Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

400) PENGUSAHA PENTERNAKAN BABI SECARA TRADISI DI TELOK BUNUT, BANTING

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang telah dilakukan ke atas pengusaha penternakan babi secara tradisi di Telok Bunut, Banting yang menyebabkan pencemaran bau?

    JABATAN VETERINAR

    Tindakan-tindakan yang telah dilakukan ke atas pengusaha penternakan babi secara tradisi di Telok Bunut, Banting yang menyebabkan pencemaran bau adalah seperti berikut :

    Tindakan-tindakan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) bermula dengan beberapa lawatan pemeriksaan dan khidmat nasihat teknikal serta pemantauan berkala bagi menangani beberapa aduan pencemaran dan kacau ganggu yang melibatkan ladang ini.

    Walau bagaimana pun, penternak babi masih tidak membuat penambahbaikan untuk menyelesaikan isu ini. Maka itu,  tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan iaitu kompaun bagi kesalahan pelepasan efluen melebihi had parameter yang dibenarkan.

    Setelah itu, DVS Selangor tidak lagi mengeluarkan Lesen Penternakan Babi Sementara kepada penternak tersebut.  Tindakan ini telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang  ke-28/2023 yang bersidang pada 8 November 2023.  Namun selepas itu, DVS mendapati pengusaha penternakan masih menjalankan aktiviti penternakan babi tanpa lesen.  Tindakan penguatkuasaan diteruskan lagi iaitu kompaun bagi kesalahan menjalankan aktiviti penternakan tanpa lesen pula.

    Walau pun telah dikompaun beberapa kali, penternak berkenaan masih meneruskan aktiviti penternakan babi.  Maka itu, DVS Selangor telah menjalankan operasi penguatkuasaan pada 6 Februari 2023.  Pada hari berkenaan, Kerajaan Negeri mengarahkan DVS Selangor untuk menangguhkan operasi dan keputusan ini disahkan oleh MMKN ke-5/2024

    Susulan itu, pengusaha penternak telah mengemukakan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam (MTSA) pada 8 Februari 2023. Kamar Penasihat Undang-undang Negeri Selangor (PUU) mewakili responden iaitu DVS Selangor bagi perkara ini.  Kamar PUU telah mencadangkan penyelesaian kes ini iaitu penguatkuasaan ditangguhkan dan babi dipindahkan secara berperingkat dan bertempoh.  Cadangan ini dipersetujui MMKN ke-8/2024 pada 20 Mac 2024. Seterusnya, pada 2 Mei 2024, MTSA telah mengeluarkan perintah bagi penyelesaian kes ini seperti yang telah disebutkan tadi.

    Kini, DVS Selangor memantau pemindahan babi secara berperingkat dan bertempoh oleh penternak bagi mematuhi perintah persetujuan yang dikeluarkan oleh MTSA di mana pemindahan babi ini dijangka selesai pada 31 Disember 2024.

     

    JABATAN ALAM SEKITAR

    Isu pencemaran bau iaitu gas ammonia di Teluk Bunut, Banting adalah berpunca daripada pelepasan efluen kumbahan aktiviti perladangan dan penternakan khinzir yang telah memasuki sungai. Pencemaran bau akibat daripada aktiviti tersebut adalah bukan dibawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar. pemeriksaan yang meliputi semua aspek penternakan babi sepertimana telah digariskan dalam Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991 (Pindaan 2010) dan Kaedah-kaedah Pelesenan Penternakan Babi (Negeri Selangor) 2012 adalah terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Veterinar Selangor.

    Manakala, bagi kawalan pelepasan efluen dari industri seperti kilang kelapa sawit dan pelepasan kumbahan dari sistem pengolahan kumbahan berpusat di kawasan taman perumahan dan pusat-pusat komersial adalah tertakluk kepada bidang kuasa di bawah Jabatan Alam Sekitar. Penguatkuasaan dan pemantauan secara berkala sentiasa dilaksanakan terhadap pelepasan dari punca-punca tersebut.

    Penguatkuasaan dan pemantauan secara berkala turut dilaksanakan ke atas sungai-sungai yang berisiko tinggi tercemar meliputi semua aspek perancangan penempatan industri, penguatkuasaan berterusan, pengawasan dan program kesedaran dan pendidikan alam sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.