Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
254) PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR SELANGOR
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan bercadang untuk mengumumkan perjanjian Memorandum of Understanding (MoU) yang ditandatangani di antara kerajaan Selangor dengan Kerajaan Persekutuan?
Kerajaan Negeri Selangor telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kerajaan Malaysia pada 26 Februari 2014. Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor adalah merupakan sebahagian dari Kertas Jemaah Menteri dan diklasifikasikan sebagai Dokumen Terperingkat. Sebarang pendedahan ke atas Memorandum tersebut kepada pihak lain selain daripada yang telah dipersetujui, boleh menyebabkan pihak-pihak terdedah kepada tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Oleh kerana Memorandum Persefahaman ini melibatkan kepentingan umum berkaitan isu air, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa isi kandungan memorandum tersebut perlu didedahkan kepada umum.
Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan pendedahan Memorandum Persefahaman tersebut kepada umum melalui ketentuan Dewan Negeri Selangor di mana Memorandum tersebut akan diserahkan kepada Sekretariat Dewan negeri Selangor dan diletakkan di suatu tempat khas yang disediakan oleh pihak Dewan Negeri untuk diakses oleh umum selama dua (2) minggu bermula dari hari Sidang Dewan Negeri pada 07 hingga 18 April 2014 berpandukan kepada garis panduan yang ditetapkan.
-
Bagaimana kerajaan Selangor menjamin bahawa perkembangan ini akan menjamin kepentingan rakyat Selangor?
Sebagaimana yang telah dibentangkan di dalam Sidang Dewan Rakyat pada 30 Jun 2008, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi telah menyatakan antara isu yang dihadapi oleh industri perkhidmatan air adalah kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi, peningkatan keperluan pembiayaan kapital (CAPEX) bagi pembangunan infrastruktur, ketiadaan mekanisme kawal selia di peringkat nasional, perbezaan tarif yang ketara di mana kesemua masalah ini mengekang perkembangan industri sehingga menjejaskan daya harap dan kemapanannya.
Dalam mencapai hasrat tersebut, Kerajaan Persekutuan telah membuat pindaan ke atas Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan pada Januari 2005 dengan
memasukkan bekalan dan perkhidmatan air di bawah senarai bersama. Dengan pindaan tersebut, industri perkhidmatan air akan diuruskan secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Justeru itu, bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri
Selangor telah meletakkan objektif penstrukturan semula perkhidmatan air Negeri Selangor selari dengan hasrat dan matlamat penstrukturan air negara melalui kaedah untuk mengambil alih semua syarikat konsesi air di Negeri Selangor dan menyusun semula bagi mewujudkan satu perkhidmatan air yang holistik yang mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang telah digariskan oleh Kerajaan Persekutuan, iaitu:-
- Industri perkhidmatan air diuruskan secara holistik melalui sebuah syarikat yang dimiliki atau di bawah kawalan kerajaan Negeri;
- Operator perkhidmatan air yang dilesenkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655); dan
- Operator yang beroperasi secara asset light dengan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan berasaskan syarat lesen dan KPI yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah mengguna pakai konsep asset light yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan di dalam penyusunan semula yang akan melibatkan pengambilalihan aset dan tanggungan sedia ada kepunyaan kerajaan negeri ataupun pemegang konsesi yang berhasrat untuk berhijrah ke rejim pelesenan. Ia akan dilaksanakan menerusi mekanisme PAAB, di mana keperluan CAPEX masa hadapan akan dibiayai oleh PAAB.
Kaedah penetapan nilai bagi mengambil alih syarikat pemegang konsesi air adalah berdasarkan fair market value dengan pulangan 12% ke atas pelaburan yang telah dibuat. Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa adalah tidak wajar untuk membayar pampasan yang terlampau tinggi dan over price kepada pemegang saham syarikat konsesi air memandangkan syarikat-syarikat ini telah beroperasi sehingga berjaya mengaut pulangan modal serta mencapai jangkaan keuntungan shareholders IRR dalam bentuk pembayaran dividen. Namun, sekiranya syarikat konsesi ini masih tidak mempertikaikan nilai pampasan yang dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor, mereka boleh merujuk isu pampasan tersebut untuk diputuskan oleh Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa, di mana Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk mematuhi apa jua keputusan yang dibuat oleh Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa tersebut.
