Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

14) PENTADBIRAN KAMPUNG

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan keupayaan ketua-ketua kampung dalam urus tadbir kampung?

    Ketua Kampung Tradisi Negeri Selangor adalah seseorang yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi memimpin dan mengetahui sesebuah kampung di Negeri Selangor.

    Antara tugas yang dipertanggungjawab kepada Kampung Tradisi Negeri Selangor/ Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) ini seperti menjadi Pengerusi kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan menyampaikan dasar-dasar Kerajaan Negeri Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa kepada penduduk kampung.

    Institusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) memainkan peranan penting dalam menggerakkan komuniti kampung untuk melaksanakan pembangunan untuk kemajuan dan kesejahteraan kampung itu sendiri. Selaras dengan itu, Kerajan Pusat bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) agar institusi ini dibuat penstrukturan semula dan diteruskan dengan nama baharu iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Seiring dengan penjenamaan semula ini, garis panduan berkaitan dengan perkhidmatan Ketua Kampung dan MPKK sedia ada sedang ditambahbaik termasuk penelitian semula kepada bidang tugas yang lebih teratur dan sistematik serta fungsi biro – biro yang diwujudkan. Pada tahun ini sehingga tahun 2019 pihak Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi akan mengadakan Kursus Pemantapan Ketua Kampung Tradisi Negeri Selangor.

    Selain itu, Konsep Penarafan Bintang (Star Rating) akan mula diperkenal dan dilaksanakan di dalam pentadbiran Kampung Tradisi Negeri Selangor bermula tahun 2019 untuk mengukur kompetensi dan pelaksanaan arahan – arahan Kerajaan. Secara umum konsep ini akan menilai empat (4) elemen utama di dalam

    pentadbiran kampung iaitu Pengurusan Mesyuarat (kekerapan dan kualiti), Pengurusan Kewangan (ketelusan), Inovasi dan Kreativiti (produk dan anugerah) dan Aktiviti Kemasyarakatan (sambutan dan penglibatan). Melalui 4 elemen tersebut adalah diharapkan kelemahan – kelemahan yang mungkin berlaku seperti kelemahan pemantauan pentadbiran, konflik pengurusan, kurang komitmen ketika menjalankan tugas dan amanah dan sebagainya dapat diatasi dengan bijaksana dan berhemah. Sebagai tambahan, Institusi MPKK ini perlulah sentiasa diperkasakan oleh kerana ianya adalah satu institusi yang sentiasa dekat dan bersama akar umbi (penduduk kampung) di mana secara tidak langsung institusi ini menjadi sistem penyampaian Kerajaan yang efektif dan berkesan untuk menghebah serta melaksanakan dasar – dasar semasa.

    Tuan Speaker,

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi juga akan mengetengahkan konsep Pengendalian Komuniti melalui sesi dialog yang berfokus yang akan diselaraskan oleh MPKK diantara penduduk kampung bersama agensi – agensi yang berkaitan. Tujuan utama sesi dialog ini diadakan adalah untuk dijadikan platform bagi mendapatkan maklumat berkaitan permasalahan serta isu yang berbangkit dan berkaitan dengan rakyat setempat dan seterusnya mencari serta mendapatkan penyelesaian yang terbaik untuk semua.

    Untuk makluman Ahli – Ahli Yang Berhormat, laporan awal dan hasil daripada sesi dialog tersebut akan dibentangkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) dan akan disusuli pembentangan kepada Kerajaan Negeri selepas itu.

    Adalah diharapkan usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan impak dan hasil daripada inisiatif – inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk rakyat di Negeri Selangor khususnya bagi penduduk – penduduk Kampung Tradisi.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.