Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
198) PENGURUSAN SISA PEPEJAL YANG BERDAYA TAHAN
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan jangka masa panjang bagi pengurusan yang efisyen?
Antara fokus utama Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat adalah melalui penstrukturan semula pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan kecekapan operasi dengan memperkenalkan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) sebagai Project Management Company (PMC) yang bertanggungjawab sebagai pengurus bagi pelaksanaan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Selangor.
Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah dipilih sebagai projek perintis (pilot project). Setelah kejayaan pelaksanaan perkhidmatan ini dapat dilihat di MPK, model PMC ini telah diperluaskan ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menggunakan modus operandi yang sama selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang efektif dan efisyen ke arah membangunkan negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang berkonsepkan Smart City dan Smart State. Kerajaan Negeri turut merancang untuk memperluaskan perkhidmatan PMC ke lain-lain PBT pada masa akan datang.
Dari segi pengurusan tapak pelupusan, Kerajaan Negeri turut telah bersetuju supaya anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Worldwide Holdings Berhad (WHB) menerajui usaha untuk membangunkan dan melaksanakan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) bersebelahan dengan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram (TPSJ) Kuala Selangor.
ISWMC ini merupakan satu sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal yang menyeluruh merangkumi fasiliti atau kemudahan seperti berikut:
- Loji Waste To Energy (WTE);
- Loji Kitar Semula;
- Loji Pencernaan Anerobik (AD);
- Loji Kompos;
- Loji Kitar Semula Sisa Binaan; dan
- Pusat Penyelidikan & Pembangunan
Dengan adanya ISWMC ini, sisa pepejal yang dihasilkan di Negeri Selangor bukan hanya dilupuskan, tetapi juga akan menjadi sumber kepada tenaga elektrik, penghasilan baja, kutipan barangan kitar semula dan lain-lain yang dapat menambah nilai kepada aktiviti ekonomi Negeri Selangor.
-
Apakah ukuran terhadap ketahanan perancangan ini?
Langkah penstrukturan semula pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor bagi meningkatkan kecekapan operasi merupakan langkah yang baru dilaksanakan dan masih di peringkat awalan. Pelaksanaannya yang sedang dilaksanakan secara berperingkat belum membolehkan sebarang penilaian secara keseluruhan dibuat terhadap keberkesanan langkah ini. Walau bagaimanapun, pada ketika ini, jumlah aduan yang diterima digunakan sebagai pengukur untuk melihat keberkesanannya di PBT-PBT yang terlibat, dan berdasarkan kepada jumlah aduan, didapati pelaksanaan PMC ini adalah begitu positif.
Sehingga Jun 2017, statistik aduan di ketiga-tiga PBT adalah seperti berikut:
-
Bagaimanakah prestasi KDEB Waste Management Sdn Bhd setakat ini?
Sepanjang pengambilahan operasi pengurusan sisa pepejal di ketiga-tiga PBT, KDEBWM telah memperkenalkan beberapa inisitif baru bagi mempertingkatkan keseluruhan operasi pengurusan sisa pepejal di PBT-PBT berkenaan iaitu:
- pemberian lori kompaktor baru yang dilengkapi sistem pemantauan Auto Vehicle Locating System (AVLS), kamera undur dan CCTV kepada subkontraktor menggunakan kaedah sewa-beli;
- penggunaan sebuah lori kompaktor baru di setiap zon (1 lori 1 zon);
- pewujudan Centralized Command Centre (CCC) yang berperanan sebagai pusat kawalan operasi kutipan sisa pepejal KDEBWM dalam menerima aduan serta pemantauan penyelia kawasan dan kontraktor kutipan;
- penggunaan telefon pintar yang dilengkapi dengan alat pengesan (tracker) bagi memantau pergerakan penyelia kawasan dan lori kompaktor;
- penggunaan Aplikasi i-Clean sebagai salah satu medium kepada pengguna untuk menyalurkan aduan; dan
- penggunaan aset-aset lain selain kompaktor seperti RORO dan tricycle sebagai aset sokongan.
Usaha penambahbaikan dan pemodenan infratruktur kutipan yang dilaksanakan oleh KDEBWM adalah bertepatan dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk membangunkan negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang berkonsepkan Smart City dan Smart State. Penggunaan aplikasi dan teknologi dalam menangani masalah pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor bukan sahaja merealisasikan objektif kerajaan negeri untuk membangunkan persekitaran dan infrastruktur yang lebih mampan, bahkan akan turut menyumbang kepada sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan bagi menjamin kualiti kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.
