Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

141) PENJAWATAN OKU

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peratus pekerja OKU dalam Kerajaan Negeri Selangor?

    Peratus penjawat awam yang berkhidmat dalam Kerajaan Negeri Selangor yang tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) adalah seramai 134 orang iaitu bersamaan 0.48% daripada perjawatan keseluruhan dibawah pentadbiran SUK Selangor iaitu 27,798 orang.

     

  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan bilangan pekerja OKU dalam perjawatan kerajaan?

    Usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan bilangan pekerja OKU dalam perjawatan kerajaan adalah selaras dengan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dijelaskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2020 yang menetapkan bahawa setiap agensi hendaklah memastikan pengambilan OKU hendaklah dibuat sekurang-kurangnya satu peratus daripada jumlah pegawai dalam agensi tersebut.

    Walau bagaimanapun, pencapaian dasar ini bergantung kepada permohonan pengisian jawatan oleh kementerian/jabatan/agensi. Pelantikan OKU dibuat berdasarkan calon yang memenuhi syarat lantikan yang ditetapkan dalam suatu skim perkhidmatan, kesesuaian calon dengan bidang tugas jawatan serta kemudahan mesra OKU yang disediakan oleh agensi yang berkenaan.

    Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPN) telah menjalankan beberapa usaha untuk menggalakkan permohonan OKU untuk memohon jawatan dalam perkhidmatan awam negeri seperti berikut:

    • Mengalu – alukan permohonan OKU melalui tawaran kekosongan jawatan melalui akhbar – akhbar utama berbahasa Melayu, Cina dan Tamil selain hebahan melalui laman portal rasmi SPN serta platform media sosial yang lain;
    • Sesi temuduga SPN yang melibatkan penggilan calon OKU akan turut ditemuduga oleh panel penemuduga dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menilai calon berkenaan;
    • Hebahan dan tawaran pekerjaan kepada OKU juga dilaksanakan oleh SPN di karnival atau pameran kerjaya seperti Selangor Mega Job Fair dan Karnival Kerjaya anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS).