Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

19) PENSTRUKTURAN KAMPUNG TRADISI

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pihak KNS mempunyai rancangan khusus untuk menstrukturkan semula Kampung Tradisi yang menghadapi banyak permasalahan disebabkan pembangunan pesat di kawasan sekitar?

    Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri telah meminta supaya Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor menyediakan Kajian Perancangan Fizikal Desa Negeri Selangor. Kajian tersebut telah bermula pada 1 Mei 2016 dan dijangka akan selesai pada 30 April 2017. Perkara ini adalah selaras dengan kehendak Kerajaan Negeri sebagaimana di dalam Pembentangan Belanjawan 2016 Negeri Selangor, Kerajaan Negeri komited untuk menyuntik dinamisme ekonomi, sosial dan infrastruktur di luar bandar. Untuk makluman juga, kajian ini akan menghasilkan Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor yang akan memandu Kerajaan Negeri dalam menentukan halatuju pembangunan di kawasan desa di Negeri Selangor termasuklah kampung-kampung tradisi.

    Melalui Pelan Halatuju Strategik ini, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk memastikan kelangsungan kampungkampung tradisi di Negeri Selangor termasuklah penstrukturan semula kampung yang antara lain mengenalpasti sumber dan tahap ekonomi, ketersediaan dan cadangan penambahbaikan kemudahan infrastruktur setiap kampung tradisi untuk memastikan kampung-kampung ini tidak terjejas dan tidak ketinggalan dalam kepesatan pembangunan di kawasan sekitar.

    Sumber : Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor

  2. Bagaimanakah KNS menyelesaikan isu kemudahan awam yang tidak mencukupi yang sering dibangkitkan, seperti padang rekreasi, gerai-gerai yang lebih tersusun?

    Kerajaan Negeri sentiasa berusaha keras untuk memastikan infrastruktur yang diperolehi oleh masyarakat di Kampung-kampung Tradisi adalah setanding dengan infrastruktur yang diperolehi oleh masyarakat di bandar. Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi menaiktaraf kemudahan awam/asas desa bagi kampung-kampung di Negeri Selangor. Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyakRM2.5 juta untuk projek menaiktaraf infrastruktur sukan seperti padang di kawasankawasan bandar.

Lampiran

Tiada Lampiran.