Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
7) PENGUSAHA KECIL DAN SEDERHANA (PKS) DALAM MENGHADAPI WABAK COVID-19
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada majikan dalam usaha untuk mengurangkan pembuangan pekerja oleh syarikat mereka?
Kerajaan Negeri memberi fokus kepada usahawan bagi merancakkan ekonomi secara umum melalui pelbagai bantuan kepada para usahawan dan pemilik perniagaan. Antaranya ialah pemberian bantuan secara langsung dan pemberian moratorium serta penangguhan bayaran sewa premis perniagaan. Berikut merupakan perincian bantuan-bantuan tersebut:-
1. Bantuan tunai one-off kepada peniaga
Bantuan ini diberikan kepada peniaga dan penjaja yang berdaftar dengan PBT melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM40 juta.
2. Moratorium pinjaman mikrokredit HIJRAH Selangor.
Peminjam daripada HIJRAH Selangor diberi penangguhan bayaran pinjaman selama 3 bulan dari 18 Mac 2020 hingga 15 Jun 2020. Bantuan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM70 juta.
3. Pengecualian sewa premis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
Peniaga yang menyewa di premis PBT diberikan pengecualian sewaan 1 bulan pada April 2020 yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM12 juta.
-
Apakah bantuan yang diberikan kepada mereka yang terpaksa dibuang kerja?
Manakala bagi mereka yang dibuang kerja, terdapat beberapa program dan bantuan disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan untuk meningkatkan nilai kendiri dan menjana ekonomi keluarga. Berikut merupakan antara program dan bantuan yang boleh disertai oleh golongan tersebut:
1. Latihan keusahawanan
Ianya berbentuk siri latihan keusahawanan secara atas talian dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan beberapa moderator kursus yang terpilih. Intipati kursus adalah modul mudah yang meliputi jualan, pemasaran dan kewangan secara atas talian. Peserta dibimbing untuk mudah membina perniagaan dalam masa yang singkat Selain itu, UPEN sedang merangka penganjuran latihan di dewan seminar memandangkan penurunan kes COVID19 dan aktiviti ekonomi telah dibenarkan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
2. Klinik Usahawan Selangor
Penubuhan Klinik Usahawan Selangor dalam masa terdekat adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. UPEN Selangor bekerjasama dengan BPU, PKNS memandangkan agensi tersebut berfungsi sebagai organisasi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.