Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
142) PENJUALAN ARAK
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk membuat larangan penjualan arak di kedai serbaneka seperti 7eleven dan Speedmart 99.
- Istilah arak yang diguna pakai di bawah Akta Kastam 1967 ialah “liquor yang memabukkan”. Berdasarkan Seksyen 2(1) Akta Kastam 1967, takrif “liquor yang memabukkan” termasuklah apa-apa alkohol, atau apa-apa cecair yang mengandungi lebih daripada 2% spirit pruf atau alkohol mutlak. Di bawah Seksyen 32 Akta Eksais 1976 pula, sebarang penjualan liquor yang memabukkan secara runcit memerlukan lesen.
Walau bagaimanapun, Seksyen 32 Akta Eksais 1976 ini juga memberikan pengecualian lesen jualan runcit bagi minuman ringan beralkohol seperti bir atau todi memandangkan ia bukanlah ditakrifkan sebagai liquor yang memabukkan. Oleh yang demikian, tiada larangan oleh Kerajaan Negeri terhadap penjualan minuman ringan beralkohol di kedai-kedai runcit atau kedai serbaneka kerana ia dibenarkan dijual tanpa perlu mendapatkan lesen selaras dengan peraturan di bawah Seksyen 2(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 32 Akta Eksais 1976 yang saya nyatakan tadi.
Bagi memastikan kawalan terhadap penjualan arak atau minuman ringan beralkohol di kedai serbaneka seperti 7 eleven dan Speedmart 99, Kerajaan Negeri telah menetapkan setiap premis diminta untuk mengamalkan sistem kawalan sendiri atau self-regulatory dalam penjualan minuman ringan beralkohol iaitu dengan meletakkan minuman tersebut di ruang yang berasingan dan pemakluman larangan dijual kepada orang islam serta bawah 18 tahun hendaklah diwujudkan. Jika didapati pemilik premis menjalankan aktiviti penjualan arak tanpa kelulusan, tindakan kompaun dan sitaan akan dikenakan.