Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

1) PENGURUSAN SISA PEPEJAL SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan jumlah sampah yang dikutip setiap bulan dan jumlah yang dibelanjakan oleh setiap PBT setiap tahun sejak tahun 2010.

    Jumlah sampah domestik yang dikutip dan dilupuskan serta jumlah yang dibelanjakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Selangor sejak tahun 2010 adalah sebanyak 15,420,073.09 tan metrik iaitu bersamaan dengan jumlah RM601,158,315.67 seperti perincian dalam jadual yang berikut:

    PBT Jumlah sampah yang dikutip dan dilupuskan

    (Tan Metrik)

    Jumlah yang dibelanjakan sehingga 2022

    (RM)

    Permulaan tahun yang direkodkan
    MBSJ 2,738,500.00 113,306,800.00 2010
    MBPJ 2,363,394.77 100,542,080.58 2010
    MBSA 2,271,618.90 87,821,540.74 2010
    MPAJ 1,595,829.83 75,921,135.40 2012
    MPK 1,651,142.79 59,439,747.20 2016
    MPKj 1,540,012.10 56,069,349.64 2010
    MPS 1,020,245.15 37,069,989.22 2018
    MPKL 617490.09 22,567,054.85 2010
    MPKS 528,807.93 19,476,405.55 2010
    MDSB 183,758.86 16,681,250.00 2018
    MPHS 313,199.77 11,734,154.56 2017
    MPSp 596,072.90 528,807.93 2016
    JUMLAH 15,420,073.09 601,158,315.67
  2. Apa jenis sampah yang diterima (dalam peratusan)?

    Jumlah purata harian sisa pepejal yang diterima di tapak kendalian Worldwide Holdings Berhad adalah sebanyak 7,500 tan sehari dan berikut adalah peratusan jenis sisa pepejal yang diterima:

     

    • Sisa domestik – 65%
    • Sisa komersial dan industri – 16%
    • Sisa lengai – 19%
  3. Adakah Kerajaan Negeri akan mulakan program pengasingan sampah secara wajib di semua PBT pada tahun 2023?

    Program pengasingan sampah masih belum dikuatkuasakan namun Kerajaan Negeri melalui pihak PBT telah mula melaksanakan inisiatif dengan mengadakan kempen pengasingan sisa di peringkat komuniti dan institusi pendidikan (sekolah dan lain-lain) bagi menerapkan budaya mengitar semula sisa termasuk melibatkan usahasama dengan syarikat-syarikat besar seperti Nestle (Malaysia) Berhad dan KPT Recycle.  Pihak PBT menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri jika pelaksanaan program pengasingan sampah dilakukan di seluruh PBT Selangor dalam mengurangkan penjanaan sisa ke tapak pelupusan. Dalam masa yang sama, PBT juga aktif melaksanakan program dalam usaha menggalakkan kitar semula di kalangan masyarakat dan antara program yang dilaksanakan adalah seperti yang berikut:

    • Program Sisa Jadi Dana (SIDINA);
    • Jom Timbang;
    • Program ‘Ecobrick’;
    • Program Kitar Semula di PBT;
    • Program Kitar Semula di Pusat Kitar Semula di sekitar kawasan pengurusan PBT;
    • Program Kitar Semula di sekolah;
    • Pengumpulan barangan kitar semula oleh NGO seperti Syarikat Life Line Clothing (Malaysia) Sdn. Bhd., Pertubuhan Amal Kitar Semula Malaysia, Syarikat Aeroyen Enterprise;
    • Pengumpulan dari Lori Kontraktor Memungut Sampah, Pusat Pelupusan Barang Lusuh/Kitar semula, Pasaraya dan Kedai Serbaneka; dan
    • Pengumpulan Minyak Masak Terpakai (Pejabat dalaman, Masjid, Restoran, Kantin, Balai Penghulu).

     

    Selain daripada itu, PBT turut mensasarkan pelaksanaan program pengasingan sampah dan pengutipan sampah daripada rumah ke rumah meliputi keseluruhan kawasan pentadbiran menjelang penghujung tahun 2024.

Lampiran

Tiada Lampiran.