk insentif dan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada penternak-penternak Negeri Selangor adalah seperti berikut :

    1. Skim Pegganda Ruminan ( SPERS)

    Penternak berpotensi terpilih ditawarkan untuk membeli daripada kerajaan 50 hingga 200 ekor samada lembu tenusu, lembu pedaging, kambing dan bebiri dengan harga diskaun.  Bagi mewujudkan keadaan menangmenang (win-win situation), satu perjanjian ditandatangani antara Kerajaaan Negeri dan peserta. Peserta perlu menjual semula 50 % anak betina yang lahir kepada kerajaan Negeri bagi diagihkan pula kepada penternak lain kerana objektif utama program ini adalah mewujudkan penternak komersial dan mengembangkan sumber genetik ternakan yang terbaik.

    1. Merakyatkan Ekonomi Kepada Penternak ( Khusus Pepada

    Penternak Ruminan, Non Ruminan dan Unggas)

    Penternak kecil-kecilan yang berkeupayaan dan berpotensi akan diberi bantuan secara geran dalam bentuk ternakan, peralatan dan bahan binaan dengan nilai sehingga RM10,000 untuk membesarkan projek masing-masing.

    1. Bantuan kepada Pengusaha / Usahawan Industri Asas Ternak

    Pengusaha yang memproses dan mengeluarkan produk berasaskan hasilan haiwan diberi bantuan dalam bentuk peralatan dan menaiktaraf pusat  pemprosesan mereka. Nilai bantuan di antara RM20,000 hingga ke RM100,000 bergantung kepada kelulusan Jawatankuasa Penilaian dan Pemilihant. Bantuan ini sebagai insentif kepada pengusaha untuk meningkatkan pengeluaran dan kualiti produk yang dihasilkan.

    1. Pembangunan Kompetensi Usahawan

    Sebanyak 20 – 50 jenis latihan setahun diberikan kepada 400 hingga 500 orang penternak dan pengusaha. Semua latihan ini diberikan dengan tujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan penternak/pengusaha supaya mereka boleh meningkatkan produktiviti projek dan meningkatkan daya saing projek masing-masing.

    1. Perkhidmatan Kesihatan Veterinar

    Dalam aspek kesihatan veterinar, hampir semua perkhidmatan yang berkaitan diberikan secara percuma.  Perkhidmatan ini merangkumi  :

    • Rawatan di lapangan (ambulatori)
    • Suntikan pencegahan penyakit (vaksinasi)
    • Pengambilan sampel bagi tujuan mengesan penyakit (survelan)
    • Post-Mortem
    • Perkhidmatan Makmal

    Perkhidmatan lain yang dikenakan bayaran adalah rawatan di klinik. Walau bagiamanpun kadar bayaran yang dikenakan adalah jauh lebih rendah berbanding perkhidmatan serupa yang ditawarkan oleh sektor swasta.

    1. Perkhidmatan Pembaikbiakan (Pembiakan)

    Perkhidmatan pembiakan juga diberikan percuma sebagai galakkan kepada penternak untuk meningkatkan kualiti dan prestasi haiwan pembiak tempatan.  Perkhidmatan ini merankumi :

    • Penyeragaman berahi (Heat synchronisation)
    • Permanian beradas (Artificial insemination – AI)
    • Pengesanan berahi

    Sebahagian penternak juga diberikan peluang untuk melaksanakan pembaikbiakan sendiri di bawah Program AI-DIY.  Bagi menjayakan program ini, penternak berkenaan dilatih secara komprehensif sementara semen, tangki simpanan dan peralatan berkaitan AI dibekalkan oleh kerjaan.

    1. Bantuan Bagi Pemeliharaan Alam Sekitar

    Sejak bermula Rancangan Malaysia Ke 10, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor telah mengeluar dan menjual bahan-bahan untuk mengawal alam sekitar iaitu :

    • Larutan EM ( EMAS ) – untuk disembur di kawasan kandang ternakan dan parit-parit premis
    • Bebola Tanah Liat ( Mud Ball) – untuk direndam dalam kolam kumbahan bagi mempercepatkan proses penguraian buangan ternakan
    • Bokashi – bagi memproses sisa buangan dapur di mana bahan ini akhirnya boleh dijadikan baja organik.

    Semua produk-produk ini dijual dengan harga yang murah kerana ia diproses sendiri oleh Bengkel Efektif Mikrob Jabatan Veterinar di Kuala Langat dan objektif program ini adalah untuk membantu penternak/pengusaha memelihara alam sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.