Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
146) PENJAJA PASAR MALAM
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Jelaskan secara terperinci proses pengambilan semula pengurusan pasar malam di Selangor dan apakah rasionalnya
Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa ‘bayaran pendahuluan penamaan’ tapak gerai pasar malam dimansuhkan bagi semua tapak Gerai Pasar Malam seluruh Selangor. Lanjutan daripada itu, semua JKP yang telah mengutip bayaran dikehendaki memulangkan semula bayaran tersebut kepada peniaga. Manakala fi sewa tapak pasar malam yang merangkumi fi pembersihan sampah hanya boleh dikutip oleh Pihak Berkuasa Tempatan sahaja. Bagi JKKK, Persatuan Penduduk dan Persatuan Penjaja hanya bertanggungjawab untuk menguruskan pembersihan tapak sahaja. Rasionalnya langkah ini diambil adalah untuk memastikan tiada penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan praktis yang menyalahi undang-undang dan etika dapat dibendung dikalangkan JKKK, Persatuan Penduduk dan Persatuan Penjaja. Ini kerana aduan yang diterima menyatakan wujud unsur-unsur monopoli, pilih kasih, penindasan semasa pemberian tapak pasar malam kepada peniaga. Oleh sebab itu, pengurusan tapak diserahkan kepada PBT untuk memudahkan penyelarasan dan pemantauan oleh Kerajaan Negeri.
-
Terdapat banyak rungutan ramai peniaga lama tercicir dari senarai, apakah langkah mengatasinya agar semua dapat berniaga semula
Untuk makluman, proses pengambilalihan pengurusan tapak pasar malam secara dasarnya tidak melibatkan sebarang rombakan kepada senarai peniaga sedia ada. Ini kerana hanya pengurusan tapak sahaja yang berubah dan tiada proses penamaan semula pemilik tapak. Malahan nama-nama peniaga yang dikekalkan adalah merujuk kepada senarai nama yang telah disahkan oleh Pengerusi Zon JKP setempat. Sekiranya wujud aduan yang menyatakan ada nama peniaga lama tercicir, kemungkinan besar mereka ini tidak membayar lesen perniagaan mereka selama ini. Oleh sebab itu ia telah mengakibatkan nama mereka digugurkan.