Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

121) PENTADBIRAN PEJABAT DAERAH

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. ADUN memainkan peranan sebagai agensi Kerajaan Negeri melalui pentadbiran daerah di bawah Pegawai Daerah yang mengetuai Pejabat Tanah dan Daerah. Dalam hubungan antara Kerajaan Negeri dengan ADUN, mengapakah surat-surat Kerajaan Negeri kepada Pegawai Daerah yang ada hubungannya dengan DUN-DUN tertentu tidak dimaklumkan atau disalinkan kepada ADUN-ADUN berkenaan?

    Secara asas, semua urusan persuratan sama ada di peringkat Ibu Pejabat Kerajaan Negeri, pentadbiran daerah atau pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan disalin kepada mana-mana pihak yang berwajib untuk makluman atau perlu diberi maklum balas ke atas isu yang ditimbulkan. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah urusan yang perlu diselesaikan secara pentadbiran terlebih dahulu di antara Jabatan, sebelum ia wajar dimaklumkan kepada lain-lain pihak berwajib.

     

    Justeru, pentadbiran daerah adalah tidak terkecuali dengan urusan pentadbiran yang dimaksudkan, terutamanya jika sesuatu urusan/perkara tersebut perlu mendapatkan maklumat/penjelasan/maklum balas daripada lain-lain Jabatan terlebih dahulu, sebelum ia disalin kepada lain-lain pihak sebagai makluman.

  2. Mengapakah kes-kes tertentu yang melibatkan penduduk kepada Pegawai Daerah dari DUN-DUN tertentu tidak dimaklumkan kepada ADUN-ADUN berkenaan?

    Semua kes yang melibatkan urusan di antara penduduk dan Pegawai Daerah (dan semua kakitangan di bawah pentadbiran beliau) hendaklah ditangani secara urusan rasmi, termasuk hal-hal yang dikategorikan sebagai darurat/kecemasan. Pegawai Daerah akan menangani sesuatu isu terlebih dahulu berdasarkan bidang tugas dan kuasa (dari sudut pentadbiran) yang diperoleh oleh beliau berdasarkan jawatan yang dipegang, dan seterusnya diperturunkan kepada pegawai-pegawai bawahannya.

     

    Dari sudut pentadbiran, semua Pejabat Tanah dan Daerah akan sentiasa memaklumkan dan menyediakan salinan surat yang diterima, sekiranya ia memerlukan perhatian dan tindakan oleh ADUN berkenaan.

  3. Mengapakah (khas dalam konteks Pejabat Tanah dan Daerah Gombak), surat-surat ADUN kepada Pegawai Daerah tidak dibalas dan tidak diberi sebarang maklum balas berbulan-bulan lamanya?

    Dari aspek pentadbiran, semua persuratan yang diterima daripada pihak luar akan ditangani dengan sebaik mungkin, sekurang-kurangnya dengan memberi maklum balas pertama dalam tempoh dua (2) minggu daripada tarikh penerimaan surat (selaras dengan Dasar Dua Minggu). Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu/kes terpencil yang memerlukan tindakan lebih daripada satu (1) Jabatan, di mana satu tempoh masa diperlukan untuk mendapatkan maklum balas daripada Jabatan tersebut, sebelum isu/kes tersebut diselesaikan.

     

    Selain itu, terdapat beberapa isu/kes terpencil yang dikenal pasti melibatkan implikasi perundangan, yang memerlukan ia dirujuk kepada Kamar Penasihat Undang-undang Negeri terlebih dahulu. Isu/kes seperti ini biasanya akan melibatkan satu tempoh yang agak panjang untuk diselesaikan oleh Pegawai Daerah mengikut bidang tugas dan kuasa (dari sudut pentadbiran).

     

    Sebagai tambahan, terdapat juga beberapa isu/kes yang menyentuh perkara-perkara dasar sedia ada yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri, yang perlu dirujuk ke peringkat Ibu Pejabat terlebih dahulu. Pentadbiran daerah, di bawah pengurusan Pegawai Daerah, hanya melaksanakan tugas berdasarkan semua dasar dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri sahaja.

Lampiran

Tiada Lampiran.