Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

230) PENINGKATAN PENDAPATAN

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pelan tindakan dan strategi terperinci Selangor berdasarkan data 2016 untuk meningkatkan pendapatan isi rumah penengah bernilai RM7,225.00 supaya setanding dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

    Menyedari kepentingan bagi membantu rakyat Selangor dalam mencukupkan perbelanjaan isi rumah semasa, Kerajaan Negeri telah merangka beberapa strategi dalam aspek pembangunan secara seimbang dan holistik supaya kemajuan yang dikecapi dapat sama-sama dinikmati oleh rakyat. Program-program kebajikan yang dilaksanakan sejak tahun 2008 melalui Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) menfokuskan kepada kesejahteraan rakyat bagi memelihara kemaslahatan dan keseimbangan di kalangan penduduk. Program-program ini terbukti berkesan dalam mengurangkan bebanan rakyat dalam menanggung kenaikan harga barang semasa dan membantu menampung kos sara hidup yang semakin meruncing. Kerajaan Negeri percaya program-program ini dapat menyokong usaha untuk menaiktaraf pendapatan isi rumah di samping merapatkan kesenjangan pendapatan dan seterusnya menyumbang kepada kestabilan sosioekonomi di kalangan penduduk. Ini terbukti berdasarkan kepada laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang mendedahkan keseluruhan kadar kemiskinan Negeri Selangor berkurangan daripada 0.2 peratus pada tahun 2014 kepada 0.0 peratus pada tahun 2016.

    Berdasarkan keyakinan bahawa kesenjangan pendapatan adalah masalah yang perlu ditangani secara tegas, maka Kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah utama antaranya melalui pelaksanaan 43 inisiatif dan insentif di bawah Program IPR dengan enam (6) kluster tumpuan iaitu pendidikan, pekerjaan, perumahan, kekeluargaan, kesihatan dan kebajikan.

    Antara program tersebut adalah:

     

    1. Bas Smart Selangor yang merupakan perkhidmatan bas percuma mula dilaksanakan pada 1 Julai 2015 dengan mengambilkira aspek-aspek seperti pemilihan laluan di kawasan berkepadatan tinggi untuk disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah. Keutamaan laluan adalah di kawasan yang tiada perkhidmatan bas sedia ada, manakala lokasi tumpuan adalah seperti pusat membeli belah, pejabat-pejabat kerajaan dan kemudahan awam.
    2. Skim Hijrah Selangor yang merupakan skim mikrokredit kepada golongan miskin untuk membantu berhijrah kepada golongan berpendapatan kelas menengah. Sehingga 31 Julai 2017, seramai 38,914 orang telah mendapat manfaat melalui program ini dengan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan sebanyak RM240,385,500.00.
    3. Dana Usahawan Mikro Selangor iaitu insentif kepada usahawan muda berjumlah RM10,000.00 kepada RM30,000.00 bagi setiap permohonan sebagai galakan kepada usahawan muda meningkatkan poduktiviti dan pasaran produk yang seterusnya dapat mentransformasikan taraf hidup ke suatu tahap yang lebih tinggi.
    4. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan yang berbentuk penajaan bagi golongan masyarakat individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil. Program ini dilaksanakan dengan pemberian bantuan peralatan/mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Antara lima (5) skop utama perusahaan adalah seperti jahitan, perniagaan makanan, perniagaan runcit, pengasuh kanak-kanak dan kraftangan. Sehingga 31 Julai 2017, jumlah penerima manfaat bagi Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah seramai 3,264 orang.
    5. Bekalan Air 20m3 Percuma merupakan insentif Kerajaan Negeri bagi meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah akibat daripada kadar sara hidup dan inflasi yang tinggi dengan menawarkan air bersih sebanyak 20 meter padu, bersamaan dengan 20,000 liter atau 5,680 gelen, setiap bulan bersamaan 40 secara percuma untuk rakyat. Faedah ini adalah untuk semua tanpa mengira taraf ekonomi, kaum, fahaman politik, asalkan tinggal di Selangor, berhak mendapat air percuma tersebut, setiap bulan. Sehingga 31 Julai 2017, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM1,354,206,738.00 bagi membiayai bekalan percuma ini.
    6. Skim Peduli Sihat adalah penyediaan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan untuk 250,000 keluarga atau sejuta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM125 juta setahun bagi skim ini yang diuruskan oleh Selgate Corporation selaku Third-Party Healthcare Administrator. Peruntukan tersebut merangkumi pembiayaan rawatan kesihatan asas (primary care) setiap keluarga yang layak sehingga RM500.00 setahun. Setiap peserta akan menerima kad kesihatan Peduli Sihat yang membolehkan pemegang akaun utama serta tanggungan, isteri juga anak di bawah 21 tahun menerima rawatan doktor (general practicioner) di klinik berdaftar menurut had gunaan dan kelayakan ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.