Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

339) PENGUSAHA AGRO-PELANCONGAN DI KAWASAN SAWAH

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapa proses mendapatkan lesen perniagaan agro-pelancongan yang menggunakan tapak sawah begitu rumit sedangkan sektor ini penting untuk menjana ekonomi tempatan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, proses mendapatkan lesen perniagaan agro-pelancongan yang menggunakan tapak sawah boleh menjadi rumit kerana terdapat keperluan untuk memastikan bahawa aktiviti agro-pelancongan tidak akan menjejaskan fungsi utama kawasan pertanian dan tidak memberi impak terhadap tanah, tanaman dan ekosistem setempat. Syarat Nyata Tanah bagi kawasan tapak sawah juga tidak membenarkan sebarang pembangunan dilaksanakan bagi menyokong dasar keterjaminan makanan negara.

    Selain itu, isu pematuhan terhadap peraturan keselamatan dan kesihatan juga dititikberatkan. Oleh itu, setiap permohonan lesen perniagaan agro-pelancongan perlu melalui proses tapisan yang teliti oleh Jabatan Teknikal bagi menjaga kepentingan dan keselamatan semua pihak.

    Keadaan yang dikatakan rumit itu sebenarnya berpunca daripada sesetengah pihak pengusaha yang mengambil remeh perkara-perkara yang berkaitan dengan keselamatan pengunjung. Mereka lebih gemar membangunkan dahulu fasiliti pelancongan yang tidak memenuhi keperluan teknikal serta tidak mematuhi peraturan dan undang-undang. Selain itu, ketiadaan kebenaran merancang, permit bangunan sementara atau kelulusan pelan bangunan juga menjadi punca kepada kerumitan ini. Binaan-binaan yang disediakan tanpa pelan dan perancangan teknikal yang teratur boleh membahayakan keselamatan pengunjung yang akan menginap di fasiliti tersebut.

  2. Adakah Kerajaan Negeri menyediakan khidmat nasihat dan sokongan kepada pengusaha agro-pelancongan yang tidak berpengalaman dalam menguruskan proses perlesenan yang kompleks?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan ada menyediakan khidmat nasihat perancangan dan sokongan kepada pengusaha agro-pelancongan yang kurang berpengalaman dari segi pematuhan prosedur, kaedah permohonan dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi supaya mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Selain itu, maklumat dan panduan berkaitan proses pelesenan turut disediakan dalam portal dan laman web.

Lampiran

Tiada Lampiran.