Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
220) PENSTRUKTURAN BEKALAN AIR NEGERI SELANGOR
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan apakah perkembangan terkini usaha penstrukturan tersebut ?
(Jawapan ini juga menjawab soalan (a) (Air Selangor ) oleh YB Tuan
Khasim bin Abdul Aziz (Lembah Jaya)
Langkah untuk menyusun semula Industri Perkhidmatan Air di Negeri Selangor adalah selaras dengan hasrat dan matlamat Kerajaan Persekutuan untuk menyusun semula industri perkhidmatan air ke arah satu perkhidmatan yang efisien, efektif, berdaya saing dan mapan. Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 21/2007 yang bersidang pada 11 Julai 2007, telah bersetuju dengan penyusunan semula Pemegang Konsesi Air Selangor di bawah satu konsortium yang akan diterajui oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) melalui surat bertarikh 11 Februari 2008 telah memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor bahawa melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Januari 2008 telah menimbangkan dan memutuskan:-
- supaya KDEB mengambil alih operari danpenyelengggaraan bagi rawatan dan pembekalan air di Negeri Selangor,Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk Loji Langat 2; dan
- supaya Kerajaan Negeri Selangor bekerjasama dengan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dalam melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya secara holistik. KDEB akan menjadi peneraju utama dalam konsortium baru.
Pada 22 Januari 2008, PAAB telah memberikan taklimat kepada Kerajaan Negeri Selangor menerangkan mengenai peranan PAAB di dalam penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara.
Rundingan dan perbincangan telah diadakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan KTTHA semenjak tahun 2008. Beberapa siri perbincangan juga telah diadakan di antara YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dengan YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air bermula dari 20 April 2009.
Bagi merealisasikan cadangan penstrukturan tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan tawaran bagi mengambil alih Syarikat Konsesi
Air sebanyak tiga (3) kali iaitu:-
- i) 13 Februari 2009 pada nilai sebanyak RM5,709 juta; ii) 25 Jun 2009 pada nilai sebanyak RM9,218 juta; dan iii) 31 Januari 2010 pada nilai sebanyak RM9,227 juta.
Dalam menetapkan kos yang diperlukan untuk pengambilalihan tersebut, Kerajaan Negeri Selangor amat menitikberatkan harga berpatutan yang tidak membebankan pengguna di samping tidak merugikan mana-mana pihak. Elemen-elemen yang telah diambil kira dalam membuat penilaian harga tawaran adalah:-
- i) jumlah pelaburan yang telah dibuat oleh pemegang saham di dalam
Syarikat Konsesi Air; ii) tempoh pelaburan yang telah dibuat; iii) jumlah hutang yang ditanggung;
- PAAB akan mengambil alih aset air dari SPV Air pada nilaian aset bersamaan dengan 1 kali Nilai Buku (1x Book Value); dan
- pulangan keuntungan sebanyak 12%
Harga yang ditawarkan kepada Pemegang Konsesi adalah mengandungi nilaian aset, nilaian ekuiti dan liabiliti termasuk bon yang ditanggung oleh Pemegang Konsesi yang berkaitan khusus dengan perkhidmatan air sahaja. Harga yang ditawarkan adalah anggaran sahaja. Harga sebenar akan ditentukan selepas proses due diligence disempurnakan. Sebarang perbezaan dan/atau ketidaktepatan ke atas nilai yang dianggarkan selepas proses due diligence disempurnakan, maka nilai sebenar yang akan dibayar kepada Pemegang Konsesi akan diselaraskan sebagaimana patut.
Sekiranya tawaran tersebut tidak dipersetujui oleh syarikat konsesi dari segi tawaran, maka Kerajaan Negeri Selangor akan merujuk perkara berkaitan nilaian tersebut kepada Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa (Independent International Arbitration). Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa rujukan kepada Badan Timbang Tara Bebas ini adalah bertujuan untuk menentukan fair market value di mana semua pemegang saham di dalam syarikat konsesi akan dibayar pampasan yang adil dan munasabah. Tidak ada mana-mana pihak yang akan mengalami kerugian dari pelaburan yang telah mereka buat di dalam industri tersebut.
Kerajaan Negeri Selangor telah menulis kepada Kerajaan Persekutuan mengenai hasrat untuk memuktamadkan penstrukturan semula ini. Kerajaan Negeri beranggapan surat YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air melalui bertarikh 06 Februari 2013 merupakan kebenaran dari Kerajaan Persekutuan membenarkan Kerajaan Negeri Selangor mengemukakan tawaran kepada Pemegang Konsesi Air Negeri Selangor,
Lanjutan dari surat YB Menteri tersebut, Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 20 Februari 2013 telah bersetuju supaya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mengemukakan tawaran kepada semua Pemegang Konsesi Air Negeri Selangor bagi mengambil alih syarikat konsesi air dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor.
