Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

162) PENINGKATAN TARAF HIDUP KUMPULAN NELAYAN DAN PETANI

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk membantu meningkatkan taraf hidup kumpulan nelayan dan petani di luar bandar?

    Agenda peningkatan taraf hidup masyarakat luar bandar termasuk kumpulan nelayan dan petani sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. Ia bertujuan untuk memastikan limpahan pembangunan dan kemakmuran negeri dapat dinikmati oleh semua rakyat dan jurang perbezaan antara masyarakat bandar dan luar bandar dapat dikurangkan secara berterusan.

  2. Apakah langkah-langkah holistik untuk tujuan tersebut?

    Antara langkah-langkah secara holistik yang sedang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membantu golongan petani, penternak dan nelayan adalah seperti berikut:-

     

    Program Bantuan

    Program bantuan dalam bentuk pemberian input dan peralatan masih diteruskan dengan jumlah peruntukan pembangunan sebanyak RM27.8 juta telah disalurkan kepada jabatan yang berkaitan. Hampir 70% daripadanya adalah untuk program bantuan seperti bantuan baja, ternakan, peralatan menangkap ikan dan peralatan untuk pemprosesan produk atau Industri Asas Tani (IAT).

    1. Program Pemasaran

    Program pemasaran seperti Selangor Agro Market (SAM) telah terbukti memberikan impak yang amat positif kepada golongan tersebut termasuk golongan pembeli. Melalui program SAM, hasil pertanian dijual secara terus kepada pengguna dari ladang di mana melalui kaedah tersebut para pengusaha boleh menjual dengan harga yang lebih baik serta pembeli boleh membeli barangan dengan harga yang lebih murah sehingga 40% dari harga pasaran biasa. Program SAM telah dirancang untuk dilaksanakan di lebih 100 lokasi di seluruh Negeri Selangor.

     

    1. Pembukaan Kawasan Pertanian Baharu

    Salah satu impak positif Program SAM ialah pembukaan beberapa kawasan pertanian baharu yang akan dilaksanakan melalui Program Ladang Kontrak di mana Kerajaan Negeri akan menyediakan bantuan dari segi pemilihan lokasi serta kos awal penyediaan infrastruktur asas dan bimbingan kepada pengusaha agar mengusahakan hasil yang telah dikenalpasti mempunyai permintaan pasaran (market demand).

     

    Dalam pada itu juga, pembukaan kawasan-kawasan pertanian baharu akan dibuat berdasarkan potensi pasaran semasa dan masa hadapan. Ini termasuk hasil-hasil pertanian untuk industri pemprosesan seperti tanaman roselle dan juga melon yang akan melibatkan pihak FAMA Selangor selaku agen pemasar serta jabatan dan agensi lain sebagai pelaksana projek. Kaedah tersebut lebih tersusun dan dapat mengelakkan lambakan hasil di pasaran yang boleh mengakibatkan hasil jualan yang terlalu rendah sehingga menyebabkan hasil pendapatan pengusaha akan berada pada tahap rendah.

     

    1. Program Penggalakkan Pemasaran Eksport

    Program Penggalakan Pemasaran Eksport (produk tier 1) adalah merupakan program yang dirangka bagi memastikan produk yang berkualiti tinggi dan menepati syarat-syarat eksport akan terus diperkasakan. Menerusi program ini, bukan sahaja produk yang menepati pasaran eksport akan dibantu, bahkan secara tidak langsung produk-produk yang berada pada tahap tier 3 iaitu produk yang masih memerlukan bantuan dari segi kualiti dan juga kuantiti boleh dikenalpasti dan seterusnya turut sama dibantu sehingga mencapai tahap tier 1. Ianya boleh membantu golongan pengusaha untuk memperoleh pasaran yang lebih luas serta meningkatkan pendapatan mereka.

     

    1. Program Pemodenan Pertanian

    Program Pemodenan Pertanian merupakan program yang menerapkan penggunaan peralatan moden dan berteknologi tinggi di dalam sektor pertanian. Memandangkan secara puratanya kos awal penyediaan sesuatu projek yang berkonsepkan moden dan berteknologi tinggi adalah tinggi, Kerajaan Negeri akan menyediakan infrastruktur asas di tapak untuk membolehkan pengusaha belajar dan menimba pengalaman serta akhirnya pengusaha yang terlibat mampu berdikari dan membuka kawasan sendiri. Program ini akan melibatkan agensi kewangan seperti Agro Bank untuk turut serta sebagai pemberi pinjaman di samping bantuan awal oleh Kerajaan Negeri.

     

    1. Program Tanaman Makanan Ternakan

    Bagi membantu golongan penternak yang menghadapi masalah kenaikan kos makanan ternakan, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Program Tanaman Makanan Ternakan lembu dan kambing di beberapa kawasan terpilih. Tanaman ternakan yang akan diusahakan oleh para penternak akan menggunakan kaedah cut and carry dan dijangka akan dapat mengurangkan kos makanan ternakan dan seterusnya meningkatkan keuntungan.

Lampiran

Tiada Lampiran.