Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
86) PENINGKATAN KES COVID-19 DI SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan terkini yang telah diambil bagi membendung peningkatan semula kes COVID-19?
Untuk makluman Yang Berhormat, tindakan dan langkah terkini bagi membendung peningkatan semula kes Covid-19 di Selangor oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) adalah selari dengan garis panduan dan strategi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Langkah-langkah tersebut adalah:
1) Mempertingkatkan aktiviti promosi dan pendidikan kesihatan kepada masyarakat awam bagi tujuan meningkatkan liputan vaksinasi Covid-19 lengkap dan dos penggalak serta vaksinasi COVID-19 kalangan pelajar sekolah dan kanak-kanak berumur 5-11 tahun;
2) Mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan melalui Unit Inspektorat dan Perundangan (negeri dan daerah) di tempat-tempat tumpuan awam serta premis dan program yang berpotensi menjadi tempat perkumpulan orang ramai bagi memastikan pematuhan SOP berlaku;
3) Mengubah strategi saringan daripada penggunaan RT-PCR kepada penggunaan RTK-Ag kendiri sebagai ujian pengesahan kes positif. Langkah ini adalah bagi mempercepatkan tindakan kawalan dan pencegahan, termasuklah prosedur isolasi kes dan kuarantin bagi kontak rapat yang kini lebih cepat (tanpa lagi perlu mengulang ujian RT-PCR);
4) Memastikan stok-stok RTK-Ag kendiri di peringkat daerah dan negeri sentiasa dalam jumlah mencukupi; dan
5) Mendapatkan kerjasama pelbagai pihak dan agensi, sama ada agensi kerajaan negeri mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan:
i. Mempertingkat liputan vaksinasi primer dan penggalak, terutamanya di kalangan kanak-kanak dan golongan berisiko;
ii. Pembudayaan norma baharu yang lebih menyeluruh dan berkesan;
iii. Mempertingkatkan kesedaran agar segera melakukan ujian kendiri sekiranya bergejala dan terus menjalani isolasi sekiranya positif; dan
iv. Mengalakkan masyarakat awam untuk memperkasakan diri melalui pengunaan aplikasi mysejahtera yang mampu membantu pengurusan kes dan kontak rapat secara digital dan lebih pantas, seterusnya mengurangkan beban di fasiliti kesihatan awam. -
Adakah statistik immunisasi di Selangor berjaya seperti yang diharapkan?
Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang meliputi golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak berumur 5-11 tahun di negeri Selangor adalah selari dengan pelaksanaan program di peringkat kebangsaan. Pencapaian PICK di negeri Selangor sehingga 01 Mac 2022 adalah seperti berikut :
Sasaran liputan untuk kategori Kanak-kanak adalah 70% menjelang bulan April. Secara keseluruhannya, program PICK di negeri Selangor telah mencapai sasaran yang ditetapkan di peringkat kebangsaan.
-
Bagaimanakah prestasi SUKA di dalam usaha membendung jangkitan COVID-19?
Yang Berhormat Sijangkang juga bertanya tentang prestasi SUKA dalam usaha membendung jangkitan Covid-19. Penubuhan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) pada tahun 2021 merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasa peranan komuniti dalam meningkatkan advokasi dan kesedaran masyarakat berkaitan kesihatan awam. SUKA ditubuhkan dengan objektif yang lebih besar bukan sekadar untuk membantu Kerajaan Negeri menangani Covid-19 tetapi juga untuk mempromosi dan menggalakkan budaya gaya hidup sihat, membantu mengurangkan insidens dan prevalens penyakit berjangkit dan tidak berjangkit dan juga sebagai penghubung dan pemudahcara bagi menyampaikan informasi dan inisiatif Kerajaan Negeri berkaitan kesihatan kepada rakyat Selangor. SUKA kini mempunyai ahli berdaftar seramai 1800 orang di seluruh Selangor.
SUKA ditubuhkan pada tahun 2021 ketika kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang sedang memuncak. Justeru, semua anggota SUKA telah dilatih oleh Persatuan Kesihatan Awam Malaysia (PKAM) melalui 8 modul yang berkaitan Covid-19 bermula pada Ogos 2021 sehingga Oktober 2021 merangkumi modul-modul seperti Penjagaan dan Pemantauan Pesakit Covid-19 di Rumah, PPE dan Sanitasi, Psychological First Aid (PFA) Ketika Covid19, Vaksin Covid-19, Sukarelawan di Lapangan dan lain-lain. Dalam fasa ini juga semua SUKA telah bergerak dan menjalankan hampir xxx program dan aktiviti berkaitan Covid19 kepada komuniti setempat. Selain itu, SUKA juga membantu pesakit Covid-19 dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran ke Covid-19 Assessment Centre (CAC), pengedaran bantuan perubatan ke rumah pesakit dan bantuan sokongan di pusat kuarantin.
Anggota SUKA juga turut mengadakan taklimat dan kempen kesedaran berkaitan penjagaan kesihatan dan langkah bersesuaian bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. Berdasarkan aktiviti dan program yang telah dijalankan oleh SUKA sejak penubuhannya yang tidak sampai setahun, ia merupakan satu pencapaian yang memuaskan dan patut di beri galakan dan sokongan berterusan. Kerajaan Negeri akan meneruskan latihan dan kursus yang bersesuaian kepada SUKA pada tahun ini bagi memastikan semua anggota SUKA dilengkapi dengan ilmu dan pengetahuan yang mencukupi dalam bidang kesihatan awam