KDEB adalah syarikat milik Kerajaan Negeri yang paling sesuai untuk melaksanakan Model Holistik Negeri Selangor memandangkan KDEB, melalui anak syarikatnya milik penuhnya iaitu Konsortium Air Selangor Sdn Bhd memiliki lesen perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (“SPAN”). Ini akan memudahkan sebarang urusan pengeluaran lesen oleh SPAN pada masa akan datang.
Bagi melaksanakan Model Holistik Negeri Selangor tersebut, KDEB akan mengambilalih 100% kepentingan ekuiti di dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (“SYABAS”), Puncak Niaga Sdn Bhd (“PNSB”), Titisan Modal Sdn Bhd (“TMSB”) yang mengusai kepentingan di dalam Konsortium ABASS Sdn Bhd (“ABASS”) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad (“SPLASH Holdings”) yang menguasai kepentingan di dalam Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (“SPLASH”).
Terma dan syarat kepada tawaran tersebut adalah seperti berikut:-
- Nilai tawaran yang akan dibuat kepada kesemua Pemegang Konsesi Air adalah berjumlah RM9.6b;
- Nilai tawaran tersebut adalah setelah mengambil kira pulangan ekuiti Pemegang Konsesi iaitu sebanyak 12% setahun dan juga nilai Aset-Aset Air yang akan disuntik kepada Pengurusan Aset Air Berhad (“PAAB”).
- Kadar pulangan ekuiti 12% adalah dikira sehingga 31 Disember 2012 (tanpa “Compounding”) dan setelah ditolak dengan dividen yang telah dibayar sebelum ini;
- Ekuiti yang akan diambilalih termasuklah semua bentuk instrumen pelaburan dan sumbangan daripada pemegang saham e.g. saham biasa, saham keutamaan, pendahuluan dan juga mengambil kira instrument hutang-ekuti (debt-equity instruments) sekiranya berkaitan.
- Dari segi liabiliti yang akan di ambil alih, tawaran tersebut juga merangkumi pengambilalihan kesemua hutang-hutang berkaitan industri yang ditanggung oleh Pemegang Konsesi seperti:-
- Bond-Bond samaada yang telah diambil alih oleh Acqua SPV Berhad (“Acqua SPV”) atau yang masih berada di pasaran modal; ii. Pinjaman berpenggal, atau;
iii. Pinjaman Kerajaan (jika berkaitan).
- PAAB akan membuat keputusan ke atas pembayaran lebihan Nilai Buku Aset ke atas liabiliti, dan sekiranya bersetuju akan dibayar terus oleh kepada Pemegang Konsesi.
- Bayaran nilai tawaran akan dibuat secara tunai.
- Nilai tawaran akhir adalah tertakluk kepada proses “due diligence” yang akan dibuat.
- Syarat-syarat lain termasuklah segala kelulusan yang perlu diperolehi oleh Pemegang Konsesi seperti kelulusan pemegang-pemegang saham, kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan dan semua agensi berkaitan, kelulusan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan semua agensi berkaitan serta kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Acqua SPV dan juga pembiaya kewangan (jika berkaitan).
Lanjutan dari tawaran yang dikemukakan oleh KDEB pada 20 Februari 2013, beberapa siri perbincangan telah diadakan di antara KDEB dan Pemegang Saham SPLASH iaitu Gamuda Berhad, The Sweet Water Alliance Sdn Bhd dan Viable Chip Sdn Bhd pada 25 Februari 2013.
Pada 28 Februari 2013, satu perbincangan telah diadakan oleh KDEB dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang merupakan Pemegang Saham majoriti di dalam Titisan Modal Sdn Bhd.
Perbincangan juga telah diadakan pada 01 Mac 2013di antara KDEB dan Puncak Niaga Holdings Berhad (“Puncak Holdings”). Puncak Holdings merupakan pemegang saham di dalam SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd.
Selain dari mengadakan perbincangan, Puncak Holdings juga telah mengemukakan surat kepada KDEB pada 27 Februari 2013 bagi meminta penjelasan berhubung tawaran yang dikemukakan oleh KDEB, di mana melalui surat bertarikh 04 Mac 2013, KDEB telah mengemukakan penjelasan kepada Puncak Holdings antaranya seperti berikut:-
Bil Penjelasan yang diminta oleh Puncak Holdings Penjelasan oleh KDEB i. Keadaan apabila nilai aset air melebihi jumlah liabiliti tertunggak terhadap Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)
Merujuk kepada keadaan yang berlaku di Johor dan Melaka, perbezaan nilai tersebut akan dibayar oleh PAAB kepada Pemilik Aset. Nilai sebenar yang akan dibayar kepada Pemegang Konsesi hanya akan ditentukan selepas proses due diligence.
