Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
129) PENIPUAN TANAH
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Terdapat berapa banyakkah kes penipuan tanah melibatkan penjualan lot-lot tanah di Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) tidak menerima aduan penipuan tanah secara rasmi yang melibatkan penjualan lot-lot tanah atau lot lidi. Maklumat diperolehi daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bahagian Unit Jenayah Tanah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak melaporkan secara spesifik mengenai kes penipuan penjualan lot-lot tanah. Walau bagaimanapun, berdasarkan statistik kes penipuan urusan tanah yang dilaporkan, sebanyak 136 jumlah kes penipuan yang berlaku di Negeri Selangor yang melibatkan urusniaga pindahmilik tanah dari tahun 2010 sehingga 30 September 2018. Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang telah menjadi mangsa penipuan, diminta untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa dan Pejabat Daerah dan Tanah dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS).
-
Apakah kaedah-kaedah yang diambil oleh Pejabat Tanah untuk membasmi penipuan-penipuan melibatkan tanah di Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat, kaedah-kaedah yang diambil oleh Pentadbiran Tanah Negeri Selangor untuk membasmi penipuan penjualan tanah-tanah lot di Negeri Selangor adalah dengan cara menolak semua permohonan Pendaftaran Surat Ikatan Amanah bagi semua lot-lot tanah pertanian (lot lidi) atas semua alasan berkuatkuasa mulai 28 September 2018 sehinggalah satu dasar yang berkaitan dirangka dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Penolakan ini akan terpakai di semua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS).
Pentadbiran Tanah Negeri Selangor telah menggunakan kaedah biometrik melalui
penggunaan Sistem SELAMAT dalam setiap urusan perserahan urusniaga dan bukan urusniaga. Pentadbiran Tanah Negeri Selangor juga telah bekerjasama dengan Jabatan Kehakiman Malaysia untuk menyemak Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney) melalui Sistem e-Filing. Usaha-usaha tersebut dapat mencegah aktiviti penjualan lot-lot tanah secara berleluasa tanpa mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Pihak Berkuasa Perancang (JPBD).
Selain itu, pelbagai medium digunakan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan orang awam melalui hebahan informasi berkenaan risiko pembelian lot-lot tanah di media sosial seperti Facebook dan Portal rasmi jabatan. Hebahan ini turut dipanjangkan ke Majlis Peguam Negeri Selangor untuk makluman. Khidmat nasihat berterusan juga diberikan kepada mereka yang hadir terus ke Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS). Langkah-langkah ini dapat melindungi kepentingan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dan menjadi mangsa kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.