Secara umumnya KDEB Waste telah menunjukkan prestasi yang baik setakat ini di tiga (3) PBT yang telah melantik KDEB Waste sebagai Project Management Company atau PMC. Berdasarkan maklumbalas yang diperolehi secara rambang daripada rakyat di Klang, mereka telah memberikan komen yang positif terhadap mutu perkhidmatan KDEB Waste di daerah tersebut. Pada peringkat awal KDEB Waste mengambil alih kerja-kerja kutipan sampah domestik dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada bulan Julai 2016, secara purata KDEB Waste telah menerima sebanyak 27 aduan sehari. Pada bulan Ogos 2016, purata jumlah aduan harian di Klang telah menurun secara drastik kepada hanya 8 aduan sehari. Pada sekitar bulan September 2016 hingga Jun
2017, purata jumlah aduan harian yang direkodkan oleh Centralized Command Center (CCC) KDEB Waste adalah di antara 0 hinggga 4 aduan sahaja sehari. Berdasarkan statistik aduan yang diterima, KDEB Waste telah menunjukkan prestasi yang amat membanggakan di Klang. Kini skop KDEB Waste di Klang turut diperluaskan ke perkhidmatan pembersihan awam bermula pada 1 Mac 2017 dan setakat ini, KDEB Waste telah menunjukkan peningkatan prestasi dari hari ke hari.
Bagi kawasan Ampang Jaya pula, KDEB Waste yang telah memulakan perkhidmatannya pada 1 Mac 2017 telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Ini terbukti apabila operasi kutipan sampah domestik di Ampang Jaya telah berjaya distabilkan sepenuhnya dalam masa sebulan saja oleh KDEB Waste berbanding tiga (3) bulan pada kebiasaannya apabila berlaku pertukaran kontraktor yang melakukan kerja-kerja kutipan sampah domestik. Pada bulan pertama KDEB Waste berkhidmat di Ampang, jumlah aduan yang direkodkan adalah sebanyak 225 aduan. Jumlah aduan ini menurun secara drastik sebanyak 17 aduan sahaja pada bulan April 2017 dan terus menurun pada bulan Mei iaitu sebanyak 10 aduan. Yang terkini pada bulan Jun 2017, jumlah aduan yang direkodkan hanya 6 aduan sahaja. Saya juga amat berpuas hati dengan maklum balas atau respond KDEB Waste terhadap aduan yang diterima apabila semua aduan dapat diselesaikan segera pada hari yang sama tanpa mengira waktu.
Bagi kawasan Selayang, KDEB Waste telah mula menunjukkan peningkatan prestasi dari hari ke hari. Skop perkhidmatan KDEB Waste di kawasan Selayang adalah berbeza berbanding di Klang dan di Ampang Jaya. Di Selayang, kutipan sampah pukal adalah termasuk di dalam skop KDEB. Di Klang dan di Ampang Jaya, skop sampah pukal adalah di bawah kontraktor pembersihan awam. Jumlah aduan yang direkodkan di Selayang bagi bulan Mac 2017 adalah sebanyak 1300 aduan. Jumlah aduan ini menurun secara berperingkat kepada 441 aduan bagi bulan April, 371 aduan bagi bulan Mei dan terkini sebanyak 131 aduan sahaja bagi bulan Jun 2017. Tambahan skop sampah pukal, pembangunan rumah-rumah sewa yang tidak terkawal khususnya di kawasankawasan kampung, pembuangan sampah haram yang berleluasa, kawasan yang besar, masalah lori yang dihadapi oleh sub-kontraktor merupakan antara punca kawasan Selayang masih mencatatkan aduan yang agak tinggi berbanding di Klang dan Ampang Jaya. Saya yakin kawasan Selayang akan dapat distabilkan dalam masa terdekat apabila KDEB Waste menyerahkan lori-lori kompaktor dan RORO baru kepada semua sub-kontraktor mereka. Penggunaan lori-lori kompaktor dan RORO baru ini akan menyelesaikan isu-isu seperti lori kerap rosak, tumpahan air leachate, kapasiti muatan yang terhad dan sebagainya.
Dalam masa yang sama, saya juga menyeru pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi menyelesaikan isu sampah haram yang berleluasa di Selayang. Saya yakin dengan kerjasama yang erat di antara KDEB Waste dan MPS segala permasalahan sampah yang dihadapi di Selayang dapat di atasi dengan segera.