Dalam menentukan nilai yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi air sedia ada, Kerajaan Negeri Selangor amat menitik beratkan kepentingan pengguna dan pada masa yang sama tidak merugikan mana-mana pihak. Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor berpegang kepada prinsip Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang telah dibentangkan di dalam Dewan Rakyat pada 30 Jun 2008 seperti berikut:-
“Kementerian ini amat peka kepada implikasi dan kesan pengambilalihan aset dan tanggungan pada harga yang tinggi dan tidak kos efektif. Ia akan menyebabkan kadar sewa pajak yang tinggi dan yang akhirnya akan turut dirasai oleh pengguna melalui kadar tarif air yang tinggi. Oleh yang demikian, kementerian ini akan memastikan keadaan tersebut tidak berlaku semasa proses pengambilalihan aset dan tanggungan air terutamanya yang melibatkan syarikat konsesi air.”
Selaras dengan pengujudan mekanisme pengawalseliaan industri melalui kaedah pelesenan yang membolehkan industri air dikawal selia melalui syaratsyarat dan key performance indicator (KPI) yang ditetapkan melalui lesen-lesen yang dikeluarkan oleh SPAN, Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa perkhidmatan air negeri Selangor sewajarnya disusun semula di bawah satu SPV Air yang holistik tertakluk kepada syarat dan peraturan pelesenan. Melalui penstrukturan semula yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, ia akan menjurus kepada penamatan perjanjian sedia ada. Dengan penamatan perjanjian konsesi sedia ada, pengguna tidak lagi dibebankan dengan predetermined tarif, sebaliknya SPV Air yang baru adalah tertakluk kepada mekanisme penetapan tarif di bawah SPAN. Kerajaan Negeri Selangor mensasarkan kenaikan kadar tarif munasabah yang tidak membebankan pengguna di samping tidak merugikan operator dengan kadar kenaikan tidak melebihi 12 % setiap tiga (3) tahun sekali berbanding dengan kadar yang telah ditetapkan di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS.
Industri perkhidmatan air negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dibelenggu dengan pelbagai isu dan masalah operasi, antaranya kadar NRW yang tinggi, perbelanjaan CAPEX SYABAS yang melebihi anggaran yang diperuntukkan di dalam Perjanjian Konsesi, kadar tarif yang membebankan pengguna dan lain-lain masalah hingga menjejaskan perkhidmatan kepada pengguna.
Matlamat utama Kerajaan Negeri Selangor adalah untuk menstrukturkan semula industri perkhidmatan air ke arah satu industri yang holistik, efisien, efektif, berdaya saing dan mampan adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Persekutuan yang menyedari bahawa bekalan air adalah keperluan asas yang perlu dibekalkan kepada setiap pengguna tanpa mengira fahaman politik.
Kerajaan Negeri Selangor menekankan sebagai keperluan asas, perkhidmatan air perlu diuruskan dengan mementingkan ketelusan, akauntabiliti, efisien dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata. Pengurusan air yang efisien dan berdaya maju hanya boleh dicapai melalui operator yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri dan bukannya melalui syarikat persendirian yang mementingkan keuntungan sebagai matlamat utamanya.
Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya di samping tidak membebankan rakyat keseluruhannya sebagaimana yang telah dicapai di kejayaan pelaksanaan Model Holistik di Penang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa pindaan ke atas Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan yang telah dibuat pada Januari 2005 dengan memasukkan bekalan air dan perkhidmatan di bawah Senarai Bersama tidak membawa maksud bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih sepenuhnya urusan berkaitan bekalan air daripada bidang kuasa Kerajaan Negeri sehingga berlakunya federalization of water industry, sebaliknya pindaan Perlembagaan tersebut telah memberi mandat bahawa industri perkhidmatan air perlu diuruskan secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Di dalam penggubalan tersebut, kuasa perkhidmatan air yang dulunya di bawah pengendalian Kerajaan Negeri sepenuhnya telah dipindahkan di bawah Senarai Bersama, Perlembagaan Malaysia. Ini menunjukkan bahawa perkhidmatan air merupakan tanggung jawab bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Penggubalan ini juga berdasarkan kepada inti pati bahawa perkhidmatan air adalah perkhidmatan asas kepada rakyat yang hendaklah diuruskan oleh agensi Kerajaan bukan di tangan swasta yang boleh menggunakannya sebagai senjata untuk memeras ugut sebuah kerajaan dan menindas rakyat dalam hal kenaikan tarif serta memberi perkhidmatan sewenangnya apatah lagi keperluan kepada air tidak ada gantinya. Lebih malang lagi apabila perkhidmatan ini dimonopoli oleh satu syarikat
Memandangkan terdapat banyaknya kebaikan dibawah penstrukturan semula industri perkhidmatan air sebagaimana yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri dan tidak bertentangan langsung dengan lunas-lunas perundangan yang digariskan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor berusaha dengan gigihnya untuk mengambil alih syarikat-syarikat Pemegang Konsesi Air sedia ada dengan membuat beberapa kali tawaran pengambilalihan.
Namun semua tawaran yang dikemukakan itu ditolak oleh semua Pemegang Konsesi melainkan ABASS. Asas penolakan oleh setiap Pemegang Konsesi adalah berdasarkan kepada kerakusan untuk mengaut keuntungan berlipat ganda sedangkan pada hakikatnya mereka telah mendapat pulangan keuntungan sepanjang tempoh konsesi berkuatkuasa.
Memandangkan setelah beberapa tawaran pengambilalihan ditolak oleh Pemegang Konsesi Air, Kerajaan Negeri Selangor akhirnya pada 31 Disember 2013, menyerahkan kepada budi bicara Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air bagi menguatkusakan peruntukan Seskyen 114 di bawah Akta 655 bagi mengambil alih syarikat konsesi air itu.
Sekiranya penstrukturan semula ini tidak dapat dimuktamadkan sebagaimana yang dirancang oleh Kerajaan Negeri Selangor, maka industri perkhidmatan air sedia ada akan dibebankan dengan masalah-masalah utama yang akhirnya boleh merugikan rakyat dan menjejaskan operasi industri itu. Antara masalah utama yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah seperti berikut:-
- kekangan aliran tunai yang dihadapi oleh SYABAS hingga menyebabkan SYABAS berada dalam keadaan keberhutangan yang sangat meruncing dan boleh menyebabkan kegagalan dalam membayar harga pembelian air dengan penuh kepada Operator Rawatan Air di mana ini mengakibatkan SYABAS mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan sebanyak RM5.0 billion yang akan terus meningkat;
- kekangan aliran tunai SYABAS telah menyebabkan bayaran separa 42% dibayar kepada Operator Rawatan Air yang sekali gus turut menjejaskan aliran tunai Operator Rawatan Air yang mana jika tidak diatasi boleh menjejaskan operasi;
- SYABAS tidak berjaya di dalam memenuhi obligasi di bawah Perjanjian Konsesi dalam mencapai sasaran pengurangan Non Revenue Water (NRW) sebanyak 20% seperti mana yang diperuntukkan di dalam Perjanjian Konsesi walaupun SYABAS telah diberikan bantuan kewangan dari Kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah.
- Keadaan industri yang tidak holistik akan terus menyumbangkan kepada pengurusan air yang tidak cekap dan kos operasi yang sangat tinggi seperti kadar Bulk Supply Rate (BSR), Fixed Monthly Payment (FMP), kos yang mana semua kos ini akan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan tarif yang tinggi lagi membebankan.
Oleh yang demikian, tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan ini adalah semata-mata untuk menjamin kepentingan rakyat Negeri Selangor dan seluruh pengguna perkhidmatan air di Negeri Selangor,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil langkah yang seterusnya melalui peruntukan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa dan berkaitan untuk memudah cara (facilitate) penstrukturan semula industri air Negeri Selangor selaras dengan Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada 26 Februari 2014 yang disaksikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.
Kerajaan Negeri Selangor telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dengan menandatangani MOU tersebut sebagai satu kesungguhan untuk bersama-sama menyelesaikan krisis industri air yang telah mencapai tahap kritikal bagi mengelakkan kepentingan rakyat terjejas.