Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

14) PENGURUSAN SISA PEPEJAL DAN KITAR SEMULA

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan negeri untuk mengurangkan jumlah sampah di tapak pelupusan di Selangor?

    Kerajaan Negeri telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif serta program bagi mengurangkan jumlah sampah yang dilupuskan ke tapak pelupusan. Antara inisiatif tersebut adalah seperti berikut:

     

    • Program Pengasingan Sisa Pepejal

    Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan program pengasingan sisa kitar semula secara sukarela di kawasan perumahan dan sekolah secara berterusan. Di bawah program ini, hanya sisa yang tidak boleh dikitar semula dihantar ke tapak pelupusan manakala sisa yang boleh digunakan semula atau dikitar dihantar ke pusat kitar semula. Terdapat juga PBT seperti Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang yang menghantar sebahagian sisa domestik ke pusat kompos bagi penghasilan baja kompos dan tenaga biogas.

     

    • Program Kesedaran 3R (Reuse/Reduce/Recycle)

    Kerajaan Negeri dan PBT telah menganjurkan pelbagai kempen kesedaran di peringkat sekolah dan komuniti bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai amalan 3R serta menggalakkan penggunaan sumber secara optimum. Bagi menggalakkan masyarakat terlibat dengan program kitar semula, Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan 2025 telah bersetuju untuk mengagihkan 100 tong kitar semula kepada setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk ditempatkan di kawasan-kawasan perumahan.

     

    • Pembangunan Pusat Kitar Semula

    Kerajaan Negeri melalui kerjasama dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) telah membangunkan pusat kitar semula di Meru (Klang), Bukit Puchong (Subang) dan Bukit Changgang (Kuala Langat) yang mampu untuk mengendali sehingga 20 tan bahan kitar semula setiap hari. Selangor Recycle Surge (SRS), sebuah fasiliti kitar semula berteknologi tinggi turut dibangunkan oleh KDEBWM sebagai satu inisiatif bagi meningkatkan kadar kitar semula di Selangor sehingga 15% pada penghujung tahun 2025.

     

    • Pembangunan Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC)

    Pembangunan ISWMC di Jeram (Kuala Selangor) dan Mukim Tanjung Dua Belas (Kuala Langat) yang mempunyai fasiliti seperti Waste-to Energy (WTE), Material Recovery Facility (MRF), loji kompos, loji pencernaan anaerobik dan loji pemprosesan sisa pembinaan turut membantu mengurangkan jumlah sampah yang dilupuskan di tapak pelupusan.

  2. Adakah teknologi baharu akan digunakan untuk memproses sisa pepejal?

    Kerajaan Negeri melalui KDEBWM, Worldwide Holdings (WHB) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menerapkan penggunaan teknologi baharu dalam pengurusan sisa pepejal khususnya untuk memproses sisa dengan cara yang lebih efisien dan mesra alam. Antara teknologi yang digunakan adalah seperti berikut:

     

    1. Pemprosesan sisa organik dengan teknologi pengkomposan aerobik (aerobic composting);
    2. Pembangunan Waste-to-Energy (WTE) yang mampu mengubah sisa pepejal menjadi tenaga;
    3. Pembangunan Selangor Recycle Surge (SRS) oleh KDEBWM bagi meningkatkan kadar kitar semula dengan menggunakan teknologi terkini;
    4. Bioteknologi untuk pemprosesan sisa berbahaya; dan
    5. Penggunaan Teknologi Internet of Things (IoT) dalam Pengurusan Sisa Pepejal seperti Sistem Pemantauan Kenderaan (VMS) oleh KDEBWM membolehkan pemantauan kenderaan secara real-time dilakukan.
  3. Bagaimana dengan sokongan kepada syarikat yang mengamalkan ekonomi kitaran (use, return, and re-create)?

    Kerajaan Negeri memberikan pelbagai bentuk sokongan kepada syarikat yang mengamalkan ekonomi kitaran (use, return and re-create) seperti berikut:

     

    • menawarkan insentif kewangan seperti baucer kepada syarikat peniaga makanan (premis, penjaja dan gerai) yang mengikuti kempen yang dianjurkan oleh PBT seperti pengumpulan minyak masak terpakai;

     

    • menganjurkan program pengiktirafan kepada syarikat yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam mengamalkan ekonomi kitaran seperti Anugerah Inovasi Hijau Selangor dan Selangor Sustainability Awards;

     

    • menyediakan kemudahan infrastruktur seperti pusat kitar semula, kemudahan pengumpulan sisa dan loji rawatan air untuk menyokong syarikat dalam menjalankan aktiviti ekonomi kitaran; dan

     

    • mewujudkan pusat One Stop Centre dimana syarikat-syarikat yang mengamalkan ekonomi kitaran boleh melaksanakan aktiviti perkongsian maklumat dan amalan terbaik mengenai pengurusan sumber bersama-sama dengan komuniti setempat.

Lampiran

Tiada Lampiran.