Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
110) PENIAGA RUNCIT DAN KECIL
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh mana peniaga-peniaga runcit terutamanya perniagaan non-essential services dan perniaga kecil terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Selangor?
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor telah mencatatkan nilai KDNK berjumlah RM326.8 bilion yang menunjukkan penyusutan 5.3% pada 2020 berbanding pertumbuhan 6.8% pada tahun 2019. Sektor perkhidmatan menguncup 6.8% didorong oleh subsektor perdagangan borong & runcit, penginapan dan makanan & minuman yang merosot 9.3%. Walau bagaimanapun, pertumbuhan positif bagi subsektor kewangan & insurans dan maklumat & komunikasi telah mengimbangi pertumbuhan keseluruhan sektor ini pada tahun 2020. Sektor perkhidmatan di negeri Selangor mengalami kemerosotan lebih tinggi berbanding paras nasional yang menurun sebanyak 5.5%. Salah satu faktor penyusutan tersebut disebabkan penutupan operasi secara berterusan sepanjang tempoh pandemk covid-19. Namun, ada hikmah disebalik kesulitan yang berlaku. Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia bagi penggunaan ICT & e-dagang oleh pertubuhan menunjukkan peningkatan 32.7% pendapatan bagi aktiviti e-dagang dengan jumlah RM896,394 juta bagi tahun 2020. Bagi pendapatan bagi suku tahun pertama 2021 pula telah meningkat sebanyak 30% berbanding suku pertama tahun 2020 kepada RM 254,636 juta. Statistik menunjukkan kadar penggunaan komputer dan internet Selangor pada kadar 98% dan web presence negeri Selangor merupakan yang tertinggi di Malaysia pada kadar 79.8%. Justeru Kerajaan Negeri positif pemulihan sektor perkhidmatan berada pada landasan yang kukuh bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
-
Apakah tindakan Kerajaan Selangor untuk menyelamatkan perniagaan mereka daripada gulung tikar?
Kerajaan Negeri telah merangka beberapa insentif dan bantuan bagi mengurangkan impak kepada para usahawan di Negeri Selangor akibat pandemik Covid19. Antara program dan insentif yang disediakan adalah seperti berikut:
Selangor Advance
Selangor Advance ialah program yang memberi kemudahan aliran tunai dan modal operasi pembekal/penyedia perkhidmatan yang berurusan dengan pihak Kerajaan Negeri Selangor, agensi dan kumpulan GLC Selangor sahaja. Kaedah yang dilaksanakan adalah melalui kemudahan pembiayaan pemfaktoran-i. Para pembekal / penyedia perkhidmatan tersebut boleh memohon untuk menyertai program secara atas talian di www.selangoradvance.com.my dan boleh mula memohon untuk pembayaran awal atas nilai invois setelah mendapatkan kelulusan untuk mengambil bahagian. Menteri Besar Incorporated (MBI) adalah urusetia bagi program ini.
Bantuan one-off00 peniaga Bazar Ramadan
Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk menutup bazar pada bulan Ramadan bagi mengekang penularan COVID19. Bantuan one-off RM500.00 diberikan kepada peniaga untuk meringankan beban hidup.
- Pengecualian sewa premis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2 bulan (Jun-Julai)
Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk memberikan pengecualian sewa premis bagi 2 bulan di peringkat PBT yang tidak beroperasi bagi meringankan beban kewangan peniaga.
Moratorium pinjaman mikrokredit HIJRAH Selangor
Peminjam daripada HIJRAH Selangor diberi penangguhan bayaran pinjaman bagi peringkat ketiga selama 1.5 bulan dari 15 Jun 2020 hingga 31 Julai 2020 yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.6 juta. Memandangkan terdapat maklumbalas peniaga memerlukan lanjutan moratorium, Kerajaan Negeri telah memberi tambahan penangguhan bayaran selama 6 minggu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM11 juta. Ini bermakna jumlah keseluruhan penangguhan pinjaman mikrokredit HIJRAH Selangor adalah sebanyak RM12.6 juta.
Geran Padanan Digital PKS Selangor
Kerajaan Negeri melalui Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) telah memperuntukan 50% geran padanan atau pembiayaan maksima sehingga RM5,000.00 kepada setiap PKS untuk melanggan pembekal perkhidmatan digital. Permohonan boleh dibuat melalui pautan Jumlah keseluruhan dana ini adalah sebanyak RM5 juta dan ia merangkumi lima (5) bidang digital yang ditetapkan seperti berikut :
- e-dagang;
- sistem sumber manusia;
- sistem perakaunan;
- pemasaran digital; dan
- sistem elektronik point of sales dan payment gateway.
