Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
151) PENGURUSAN SISA PEPEJAL
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah yang diambil untuk memastikan pengurusan sisa pepejal dan sisa berjadual yang lebih cekap bagi mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar dan kesan buruk terhadap kesihatan awam?
Bagi mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar dan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan sisa pepejal dan sisa berjadual, Kerajaan Negeri telah menaik taraf pelupusan sisa daripada terbuka kepada Tapak Pelupusan Sanitari. Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan sejumlah besar peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja menutup selamat tapak pelupusan haram dan tapak pelupusan yang telah penuh. Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak tiga (3) tapak pelupusan sisa terbuka telah dinaik taraf kepada Tapak Pelupusan Sanitari dengan jos berjumlah RM23 juta.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan cadangan pembinaan empat (4) Waste-to-Energy (WtE) di tiga lokasi iaitu 2 WtE di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram, 1 WtE di Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu Tanjong Dua Belas dan 1 WtE di Batu Arang, Rawang. Pembinaan WtE ini adalah penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah serta untuk mengurangkan kesan buruk ke atas alam sekitar seperti pelepasas gas rumah kaca.
Kerajaan Negeri turut menggalakkan program kitar semula melalui penyediaan 100 tong kitar semula di setiap Pihak Berkuasa Tempatan mulai tahun 2005, menawarkan insentif kepada komuniti bagi setiap produk yang dikitar semula, membangunkan pusat kitar semula dan mengadakan kerjasama dengan syarikat swasta seperti Nestle Malaysia dan KPT Recycles Sdn. Bhd.