ii. Nilai tawaran belum mendapat persetujuan dari PAAB Rundingan rasmi dengan PAAB akan dimulakan oleh KDEB setelah semua Pemegang Konsesi Air bersetuju secara dasar di atas pengambilalihan tersebut. iii. Perkara berkaitan dengan persetujuan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri
Garis panduan yang dikeluarkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) memerlukan syarikat mendapatkan kelulusan perubahan saham/pegangan selepas semua persetujuan ke atas tawaran telah Bil Penjelasan yang diminta oleh Puncak Holdings Penjelasan oleh KDEB dimuktamadkan, dalam hal ini , persetujuan Puncak Holdings ke atas tawaran oleh KDEB diperlukan terlebih dahulu sebelum permohonan kelulusan EPU,JPM boleh diperoleh. iv. Kaedah penilaian ke atas aset dan liabiliti yang dibuat dalam menentukan nilai tawaran
Dalam perbincangan dengan wakil dari Puncak Holdings pada 01 Mac 2013, KDEB telah mengemukakan butiran terperinci serta kaedah penilaian yang dibuat dalam menentukan nilai tawaran. v. Kesediaan KDEB/Kerajaan Negeri Selangor dalam menyediakan dana bagi tujuan pengambilalihan ini Kerajaan Negeri bersedia untuk membiayai sebarang lebihan nilai aset yang mungkin timbul susulan proses penstrukturan semula ini. Setelah pembentukan Kerajaan baru pada 06 Mei 2013, Kerajaan Negeri telah menulis surat kepada YAB Perdana Menteri Malaysia dan YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, di mana melalui surat bertarikh 12 Jun 2013, YB Menteri bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan YAB Dato’ Menteri Besar bagi membincangkan mengenai penstrukturan semula ini. Kerajaan Negeri Selangor masih menunggu tarikh untuk perbincangan dengan YB Menteri.
Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa penstrukturan semula industri perkhidmatan air menggunakan Model Holistik hendaklah dimuktamadkan dalam usaha untuk memastikan perkhidmatan air di Negeri Selangor dapat diuruskan dengan cekap dan berkesan di samping kadar tarif munasabah yang tidak membebankan pengguna.
-
Sila huraikan secara terperinci perancangan yang bakal diambil oleh Kerajaan Negeri sekiranya pihak Kerajaan Persekutuan tetap cenderung membela Syarikat kroni daripada rakyat .
Memandangkan industri perkhidmatan air di Negeri Selangor semakin berada dalam keadaan yang membimbangkan baik dari segi operasi dan kewangan, Kerajaan Negeri Selangor berharap agar perbincangan dengan Kerajaan Negeri Selangor dalam waktu yang terdekat ini bagi menyelesaikan keadaan tersebut berpaksikan kepada matlamat untuk memuktamadkan penstrukturan semula di bawah Model Holistik dengan berlandaskan perundangan sedia ada dan mengutamakan kepentingan rakyat serta tidak merugikan mana-mana pihak yang terlibat dalam industri ini.
Berdasarkan kepada kenyataan media oleh YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, jelas menunjukkan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk berbincang dan membantu Kerajaan Negeri Selangor dalam hal perkara berkaitan industri bekalan air di negeri Selangor tanpa mengambil kira fahaman politik yang ada.
Justeru itu, sehingga pertemuan dengan Kerajaan Persekutuan diadakan,
Kerajaan Negeri Selangor bersedia menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan matlamat menyusun semula industri perkhidmatan air negeri Selangor berteraskan semangat pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2005 yang menitikberatkan supaya industri ini diurus secara holistik sebagai langkah untuk membendung masalah pengurusan operasi perkhidmatan air yang tidak cekap dan untuk mencapai kadar kenaikan tarif yang tidak melampau dan secara serentak berbincang kaedah perlaksanaan yang terbaik bagi pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dalam usaha untuk mencapai satu penyelesaian yang menguntungkan semua pihak terutamanya rakyat yang merupakan pengguna air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
-
Sila perincikan rancangan Kerajaan Negeri untuk memberi saham air kepada rakyat sekiranya berjaya menyusun semula industri air Negeri Selangor.
Dengan mengambil kira mandat yang diberikan oleh rakyat Negeri Selangor dan dalam usaha untuk merealisasikan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor untuk kepentingan rakyat Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor talah merancang sekiranya penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor dimuktamadkan, rakyat Negeri Selangor yang juga merupakan pengguna perkhidmatan air akan diberikan pegangan saham di dalam SPV Air yang ditubuhkan.
Pemberian saham tersebut adalah untuk memberi peluang kepada semua rakyat untuk turut mempunyai suara di dalam memberikan pandangan dan penambahbaikan dalam industri perkhidmatan air Negeri Selangor.
Langkah sedemikian rupa boleh memberi kesan kepada budaya rakyat dalam mengamalkan sikap bertanggung jawab terhadap aset dan perkhidmatan air dan sekaligus memupuk rasa tanggung jawab untuk tidak membazir kepada sumber air sedia ada serta semangat cintakan alam sekitar di mana rakyat akan menjadi lebih bertanggung jawab dalam menjaga kebersihan sungai-sungai yang merupakan sebahagian dari sumber air mereka.
Namun demikian, nilai dan mekanisme pemberian saham air kepada rakyat akan diperhalusi setelah penstrukturan semula dimuktamadkan.