Data Internet Percuma selama 12 bulan
Kerajaan Negeri telah memperuntukan pemberian bantuan Data Internet percuma bagi tempoh 12 bulan. Pembekal perkhidmatan disertai oleh DIGI, CELCOM dan UNIFI dan terdapat tiga (3) pakej pilihan data internet. Permohonan boleh dibuat melalui pautan https://platselangor.com
- Bantuan COVID19 Lembaga Zakat Selangor
Di bawah Lembaga Zakat pula memperuntukan bantuan kepada golongn B40 (berpendapatan kurang RM4,300.00) yang terjejas akibat COVID19. Ia juga merangkumi individu yang diberhentikan kerja, mendapat separuh gai dan cuti tanpa gaji pada masa PKP ini.
- Bakul Makanan RM100,000.00 di 56 DUN
Bagi memastikan kelangsungan hidup, Kerajaan Negeri memperuntukan setiap DUN sebanyak RM100,000.00 bagi program bakul makanan yang akan diberikan kepada penduduk setempat. Pakej itu merupakan set makanan asas bagi rakyat bagi memastikan tidak terputus bekalan asas makanan.
Selain itu Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah dana setiap tahun bagi memperkasakan dan melahirkan usahawan berjaya di dalam Negeri Selangor. Sebahagian permohonan bantuan ini diproses sepanjang tahun dan mengikut proses kelulusan. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)
Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini.
Setiap daerah diperuntukkan sebanyak RM250,000.00 untuk program bantuan DUMS. Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00. Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:
- Rakyat Negeri Selangor atau pun yang telah bermastautin lebih daripada 10 tahun;
- Perusahaan dijalankan di Negeri Selangor;
- Berumur antara 18 – 55 tahun;
- Nilai jualan kurang daripada RM300,000.00 atau bilangan pekerja 2-5 orang;
- Perusahaan telah dan masih beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun;
- Perusahaan dijalankan sepenuh masa; dan
- Perusahaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
- Klinik Usahawan Selangor
Penubuhan Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. UPEN Selangor
bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan, PKNS memandangkan agensi tersebut berfungsi sebagai organisasi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.
- Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
Matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan pendapatan bagi individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00. Pemberian berbentuk bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Syarat permohonan telah dilonggarkan kepada 3 bulan pengoperasian pada musim pandemik COVID19 bagi membantu rakyat menjana pendapatan.
Bantuan ini merupakan sebahagian daripada 33 Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Kerajaan Negeri Selangor untuk mengupayakan masyarakat keluar daripada kitaran kemiskinan. Program ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi.
- Latihan Keusahawan
Latihan keusahawan masih diteruskan pada musim pandemik COVID19. Walau bagaimanapun program dijalankan secara atas talian. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama agensi- agensi lain seperti INSKEN, MARA, HIJRAH Selangor dan Bahagian Pembangunan Usahawan, PKNS.
- Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor (SITHAM)
Program ini bertujuan untuk membantu usahawan India yang berpotensi berkembang maju di dalam bidang perniagaan. Di samping itu, ianya dapat membantu usahawan India menjadi lebih berdikari dan mampu untuk menjana ekonomi. Program yang ditawarkan adalah latihan pengurusan merangkumi aspek pengurusan pemasaran dan kewangan, latihan kemahiran dan pembangunan, program inkubator bersama syarikat peneraju dan geran perniagaan.
Antara modul yang telah dirangka ialah latihan kemahiran bersama syarikat peneraju/mentor terpilih selama tiga (3) hingga enam (6) bulan bergantung kepada industri yang terpilih. Sepanjang tempoh latihan tersebut, peserta akan diberi peluang untuk terus mengendalikan perniagaan mengikut jenis latihan yang diceburi dan dipantau oleh syarikat peneraju. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama HIJRAH Selangor.
- Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor
HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2020. Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selain itu terdapat beberapa program lain yang ditawarkan melalui agensi ini. Perincian program adalah seperti berikut:
- Skim Zero to Hero
Program ini merupakan pakej latihan dan bimbingan perniagaan oleh syarikat peneraju selama tiga (3) hingga enam (6) bulan. Ia menawarkan pakej dalam bidang perniagaan, pembuatan, pertanian, perikanan, peruncitan dan jualan atas talian.
- NADI (Skim Niaga Darul Ehsan)
Bantuan ini berbentuk pinjaman modal dari RM1,000.00 – RM5,000.00 khusus untuk wanita memulakan perniagaan dalam kumpulan seramai 3 orang. Pembiayaan ditawarkan selama (3) hingga enam (6) bulan.
- GO Digital (Skim Pembiayaan Digitalisasi)
Skim ini ditawarkan kepada usahawan yang ingin menyertai platform digitalisasi perniagaan. Pinjaman di tawarkan sehingga RM5,000.00 dengan tempoh pembiayaan 6 bulan – 3 tahun.