Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
38) PENILAIAN TERHADAP AHLI PBT
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh manakah prestasi ahli-ahli PBT pada keseluruhan?
Pada keseluruhannya, Ahli-Ahli Majlis PBT yang dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi
penggal 2009/2010 telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh
dedikasi, berkesan serta amat memuaskan. Walau bagaimanapun, hanya segelintir
sahaja Ahli Majlis yang kurang aktif dalam penyampaian perkhidmatannya dan
mereka ini telah pun diberikan pendedahan melalui kursus di Institut Latihan Pihak
Berkuasa Tempatan (ILPBT) untuk meningkatkan pengetahuan serta kecekapan
agar dapat menjalankan tugas sebagai Ahli Majlis. -
Adakah dari kalangan mereka diberhentikan?
Berdasarkan rekod bagi Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan lantikan penggal
2009/2010, tiada rekod menunjukkan Ahli Majlis PBT diberhentikan. Walau
bagaimanapun, bilangan Ahli Majlis yang menarik diri hanya seorang manakala
yang meletak jawatan seramai 5 orang. -
Apakah tindakan yang diambil terhadap yang kurang memuaskan, tapi dikekalkan?
Untuk makluman Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan
Negeri telah bersetuju agar setiap Parti Politik hendaklah bertanggungjawab untuk
memberi nasihat ke atas mana-mana Ahli Majlis yang menunjukkan prestasi kurang
memuaskan namun dikekalkan jawatannya sebagai Ahli Majlis PBT. Tujuan
keputusan ini dibuat adalah bagi memberi peluang kepada Ahli-Ahli Majlis berkenaan
membuat penambahbaikan ke atas prestasinya dari segi perkhidmatan dan juga
penyampaian terhadap Kerajaan Negeri, PBT dan penduduk setempat.