Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
150) PENINGKATAN JANGKITAN VIRUS COVID-19 AMAT MERUNCINGKAN TERUTAMA DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membendung virus COVID-19 ini?
Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Batang Kali (N07) No.141(a), Sungai Burong (N08) No.168 (a) dan Hulu Bernam (N05) No.187 (a). Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan agensi berkaitan dalam memastikan penularan wabak COVID-19 di Negeri Selangor sentiasa dalam keadaan terkawal. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan beberapa strategi sendiri.
Antaranya adalah penubuhan Selangor Task Force COVID-19 (STFC) yang bertujuan meningkatkan pendidikan dan pemahaman rakyat Negeri Selangor berkenaan langkah-langkah penjagaan diri dan norma baharu selain memperkenalkan inisiatif bagi memutuskan rantaian transmisi wabak COVID-19 dalam komuniti.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah membangunkan aplikasi SELangkah yang merupakan aplikasi contact tracing yang pertama di Malaysia dan berupaya mengurangkan kadar kes harian di Negeri Selangor semasa ia mula diperkenalkan. SELangkah juga kini dilengkapi dengan fungsi pendaftaran bagi Program Vaksin Selangor (SELVAX) dan maklumat saringan komuniti yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri. Terkini, aplikasi SELangkah telah digunakan sebagai platform pengawasan kuarantin kendiri di rumah seperti rekod bacaan pulse oximeter yang diberikan secara percuma oleh Kerajaan Negeri.
Pelaksanaan saringan komuniti secara percuma di kesemua 56 DUN juga membantu Kerajaan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan agensi berkaitan mengenalpasti lokaliti yang mempunyai kadar positif yang tinggi di samping mengesan kes positif di kalangan kumpulan yang tidak bergejala (silent carriers).
Selari dengan status negeri perindustrian dan pusat ekonomi di Malaysia, pengawalan wabak COVID-19 di sektor perindustrian dan tempat kerja adalah penting bagi memastikan kelangsungan ekonomi terus terpelihara. Justeru, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program Prevention of Outbreak At Ignition Sites (POIS) pada awal tahun 2021. POIS merupakan satu langkah pemerkasaan pihak majikan secara sukarela dari industri / kilang yang merupakan penyumbang terbesar kluster kes COVID-19 di Negeri Selangor. Saringan yang akan dibiayai sendiri oleh pihak industri ini merupakan langkah mitigasi di samping memberi panduan kepada majikan untuk mencegah penularan COVID-19 di kalangan pekerja dan menghalang spillover ke dalam komuniti.
Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Program Sukarelawan Komuniti Sihat Selangor (SUKA). Melalui penubuhan SUKA, dianggarkan seramai lebih 600 sukarelawan di seluruh Negeri Selangor akan digerakkan bagi membantu PKD dan CAC mengurus dan menyelaras pesakit COVID-19 terutama bagi mereka yang menjalani kuarantin kendiri di rumah. Penglibatan SUKA secara tidak langsung mampu meningkatkan rasa tanggungjawab masyarakat dalam membantu Kerajaan Negeri memerangi COVID-19.
-
Saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk menyediakan PPV bergerak atau mobile untuk kawasan-kawasan pendalaman.
Dalam memastikan sektor ekonomi dan sosial dapat beroperasi dan dibuka semula, proses vaksinasi yang pantas dan menyeluruh adalah penting dalam usaha mempercepat ke arah imuniti kelompok. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program program Vaksin Selangor (SELVAX). Kerajaan Negeri melalui SELGATE Healthcare Sdn Bhd turut dalam proses meneliti cadangan pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak bagi kegunaan di kawasan pedalaman serta mempunyai akses yang terhad ke PPV sedia ada, tertakluk kepada ketersediaan peruntukan dan jumlah penduduk yang masih belum divaksinasi.