Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
124) PENJAWAT AWAM DAN INTEGRITI
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
DYMM Sultan Selangor telah menzahirkan teguran terhadap Kerajaan Negeri berhubung isu integriti dikalangan penjawat awam. Apakah langkah-langkah yang diambil, sebagai contoh program latihan dan kempen kesedaran bagi meningkatkan integriti dan profesionalisme di dalam perkhidmatan awam negeri?
Sepertimana Yang Berhormat Pelabuhan Klang sedia maklum, penjawat awam merupakan jentera penggerak utama kepada semua pelaksanaan dasar negara mahupun negeri. Penjawat awam adalah barisan hadapan dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat serta memenuhi keperluan masyarakat.
Integriti adalah asas penting dalam membentuk penjawat awam yang berkualiti, jujur, telus dan bertanggungjawab. Kualiti penjawat awam dan integriti adalah dua aspek yang saling berkait rapat dan penting dalam memastikan perkhidmatan awam yang cemerlang.
Sehubungan dengan itu, antara langkah-langkah yang diambil bagi meningkatkan nilai-nilai integriti dan profesionalisme di dalam perkhidmatan awam Negeri adalah seperti berikut :-
- Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) di peringkat Jabatan/ Agensi yang melibatkan pengurusan tertinggi. Ianya merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan tatakelola dan integriti dalam perkhidmatan awam. Mesyuarat ini diadakan secara berkala dan dianggotai oleh semua Ketua Jabatan/ Agensi di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk membincangkan isu-isu berkaitan tatakelola, integriti, dan rasuah serta mencari penyelesaian yang berkesan;
- Majlis Ikrar Bebas Rasuah bersama Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor dan semua Ahli MMKN Negeri Selangor. Ikrar Bebas Rasuah (IBR) adalah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memupuk budaya integriti dan akauntabiliti dalam kalangan penjawat awam;
- Pelaksanaan Program Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA). Ianya adalah satu inisiatif yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan untuk memperkukuhkan tatakelola, integriti dan antirasuah dalam perkhidmatan awam. Bermula tahun 2025, pelaksanaan MPGIA ini akan diwajibkan kepada semua Jabatan/ Agensi di bawah Pentadbiran SUK Selangor sepertimana yang telah diputuskan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 2/2025 bertarikh 15 Januari 2025 yang lalu; dan
- Kerajaan Negeri Selangor turut menganjurkan pelbagai program pengukuhan integriti untuk memastikan penjawat awam mengamalkan nilai-nilai integriti dalam tugas harian. Antaranya adalah penganjuran Seminar dan Bicara Integriti yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya integriti dalam perkhidmatan awam. Selain itu penganjuran Sambutan Hari Integriti yang diadakan setiap tahun pada bulan Oktober juga adalah salah satu inisiatif memupuk semangat integriti dan pendedahan dikalangan penjawat awam.
Pembudayaan dan pengamalan budaya kerja yang beretika dan berintegriti dikalangan penjawat awam negeri Selangor merupakan aspek yang sangat penting untuk ditekankan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat secara keseluruhannya.